Islam terapkan amalan demokrasi pilih pemimpin
Oleh Yussamir Yusof
Pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah bukti suara majoriti tonggak pemerintahan negara
DEMOKRASI ialah sistem yang datang daripada keunggulan Islam. Namun, ada umat Islam keliru dan menolak sistem ini, malah menyatakan demokrasi daripada sistem kufur dan batil. Kegagalan memahami inti pati demokrasi menyebabkan salah faham besar dalam membawa sistem keadilan di pentas politik masa kini.
Demokrasi berasal daripada perkataan Yunani membawa maksud diperintah oleh rakyat iaitu rakyat memilih siapa pemimpin mereka untuk menerajui kerajaan. Sistem pemilihan itu dilakukan berdasarkan pungutan suara kebiasaannya melalui pengundian.
Demokrasi ialah proses pemilihan membabitkan ramai orang khususnya rakyat. Ia bertujuan memilih calon yang bakal memimpin dan mengurus mereka. Umumnya rakyat memilih calon yang mampu membawa perubahan serta mampu mengurus negara dengan mantap dan baik.
Sementara bagi calon yang tidak berdedikasi, pentingkan diri dan tidak pandai mengurus kepemimpinan ditolak rakyat. Inilah ciri demokrasi yang memberi pelbagai saluran seperti pemilihan umum, meminta pandangan rakyat, mengutamakan suara majoriti, mempelbagaikan parti politik supaya berlaku keseimbangan.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik pemimpin kalian ialah pemimpin yang disayangi dan didoakan oleh kalian dan pemimpin itu juga menyayangi dan mendoakan kalian. Sementara seburuk-buruk pemimpin ialah pemimpin yang kalian kutuk dan benci dan mereka pula mengutuk dan membenci kalian." (Hadis riwayat Muslim)
Meskipun pada zaman Nabi Muhammad SAW perkataan demokrasi belum wujud, Baginda sudah menunjukkan nilai demokrasi dalam diri lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Baginda bersikap demokrasi dengan mengambil pandangan sahabatnya dan membuat keputusan berdasarkan suara majoriti.
Perjanjian Aqobah pertama dan kedua juga menunjukkan kuasa rakyat menjadi tonggak dalam pemilihan pemerintah. Berdasarkan perjanjian itu, ulama sejak dulu menegaskan kekuasaan asalnya berada di tangan rakyat. Oleh itu, kekuasaan tidak boleh dipaksa kepada rakyat. Tanda rela dan setia rakyat terhadap kekuasaan atau pemerintah ialah dalam bentuk baiah atau taat setia.
Berdasarkan prinsip demokrasi, ajaran Islam menolak sekeras-kerasnya perebutan kuasa dengan paksaan terhadap rakyat kerana kekuasaan harus diperoleh melalui rakyat secara sukarela.
Nilai demokrasi yang ditunjukkan Rasulullah SAW diteruskan sahabat. Tanpa meninggalkan wasiat siapa pengganti, kewafatan Baginda memberi petunjuk sistem demokrasi harus dijalankan seperti ketika Baginda masih hidup.
Pada pemilihan di dewan bani Saadah, Madinah, Abu Bakar menjadi khalifah pertama umat Islam berdasarkan sokongan majoriti sahabat. Islam menjalankan sistem demokrasi dalam semua aspek sehingga sekecil-kecil perkara. Islam meraikan demokrasi dan mengambil berat mengenainya seperti pemilihan imam.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga golongan mendapat siraman kasturi pada hari kiamat; hamba yang memenuhi hak Allah dan hak tuannya, lelaki yang mengimamkan satu kaum dan kaum itu merelakannya dia menjadi imam dan lelaki yang mengajak solat lima waktu setiap hari." (Hadis riwayat Tirmidzi)
Jika dalam soal siapa imam juga dilaksanakan melalui pemilihan secara demokrasi, inikan pula dalam urusan politik yang bakal menentukan nasib rakyat dan negara.
Profesor Dr Yusuf al-Qardhawi menyatakan dalam kitabnya Feqh Daulah (Feqh Kenegaraan) menulis: "Sangat menghairankan ada sebahagian manusia yang menghukum demokrasi sebagai kufur yang jelas dan pasti. Padahal dia belum tahu secara tepat apa itu demokrasi, belum mendalami apa erti sebenar demokrasi dan isinya. Barang siapa yang menetapkan hukum sesuatu padahal dia tidak mengetahuinya secara pasti, maka pandangannya itu cacat dan batil walaupun secara kebetulan pandangan dia itu benar."
Beliau menambah: "Orang Muslim yang mengajak kepada sistem demokrasi dengan pertimbangan bahawa demokrasi itu adalah penetapan hukum yang menyatukan dengan prinsip politik Islam dalam memilih seorang pemimpin dan menetapkan syura, melaksanakan amar makruf nahi mungkar, melawan kezaliman, menolak kederhakaan terutama jika kederhakaan itu menjurus kepada kufur yang jelas berdasarkan bukti keterangan dari Allah".
Antara bukti yang mengukuhkan hal ini adalah teks undang-undang ada yang menyatakan: "Agama negara adalah Islam dan syariat Islam menjadi rujukan undang-undang."
Ini menguatkan bahawa kedaulatan Allah dalam menetapkan hukum dan kedaulatan syariat-Nya. Oleh itu, ajakan kepada sistem demokrasi tidak boleh dianggap sebagai kufur, kerana selagi tidak ada penentangan dengan syariat maka ia dibolehkan.
Islam menolak kepemimpinan autokratik dan zalim. Pemimpin tidak dapat menerima pandangan dan kritikan adalah pemimpin yang tidak layak diangkat sebagai calon pada pemilihan akan datang.
Berdasarkan hadis diriwayatkan Tabrani dan juga dalam Sahih al-Jamik as-Soghir, Nabi Muhammad SAW menggambarkan pemimpin yang tidak boleh dikritik dan ditegur seperti kera melompat.
Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendukung pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya serta penentangannya terhadap Allah dan Rasul. Allah menceritakan bagaimana Dia menghancurkan kaum Ad yang menurut perintah penguasanya yang menentang Allah dan Rasul.
Firman Allah bermaksud: "Dan itulah (kisah) kaum Ad yang mengingkari tanda kekuasaan Tuhan mereka dan menderhakai rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran)." (Surah Hud, ayat 59)
Bagi mengukuhkan amaran Allah itu, Nabi Muhammad memperincikan dalam hadis yang direkodkan Imam Ahmad bahawa Baginda tidak mengakui sebagai umatnya sesiapa yang mendukung dan membenarkan kezaliman dilakukan pemimpin. Amaran keras ini adalah perintah untuk umatnya supaya tidak tergelincir daripada mainan dan tipu daya pemimpin zalim.
Pemimpin harus bersedia menerima pandangan, adil, amanah dan sedia dikritik. Seorang pemimpin harus menjadi teladan kepada orang yang dipimpin. Kewibawaan Saidina Abu Bakar terserlah sejak hari pertama beliau dilantik menjadi Khalifah.
Abu Bakar berkata: "Wahai semua manusia, sesungguhnya aku sudah diangkat menjadi pemimpin kalian, tetapi aku bukan orang terbaik di kalangan kalian. Jika kalian melihat aku berada atas kebenaran, maka ikutlah aku. Jika kalian melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku. Taat kepadaku selagi aku takut pada Allah di tengah kalian dan jika aku derhaka kepada Allah, maka tidak ada kewajiban bagi kalian untuk mentaatiku."
Bagi pemimpin yang bakal dipilih rakyat, renungi sabda Nabi Muhammad SAW bagi memberi rawatan kepada hati yang sudah mula bersenang-senang.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dalam neraka jahanam ada sebuah lembah. Dalam lembah itu ada sumur yang dipanggil Habhab. Ada hak bagi Allah untuk menempatkan di dalamnya setiap pemimpin yang bersenang-senang lagi menentang kebenaran." (Hadis riwayat al-Hakim dan At-Tabrani)
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment