Thursday, July 9, 2009

Kuiscell anjur program pengajian falak peringkat sijil 36 jam

Kuiscell anjur program pengajian falak peringkat sijil 36 jam

PUSAT Pengajian Sepanjang Hayat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuiscell) dengan kerjasama Jabatan Mufti Selangor menganjurkan program pengajian falak peringkat sijil selama 36 jam kepada mereka yang berminat.

Penyelaras program, Mohd Husni Mohd Said, berkata kursus jangka pendek bermula 12 April 2008 selepas mendapat maklum balas mereka yang pernah mengikuti kursus falak.

"Mereka mencadangkan pengajian ilmu falak dibuat secara formal supaya ilmu ini dapat disuburkan semula melalui teori dan amali secara tradisional atau moden. Kursus falak yang diadakan terlalu ringkas dan peserta tidak dapat memahami ilmu falak dengan baik.

"Pengajian falak ini akan memberi peluang kepada masyarakat mempelajari dan mendalami ilmu falak secara normal. Selain mendapat sijil akademik, ilmu itu juga berkait rapat dengan ibadah," katanya.

Husni berkata, peserta yang mengikuti program dapat menjadi penyampai maklumat kepada orang ramai jika berlaku kekeliruan seperti penentuan awal puasa, hari raya, arah kiblat, waktu solat, gerhana dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, pembinaan balai cerap di Sungai Air Tawar dijangka Disember ini akan menjadi satu pusat penyelidikan dan latih amali kepada peserta yang mengikuti kursus itu. Pelajar juga dibawa melihat proses pencerapan di Baitul Hilal, Bukit Jugra.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut bersetuju membiayai sebahagian yuran peserta dari Selangor RM200 bagi setiap modul. Sementara bakinya RM200 ditanggung peserta atau dibiayai pihak masjid. Seramai 18 ahli jawatankuasa masjid atau surau dibiayai Mais bagi setiap modul.

Pembimbing kursus yang juga pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Abdul Hamid Md Isa, berkata peserta yang mengikuti kursus sebenarnya memainkan peranan sebagai duta kecil Jabatan Mufti kepada masyarakat setempat.

"Ia dapat mengelak berlaku kekeliruan atau kesilapan menentukan arah kiblat dan membantu menetapkan kedudukan liang lahad kubur jika berlaku pertikaian. Secara tidak langsung pengetahuan berkaitan falak membantu menambah keyakinan kita kepada dasar penentuan tarikh penting dalam kalendar Islam seperti Aidilfitri dan awal Ramadan oleh pihak berkuasa," katanya.

Mohd Husni berkata, Kuiscell turut menawarkan pelbagai kursus seperti Sijil Dakwah Kepemimpinan, Sijil Pengajian Bahasa Arab, Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Sijil Kemahiran Kaunseling, Sijil Perbandingan Agama, Kursus Iqra' al-Quran, Sijil Pengajian al-Quran Tajwid Tatbiqi, Sjil Tarannum al-Quran dan Kursus Intensif Bahasa Arab, Sijil Asas Perakaunan dengan Perakaunan Berkomputer.

Kepada yang berminat, boleh hubungi Kuiscell di talian 03-89254251 atau layari www.kuis.edu.my

No comments: