Elak terperangkap dalam amalan judi tersembunyi
Oleh Lokman Ismail
Aktiviti haram jadikan masyarakat malas berusaha dan pasif terhadap tanggungjawab
ISU judi tidak pernah tamat dan sentiasa menjadi lambang masalah sosial dalam masyarakat. Usaha membanteras semua bentuk perjudian perlu dilakukan supaya masyarakat terhindar daripada kesan buruknya yang tidak mengenal mangsa.
Sememangnya, sudah menjadi sikap manusia sentiasa tertarik kepada sesuatu berbentuk peluang memperoleh keuntungan secara mudah. Tarikan begitu kuat ingin mendapat keuntungan mudah membuatkan manusia tidak memikirkan kesan buruk di sebaliknya.
Pakar sosiobudaya mengkelaskan tabiat bertaruh dan berjudi sebagai sebahagian satu amalan yang sudah berakar umbi sejak generasi awal manusia. Sikap itu dikaitkan dengan keberanian dan perjuangan untuk memperoleh keuntungan, pada masa sama sanggup menanggung risiko kerugian.
Malah, dalam sesetengah masyarakat menganggap sesiapa tidak berani bertaruh sebagai tidak mempunyai daya ketahanan berdepan dengan kegagalan. Individu yang tidak berani bertaruh tidak akan memperoleh sesuatu lebih hebat daripada orang lain.
Sikap berani mempertaruhkan sesuatu yang benar memang digalakkan kerana kita dikehendaki mempertaruhkan seluruh masa serta tenaga untuk kebahagiaan hidup dengan melakukan usaha tidak bertentangan kehendak syariat.
Islam menganjurkan umatnya melakukan usaha mencari kebaikan dengan bersungguh-sungguh mengikut aturannya biarpun pada kebiasaannya sukar untuk dicapai. Pertaruhan yang demikian memang satu tindakan bijak dan akan membuahkan hasil luar biasa.
Sebaliknya, perbuatan mempertaruhkan sesuatu secara untung nasib semata-mata ditegah iaitu tidak ada usaha yang sepatutnya dilakukan untuk mendapat nilai keuntungan itu.
Pertaruhan untung nasib berbentuk sedikit usaha atau wang dipertaruhkan memungkinkan seseorang mendapat pulangan berganda-ganda berbanding apa dilakukan termasuk dalam kategori judi kerana mengharapkan keuntungan besar dengan sedikit usaha.
Konsep judi yang dilarang dalam Islam tidak hanya membabitkan daun terup, cabutan nombor, lumba kuda dan lontar dadu. Ada perjudian dalam bentuk tersembunyi dengan menggunakan pelbagai nama yang dianggap tidak melambangkan satu perjudian.
Nama biasa digunakan ialah peraduan, uji minda dan cabutan bertuah membabitkan wang sebagai 'perbelanjaan' untuk menyertainya. Peraduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan cabutan nombor bertuah juga termasuk kategori judi. Ia bergantung bagaimana cara peraduan dan cabutan bertuah itu dikendalikan.
Contohnya peraduan SMS mengemukakan satu soalan mudah. Secara logiknya, semua peserta dapat menjawabnya dengan betul. Penentuan pemenangnya ditentukan dengan cara menghantar jumlah SMS yang terbanyak atau mengikut bilangan tertentu.
Jika soalannya terlalu mudah, peraduan itu bukan bertujuan menguji minda atau kecekapan peserta tetapi memaksa peserta menghantar banyak SMS supaya dengan bilangan itu nasib mereka baik dan diumumkan sebagai pemenang.
Sebab itu ada peserta berhabis beribu ringgit menyertai peraduan dengan tujuan mempunyai peluang besar untuk menang. Jadi, tidak syak lagi itu satu perjudian kerana menyebabkan peserta mendapat rugi besar jika tidak berjaya.
Ketagihan judi menyebabkan peserta tidak memikirkan kerugian ditanggung. Mereka hanya nampak untung yang sebenarnya hanya satu impian.
Caj SMS yang dikenakan kepada peserta untuk menjawab soalan lebih tinggi daripada SMS biasa bertujuan untuk penyediaan hadiah. Penganjur mendapat sejumlah bayaran balik daripada pembekal perkhidmatan telefon berdasarkan peratusan yang ditetapkan. Itulah sebenarnya konsep perjudian.
Jumlah yang dikumpulkan daripada peserta digunakan sebagai hadiah. Penganjur pasti mendapat keuntungan kerana mereka mempunyai cara tertentu mengawal pemberian hadiah. Sebilangan kecil peserta mendapat keuntungan besar, majoriti tidak mendapat apa-apa.
Penganjur memang bijak mencari peluang mengelirukan orang ramai. Banyak orang tidak menyangka mereka terbabit dengan perjudian. Ada juga beranggapan jika sekadar mencuba sekali dua tidak termasuk kategori judi.
Pembabitan dalam perjudian lahir daripada perasaan tamak. Mereka yang berjudi mempertaruhkan nilaian kecil tetapi mengharapkan keuntungan besar dengan mudah dan mereka tidak kisah kerugian yang terpaksa ditanggung olehnya atau pihak lain.
Aktiviti perjudian merebak dalam masyarakat tanpa mengira taraf kehidupan, pendidikan, budaya dan ekonomi. Kesan buruk akibat perjudian mengenai semua tamadun kehidupan manusia.
Sebenarnya, pengharaman judi tanpa mengira jumlah pertaruhan dan niat bertujuan mengelak daripada merebak kepada pertaruhan besar. Sikap tamak dan hasutan syaitan mudah menyebabkan keburukan lebih besar.
Rata-rata kaki judi bermula dengan pertaruhan kecil dan suka-suka. Ada setengahnya pula kerana terpengaruh dengan tabiat rakan dan hendak mencuba nasib sekadar sekali dua, tetapi selepas itu mereka mula menjadi ketagih berjudi.
Ketagih judi memang sukar dihapuskan selagi perasaan tamak menguasai diri. Semakin dituruti ketagih judi, semakin banyak keburukan terpaksa ditanggung. Jadi, jalan terbaik menyelesaikan masalah ialah dengan berusaha meninggalkan perbuatan sia-sia itu.
Di negara yang mengamalkan sistem ekonomi bebas membenarkan perjudian sebagai sebahagian aktiviti perniagaan dan rakyat bebas berjudi asalkan mempunyai wang atau barang untuk dipertaruhkan.
Aktiviti perjudian melahirkan masyarakat malas berusaha, kuat berangan-angan dan pasif terhadap tanggungjawab. Kaki judi lebih banyak menumpukan perhatian kepada hal bersangkutan judi. Mereka tidak kisah soal urusan kerja seharian dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Ada kaki judi turut terbabit dengan amalan khurafat seperti memohon kepada kubur atau tempat yang dianggap keramat supaya mendapat untung besar dalam perjudian. Berjudi berdosa besar sementara perbuatan khurafat pula adalah syirik yang tidak diampunkan dosanya.
Sebenarnya tidak ada individu mendapat kekayaan hasil berjudi. Jika adapun menang sekali sekala, jumlah yang diperoleh tidak balik modal dengan wang yang dihabiskan sebelum itu. Tambahan pula, wang yang diperoleh daripada sumber haram tidak membawa keberkatan kepada pemiliknya.
Tidak ada orang yang hidup bahagia hasil wang berjudi. Wang hasil haram dipanggil wang panas mendatangkan pelbagai keburukan tidak disangka-sangka menjadikan kehidupan tidak tenteram.
Setiap orang yang ingin mendapat kekayaan haruslah berusaha mengikut jalan dibenarkan syariat. Usaha gigih dan kena caranya akan mendatangkan hasil lumayan. Sesungguhnya usaha mencari kehidupan lebih baik dengan cara berkerja bersungguh-sungguh adalah sebahagian daripada ibadat.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment