|
|
TATKALA kaki melangkah menaiki tangga batu marmar hitam menuju ke ruang solat utama Masjid Negara, kenangan lebih dua dekad lalu kembali menerjah. Apa tidaknya, perjalanan pendek itu mengembalikan memori manis dan pengalaman indah penulis ketika pertama kalinya mengikuti lawatan sambil belajar ke kota metropolitan Kuala Lumpur.
Kini usia Masjid Negara sudah mencecah 44 tahun. Sudah pastinya, mercu tanda negara yang tiada tolok bandingannya ini telah melalui pelbagai transformasi sejajar dengan pembangunan negara.
Ini terbukti dengan perubahan dari segi landskap dan pelbagai kemudahan yang tersedia kepada pengunjung dan para jemaah.
Lebih membanggakan Masjid Negara turut menerima pengiktirafan Jabatan Warisan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan pada tahun 2007.
Perbezaan paling ketara adalah dari sudut kunjungan para pelancongnya. Kalau dahulu pelancongnya boleh dikatakan terdiri daripada masyarakat tempatan, kini Masjid Negara menerima kunjungan para pelancong luar negara.
Sebahagian besar pelancong itu adalah dari Eropah, Jepun, Korea Selatan, Singapura, China dan Timur Tengah.
Hal ini juga diakui Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Azhar Tuarno, 35.
Kata beliau, tahun lepas, Masjid Negara menerima hampir 300,000 pelancong yang datang dari seluruh pelosok dunia. Malah dianggarkan purata pelancong asing yang datang sehari adalah di antara 500 hingga 600 orang, manakala dalam sebulan, sejumlah 20,000 pelancong asing mengunjunginya.
"Angka ini sudah cukup membuktikan kejayaan Masjid Negara dalam menarik pelancong," katanya dalam pertemuan dengan MEGA, baru-baru ini.
Apatah lagi, lokasi masjid di kawasan yang strategik iaitu berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu, Bangunan Daya Bumi, Pejabat Pos Besar Malaysia, Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam Malaysia, Bangunan Pusat Islam dan taman-taman rekreasi.
Ia juga selari dengan kempen kerajaan yang melancarkan Tahun Melawat Malaysia dengan mensasarkan pusat-pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan atau dikenali dengan konsep pelancongan keagamaan, sebagaimana yang sedang berkembang pesat sekarang ini. Selain menjadi satu medium dakwah melalui konsep pelancongan.
Menurut Azhar, pihaknya menerima banyak respons di mana aspek yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah tentang keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazin, peranan makmum dan cara umat Islam bersolat.
"Mungkin sebahagian masyarakat Islam melihat perkara-perkara di atas tidak ada yang istimewa, tetapi bagi orang bukan Islam ia adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan dengan suasana rumah ibadat agama lain.
"Alhamdulillah, kesannya ada di kalangan pelancong asing ini, sudah memeluk Islam. Sayangnya kami tidak menyimpan statistik sebenar," kata beliau yang juga salah seorang Imam Masjid Negara.
Tambah Azhar, kemunculan Masjid Negara sebagai destinasi wajib dilawati tidak akan berjaya tanpa peranan dan komitmen para sukarelawan yang mengikuti program Pemandu Pelancong Masjid.
Program ini adalah kerjasama Masjid Negara dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi menyampaikan usaha dakwah kepada para pelancong yang berkunjung ke masjid.
Menerusi program itu, kata beliau, ia dapat menjadi saluran memberi penjelasan mengenai kesyumulan Islam dan pengikutnya di samping memperbetulkan tanggapan Barat mengenai Islam.
Tambahnya, mereka yang terlibat dalam program itu ialah golongan sukarelawan yang terlatih. Bermula tahun lepas, pihak masjid telah menyediakan latihan di Bahrain.
Setakat ini, dua siri kursus yang melibatkan kira-kira 40 orang sukarelawan telah diadakan.
"Malah kami amat mengalu-alukan mereka yang berminat menjadi sukarelawan pemandu pelancong.
"Mereka yang mempunyai kemahiran penguasaan selain bahasa ibunda dan bahasa Inggeris seperti Mandarin, Arab, Perancis, Korea dan Jepun adalah lebih digalakkan agar sama-sama membantu para pelancong bukan Islam untuk lebih mengenali masjid dan Islam," kata beliau.
Di samping itu, Azhar berkata, kerjasama ini turut dipanjangkan dengan menyediakan kursus-kursus bahasa seperti kelas bahasa Mandarin, Perancis dan kini sedang berlangsung adalah kelas bahasa Jepun.
"Pada masa yang sama, masjid turut membuka kelas kepada kumpulan saudara baru atau mualaf," jelas Azhar yang turut ditemani Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Azri Zainal Abidin sepanjang sesi temu bual itu.
Seperkara lagi, jelas Azhar, walaupun kewujudan masjid ini sudah lama, namun program-program yang disediakan sentiasa diperbaharui dan disesuaikan dengan keadaan semasa.
"Program-program biasa dan tradisi di Masjid Negara seperti kelas pengajian al-Quran, kelas bahasa Arab, kelas wanita, akan terus dijalankan biarpun kita telah ada lebih 1,000 pelajar yang silih berganti. Kesemua kelas ini dikendalikan setiap hari pada sebelah petang hingga malam.
"Kita juga ada sekolah rendah agama dan kelas tahfiz untuk kanak-kanak. Kelas-kelas ini terbuka kepada orang ramai dan sesi pendaftarannya adalah pada awal tahun," kata beliau.
Yang pastinya, jelas Azhar, kebanyakan program yang disediakan adalah percuma kecuali kelas-kelas pengajian yang dikenakan sedikit bayaran. Pun begitu, yurannya masih dalam lingkungan yang berpatutan.
"Sayangnya sungguhpun setiap program yang disediakan ini adalah percuma, namun masih terdapat cabaran dalam mengajak penyertaan orang ramai.
"Pun begitu, dengan sokongan daripada media massa, tidak kira cetak mahupun elektronik, alhamdulillah apa yang diuar-uarkan itu sentiasa nampak keberkesanannya iaitu penganjuran sesuatu program itu ada sambutannya," kata beliau.
Mengimarahkan
Bermula dengan berbuka puasa, tarawih, tadarus, qiamullail, kuliah, tazkirah, sambutan Nuzul al-Quran, khatam al-Quran, takbir hari raya dan seterusnya solat sunat Aidilfitri.
Katanya, program sebulan yang diatur ini boleh dikatakan menelan belanja ratusan ribu ringgit. Ini semua diatur untuk menggalakkan kehadiran muslimin dan muslimat di ibu kota mendekati masjid. Di samping, memperoleh ilmu bagi pemantapan rohani dan jasmani.
"Oleh itu, penyediaan pelbagai program secara percuma dan dengan peruntukan yang besar ini adalah satu kerugian jika tidak diambil peluang atau dimanfaatkan oleh masyarakat sekitar.
"Kini masjid boleh menampung kapasiti 15,000 jemaah dalam satu-satu masa. Begitu juga dengan perpindahan ruang pejabat.
Kalau sebelum ini, ia terletak di bahagian bawah tetapi telah ditukarkan ke bahagian atas.
"Kita juga sedang dalam proses membina e-derma dan kiosk bank. Ini adalah sebahagian daripada usaha menjadikan masjid sebagai pusat sehenti atau one stop centre. Ia juga satu usaha menarik orang awam ke masjid," jelasnya.
Masjid Negara juga katanya, mempunyai Unit Khidmat Sosial di mana kakitangan masjid akan melakukan aktiviti ziarah ke hospital-hospital seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Selain mengadakan lawatan, mereka turut menyampaikan sumbangan.
"Malah pada tahun lepas, kumpulan kakitangan masjid telah pergi ke Perkampungan masyarakat Orang Asli di Tasik Banding, Hulu Perak. Kami juga dalam perancangan untuk ke rumah-rumah anak yatim terpilih.
"Di bawah unit ini juga ada mengendalikan kursus pengurusan jenazah dan sebagainya," tambah beliau.
Sementara itu, Pusat Pembangunan Sosial (PPS), di bawah Unit Khidmat Sosial, Masjid Negara menawarkan khidmat nasihat dan runding cara secara percuma kepada semua rakyat Malaysia.
Kata Azhar, mereka menerima pelbagai jenis aduan, termasuk masalah berkaitan rumah tangga dan gejala sosial.
Fasilitator yang berkemahiran dan arif dalam bidang berkaitan akan ditugaskan untuk memberikan khidmat nasihat berkaitan masalah yang dihadapi oleh orang ramai. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh datang sendiri ke PPS di Masjid Negara atau hubungi talian 03-26937784.
Waktu perkhidmatan adalah Isnin hingga Khamis dari pukul 9 pagi hingga 4 petang. Semua kemudahan ini adalah untuk orang ramai dan pelancong yang semakin bertambah. Sekali gus meningkatkan mutu serta imej Masjid Negara dan kemudian disusuli pelbagai program.
Selaras dengan perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Masjid Negara tidak melepaskan peluang untuk seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.
Lantaran itu, kata Azhar, pada 2005 telah diwujudkan Unit Multimedia dan Penerbitan yang bertanggungjawab kepada laman web serta penerbitan Buletin Suara Masjid (bulanan) dan risalah Seruan Masjid (mingguan).
No comments:
Post a Comment