Saturday, July 11, 2009

Kewibawaan Jakim tingkat keyakinan tanda halal

Kewibawaan Jakim tingkat keyakinan tanda halal

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


LOGO halal jadi keutamaan pengguna yang pentingkan status produk.

Pengguna Muslim sambut baik kembalikan semula tugas keluar sijil kepada jabatan

IBARAT sirih pulang ke gagang, itulah perumpamaan diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang mengumumkan kelulusan Kabinet membenarkan tanggungjawab pengeluaran sijil halal diambil semula oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan mengembalikan semula pensijilan halal kepada Jakim memang dinantikan kerana sebagai agensi kerajaan, orang ramai lebih yakin dengan integriti jabatan itu yang sudah memikul tanggungjawab mengeluarkan sijil halal sejak pengesahan status makanan dan barang gunaan diperkenalkan pada 1974.

Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (ketika itu) memberikan pengesahan halal kepada beberapa produk makanan utama yang dikeluarkan syarikat pengeluar makanan tempatan dalam bentuk surat pengiktirafan. Pada 1994, pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil berserta logo halal.

Namun, pada 30 September 1998, tugas pengeluaran sijil halal diswastakan kepada Ilham Daya Sdn Bhd. Tidak dinafikan ketika itu wujud rasa tidak puas hati di kalangan pengguna yang mahukan pensijilan halal dilakukan agensi kerajaan.

Selepas empat tahun di bawah pengendalian Ilham Daya Sdn Bhd, kerajaan mengambil keputusan pengeluaran sijil halal termasuk tugas pemeriksaan dilaksanakan sepenuhnya oleh Jakim berkuat kuasa 1 September 2002.

Khamis lalu, sekali lagi pensijilan halal berubah tangan apabila tanggungjawab mengeluarkan sijil dan pemeriksaan yang diserahkan kepada HDC bermula 18 September 2006, dikembalikan kepada Jakim seperti keadaan asal sebelum ini.

Isu halal sentiasa menjadi perhatian terutama di kalangan pengguna yang mementingkan status barang di pasaran. Tahap kesedaran yang kian meningkat terhadap barang yang bukan saja bersih, malah suci dari segi penyediaan menyebabkan pengguna bergantung kepada sijil halal.

Dengan beberapa pendedahan terhadap kes pemalsuan sijil halal yang mengejutkan orang ramai sebelum ini, pengguna menjadi lebih berhati-hati walaupun tidak disangkal ada yang mula ragu-ragu dengan kewibawaan pihak yang mengeluarkan sijil serta logo halal. Justeru, keputusan terbaru itu juga menimbulkan 'cakap-cakap'.

Namun, bagi Jamil yang diajukan perkara itu, tidak sepatutnya timbul persepsi atau soal tidak cekap dalam pengurusan pengeluaran sijil halal kerana keputusan mengembalikan tanggungjawab itu kepada Jakim bagi membolehkan HDC meneruskan tumpuan pembangunan industri halal.

"Tugas itu memang sudah dipegang Jakim sejak sekian lama, cuma penubuhan HDC pada waktu itu melihatkan keperluan pengeluaran sijil diletakkan di bawah pertubuhan berkenaan. Disebabkan persaingan produk semakin tinggi, kita melihat wajar pengeluaran sijil dilaksanakan oleh Jakim.

"Tidak timbul soal tidak cekap kerana orang yang sama dipinjamkan ke HDC dan mereka juga melakukan tugas itu juga kembali ke Jakim menjalankan tanggungjawab mereka. Oleh itu, tidak sepatutnya timbul persepsi.

"Kini HDC dan Jakim boleh menumpukan tugas masing-masing supaya kewibawaan mempromosikan produk halal terus diperkasakan seterusnya memenuhi aspirasi menjadikan negara hab halal pada peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Jamil berkata, selain Jakim, penguatkuasaan hal ehwal makanan dan barang kegunaan umat Islam yang mempunyai sijil serta logo halal turut membabitkan jabatan lain seperti Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Katanya, kesepakatan antara agensi kerajaan akan membolehkan proses pengeluaran sijil dan penguatkuasaan terhadap sebarang penyalahgunaan logo halal dilaksanakan dengan lebih cekap serta berkesan.

Bagi Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, pihaknya bersedia mengambil amanah yang diberi dan dengan pengalaman yang ada, tugas itu terus diperkasakan supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada industri serta pengguna.

Katanya, Jakim akan memanfaatkan bahagian penyelidikan Bahagian Kajian Makanan dan Barang Gunaan Islam (MGI) untuk mengurus aktiviti berkaitan dengan pengesahan halal kepada makanan dan produk gunaan Islam.

"Ini bukan sesuatu yang asing bagi kita. Cuma dulu orang lain dan sekarang kita bertanggungjawab. Jakim mengambil berat arahan supaya kapasiti Jakim diperkasakan untuk memberi perkhidmatan yang baik tanpa mengorbankan industri halal," katanya.

Beliau berkata, bagi memantapkan lagi perkhidmatan, Jakim melihat kepada pertambahan kakitangan terutama dalam bahagian penguatkuasaan dan pemantauan. Bagi tujuan itu, permohonan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mengenai penggunaan sijil halal bukan dikeluarkan badan dipertanggungjawabkan kerajaan, Wan Mohamad berkata, isu itu tidak sepatutnya berbangkit kerana pengguna lebih yakin dengan logo halal yang dikeluarkan kerajaan.

Justeru katanya, pihak industri yang memikirkan pengguna hari ini lebih mementingkan integriti halal sepatutnya memilih logo halal kerajaan yang dibangunkan bersama Jabatan Standard Malaysia dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

"Tahap kepercayaan pengguna lebih tinggi kepada logo dikeluarkan kerajaan. Logo atau sijil halal pihak lain, yang boleh saya katakan, kita tidak jamin halal. Kita hanya boleh nasihat, ambil produk atau perkhidmatan yang dapat perakuan agensi kerajaan sama ada Persekutuan dan negeri," katanya.

Katanya, Jakim turut melantik badan Islam di luar negara untuk melaksanakan pensijilan halal bagi produk yang ingin dibawa masuk ke Malaysia dan mereka dipantau melalui standard serta sistem ditetapkan Jakim dan maklumat mengenainya boleh diperoleh dari laman web jabatan itu.

No comments: