Akidah, perpaduan tonggak kekuatan Islam dalam perjuangan
Oleh Yussamir Yusof
BANGSA Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan jahiliah. Kemudian Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW yang kelahirannya membawa sinar dan kegemilangan kepada seluruh umat manusia.
Firman Allah bermaksud: "Sebenarnya dia (Muhammad) datang membawa kebenaran dan membenarkan rasul (sebelumnya)." � (Surah Shaafaat, ayat 37)
Selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW, bangsa Arab serta negara yang menerima Islam berjaya mencapai kegemilangan. Namun, sedikit demi sedikit kegemilangan itu direntap dan dihilangkan oleh umat Islam sendiri.
Sehinggalah pada abad ke-21 ini, Islam tidak lagi dipandang tinggi dan digeruni. Kini Islam digambarkan sebagai agama yang membawa kepada kemunduran dan kehancuran. Malah, dilabel sebagai agama yang menggalakkan keganasan.
Wajah Islam yang dahulunya dihormati dan disenangi, dilukiskan dengan sebegitu teruk dewasa ini. Walaupun ada kesedaran di kalangan umat Islam mengenai hal itu tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Semuanya disebabkan umat Islam sudah meninggalkan Islam jauh di belakang.
Kekuatan umat Islam dulunya pernah menjadi mimpi buruk bagi mana-mana kerajaan yang mahu menyerang dan menakluk negara di bawah pemerintahan Islam sehinggakan pemerintah bukan Islam pernah tertanya-tanya apakah rahsia kekuatan umat Islam ini.
Selepas beberapa kali kalah di tangan orang Islam dalam beberapa siri peperangan, pemerintah Rom ketika itu, Maharaja Caesar memanggil panglimanya. Kemudian beliau bertanya kepada panglimanya: "Siapakah sebenar mereka yang kamu perangi itu? Bukankah mereka manusia seperti kamu juga?
Kemudian bangunlah seorang panglimanya dan menjawab: "Wahai tuanku, mereka adalah manusia seperti kami juga tetapi mereka bukan sembarangan manusia. Mereka adalah pendeta pada malam hari, dan pahlawan yang gagah berani pada siang hari. Mereka bersembahyang, berpuasa, tidak pernah meminum arak dan tidak berzina. Hatta, jika putera raja mereka sendiri yang mencuri, nescaya mereka akan memotong tangannya. Setiap seorang daripada mereka bercita-cita untuk mati sebelum saudaranya."
Umat Islam akan disegani dan dihormati jika mengikut ajaran Islam sebenar. Itulah rahsia yang selama ini orang bukan Islam tertanya-tanya iaitu di manakah letaknya kekuatan umat Islam. Kekuatan umat Islam ditafsirkan sebagai kekuatan keimanan terhadap akidah dan pelaksanaan syariat Islam dengan sebenarnya.
Daripada kekuatan akidah dan syariat itu, perpaduan juga menjadi batu asas kekuatan umat Islam sehinggakan tidak dapat digoncang sedikit pun. Akidah Islam yang teguh menjadikan umat Islam memiliki semangat persaudaraan yang erat.
Akidah yang teguh membentuk sikap bertanggungjawab terhadap Islam, sekali gus dapat mengatur strategi secara bersama dalam menghadapi musuh Islam. Kekuatan perpaduan umat Islam tidak seharusnya sekadar retorik, tetapi perlu dijelmakan melalui tindakan, tidak kira dalam apa juga lapangan.
Kekuatan perpaduan dan kerjasama yang pernah berlaku di kalangan umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dapat digambarkan melalui hadis diriwayatkan daripada Abi Buraidah dan Abi Musa bahawa Rasulullah berkata: "Sesungguhnya kaum al-Asy'ariyyin apabila habis bekalan makanan mereka dalam peperangan atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan sama rata dalam satu bekas. Sesungguhnya mereka daripada kalangan mereka, dan mereka daripada kalanganku."
Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis itu berkata: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memerangi assabiyah yang disebabkan oleh keturunan semata-mata, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun, Baginda menganggap kaum Al-As'ariyin sebahagian daripada Baginda."
Ia disebabkan prinsip yang sama, iaitu saling menjamin dan bantu-membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. Sejarah banyak mencatatkan peristiwa peperangan yang berlaku umat Islam dan bukan Islam.
Dalam catatan itu semuanya menceritakan bahawa kekuatan umat Islam digemblengkan dan dibangkitkan oleh Islam. Malah, kerajaan bukan Islam yang mahu menakluk negara Islam berasa menyesal dan mengakui akan kekuatan umat Islam.
Seorang pengkaji sejarah Perancis bernama Collit ketika mengulas kejayaan umat Islam mempertahankan al-Jazair (al-Jazair ialah ibu negara Algeria. Bandar terbesar di Algeria ini adalah bandar kedua terbesar di Afrika Utara selepas Casablanca di Maghribi) dari Perancis berkata: "Islam adalah unsur positif yang berjaya mendorong orang Islam al-Jaza'ir ke arah menuntut kemerdekaan.
"Mereka dari mula sudah sedar bahawa penjajahan Perancis ke atas negara mereka bermaksud untuk menghapuskan Islam. Oleh itu, mereka berasakan perlunya berpegang teguh dengan Islam, sehingga hal ini berjaya membuatkan mereka memperoleh kemerdekaan dari Perancis."
Perdana Menteri Jordan, Saad Jumaa dalam bukunya bertajuk Allah Aw al-Dimar, memetik ucapan seorang Bishop: "Sesungguhnya rahsia kekuatan luar biasa yang berjaya dizahirkan Islam merujuk kepada kejayaan agama ini mengesan kewujudan Allah dan iradat-Nya yang maha Tinggi. Serta kekuasaan-Nya yang mutlak ke atas alam ini, yang tersembunyi di dalam keesaan-Nya."
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment