Saturday, July 11, 2009

HDC tumpu usaha bangunkan PKS, perkasa hab halal

HDC tumpu usaha bangunkan PKS, perkasa hab halal

PERBADANAN Pembangunan Industri Halal (HDC) akan menumpukan kepada usaha membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menggalakkan pelaburan dari luar negara dalam usaha meneruskan tanggungjawab menjadikan negara peneraju hab halal terkemuka dunia.

Keputusan kerajaan mengembalikan tanggungjawab pensijilan halal kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberi ruang lebih luas untuk HDC membantu pemain dalam industri halal memperkasakan kemampuan mereka.

Justeru, Timbalan Presiden Operasi HDC, Farid Z Hamid, berkata tidak timbul persepsi perbadanan itu gagal melaksanakan tanggungjawab mengeluarkan sijil halal yang diambil pada 18 September 2006.

"Tidak timbul soal gagal kerana langkah ini akan mengelakkan konflik. Tugas HDC ialah memberi bimbingan serta nasihat untuk pembangunan produk halal dan apabila kita melakukan audit, kita akan turut memberi cadangan.

"Katalah cadangan kita supaya pihak berkenaan memohon sijil halal, daripada siapa dia akan mohon, HDC juga. Jadi, dengan kembalinya pensijilan halal kepada Jakim, kita boleh menumpukan pada industri dan Jakim kepada pengeluaran sijil untuk kebaikan industri halal," katanya.

Katanya, dengan perkembangan terkini itu, HDC akan meneruskan tugas yang dipertanggungjawabkan termasuk memastikan pertumbuhan penyertaan syarikat Malaysia dalam pasaran halal peringkat serantau serta global.

"Ini termasuk memperkasakan rancangan hab halal yang di beberapa negeri kerana kita ada pemain dalam industri tetapi tidak dihubungkan dalam satu jalinan yang memanfaatkan semua pihak. Ada syarikat yang memerlukan bahan mentah untuk produk mereka tetapi tidak tahu di mana untuk memperolehnya.

"HDC akan menjadi jambatan yang menghubungkan mereka terutama PKS dan syarikat yang memerlukan bekalan sebab ada kala, syarikat terputus bekalan tetapi tidak tahu siapa yang boleh menjadi pembekal," katanya.

HDC ditubuhkan pada 18 September 2006 dan diletakkan di bawah Badan Bertindak Pelaksanaan Kebangsaan (NITF) sebagai institusi yang bakal memfokuskan usaha untuk memajukan industri halal negara.

Antara tanggungjawab HDC ialah menjadi peneraju kepada penetapan piawaian halal termasuk proses mengaudit, pengeluaran sijil halal bagi melindungi integriti halal, mengarah serta menyelaras pembangunan industri halal khususnya antara kerajaan dan swasta.

Mengarah serta mengurus pembangunan pembuat barangan halal dan berkaitan dengan pembekal perkhidmatan, menyokong pelaburan industri halal ke negara ini, memastikan pertumbuhan penyertaan syarikat Malaysia dalam pasaran halal pada peringkat global, membangun, mempromosi dan memasarkan jenama halal Malaysia.

No comments: