Thursday, July 9, 2009

Hak Muslim: Isteri didera keluar rumah bukan kes nusyuz

Hak Muslim: Isteri didera keluar rumah bukan kes nusyuz

Soalan:
BEBERAPA tahun lalu, ibu saya berkahwin baru selepas lima tahun bapa meninggal dunia. Sebagai anak saya berharap ibu hidup bahagia bersama suaminya. Namun, harapan saya musnah kerana bapa tiri seorang yang panas baran dan sering mencederakan ibu apabila berlaku pertengkaran. Ibu sering dipukul hingga lebam, berdarah di bibir dan pipi. Akibat keganasan yang sering berlaku, ibu menjadi murung dan sering sakit serta takut dengan bapa tiri. Ibu takut untuk membuat aduan kerana bimbang dicederakan lebih teruk oleh bapa tiri. Beberapa minggu lalu, ibu saya dipijak bapa tiri di bahagian dada apabila cuba keluar dari rumah. Bagaimana cara saya dapat menyelamatkan ibu daripada keganasan bapa tiri dan jika ibu keluar dari rumah bolehkah beliau disabitkan nusyuz.

Siti,
Sungai Buloh,
Selangor.


Jawapan:
Berdasarkan kisah diceritakan, jelas ibu saudari mengalami penderaan secara fizikal, mengikut peruntukan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Berdasarkan peruntukan itu, seseorang dilindungi mengikut akta apabila:

# timbulkan ketakutan akan dicederakan;

# mangsa dicederakan secara fizikal;

# mangsa dipaksa secara kekerasan atau ancaman untuk tindakan seksual;

# mangsa dikurung atau ditahan secara paksa;

# harta mangsa dirosakkan oleh pelaku keganasan.

Berdasarkan peruntukan, ada tiga jenis perintah yang boleh dimohon mangsa iaitu perintah perlindungan sementara (IPO), perintah perlindungan dan perintah injunksi atau tegahan diri daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

Perintah perlindungan sementara adalah perintah yang boleh dimohon mangsa untuk mendapatkan perlindungan, sementara kes dalam tempoh siasatan polis dan akan terhenti apabila kes selesai disiasat.

Sementara perintah perlindungan pula adalah perintah yang boleh dimohon mangsa selepas pelaku selesai disiasat dan dilepaskan dengan jaminan atau kompaun. Perintah itu hanya bertahan setahun.

Perintah tegahan pula adalah perintah yang boleh dimohon di Mahkamah Syariah mengikut seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 di mana berdasarkan peruntukan yang ada, Mahkamah Syariah berbidang kuasa untuk mengeluarkan perintah: "...memerintahkan seseorang menahan dirinya daripada mengganggu atau menceroboh dengan apa-apa carapun ke atas isteri, bekas isteri sepanjang tempoh perbicaraan hal ehwal suami isteri sedang berjalan."

Perkara pertama yang perlu dibuat mangsa adalah membuat laporan di Balai Polis berdekatan secepat mungkin. Banyak kes dilaporkan menunjukkan kegagalan mangsa membuat laporan dengan menunggu 72 jam selepas kejadian.

Mangsa juga perlu mendapatkan rawatan dan surat pengesahan doktor membuktikan dirinya cedera akibat didera suami mangsa dari hospital berdekatan.

Oleh itu, bagi menyelamatkan ibu saudari daripada keganasan bapa tiri, langkah yang perlu diambil adalah membawa keluar ibu saudari daripada rumah kelamin untuk mendapatkan perlindungan pihak berkuasa iaitu dengan mendapatkan perintah perlindungan sementara.

Memandangkan ibu saudari tinggal di sekitar Sungai Buloh, Selangor maka hospital yang terdekat adalah Hospital Sungai Buloh, salah satu daripada enam hospital di Selangor yang mempunyai perkhidmatan One Stop Crisis Center (OSCC).

Pusat sehenti menamatkan krisis itu membolehkan mangsa keganasan rumah tangga diletakkan di satu tempat khas dan berasingan daripada pesakit lain untuk mendapat rawatan doktor dan kaunselor bertugas. Mangsa akan diberi bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling.

Selepas mendapat rawatan, mangsa tidak perlu pergi ke balai polis sebaliknya hanya perlu membuat laporan kepada polis yang bertugas di pusat OSCC.

Tindakan isteri keluar rumah akibat penderaan fizikal oleh suami tidak boleh menyebabkan isteri diisytihar nusyuz kerana perbuatan keluar daripada rumah kelamin adalah termasuk dalam usaha perlu dilakukan bagi menyelamatkan daripada darar syarie yang berlaku ke atas tubuh badannya yang diiktiraf hukum syarak.

Ini selari peruntukan seksyen 60 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 di bawah kuasa mahkamah mengisytiharkan nusyuz terhadap isteri yang memasukkan peruntukan, "...apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak."

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah.

No comments: