Tuesday, May 19, 2009

Tajdid Iman: Wahyu, sunah sumber motivasi kesihatan jiwa

Tajdid Iman: Wahyu, sunah sumber motivasi kesihatan jiwa
Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Mukmin berdisiplin menjaga iman mampu peroleh ketenangan hidup dunia, akhirat

RAMAI menangis ketika menghadapi sakaratul maut. Apakah makna tangisan itu? Sebenarnya, tangisan itu membawa makna manusia tidak mahu berenggang dengan dunia kerana begitu cintakannya mengalahkan cinta kepada Allah dan mengatasi keinginannya untuk kembali bertemu Allah.

Dia benci kepada kematian, padahal itu perjumpaan istimewa antara hamba dengan Allah. Mereka mahu setiap hari adalah hari yang gembira seolah-olah menyambut kelahiran baru. Padahal, kelahiran dan kematian tidak akan membawa sebarang makna kepada seseorang jika mereka lupa diri dan lupa jalan pulang ke akhirat.

Dunia begitu manis dan lazat sehingga mampu mempengaruhi manusia ke tahap mabuk yang teruk dan seterusnya lupa kepada akhirat, walaupun al-Quran sudah mengingatkan manusia dengan ayat yang mendekatkan mereka kepada alam akhirat, namun rangsangan dunia terbukti mampu memutuskan tali ingatan itu perlahan-lahan.

Semakin manusia lalai dan lupa, maka semakin sakitlah jiwa, kerana jiwa itu sebenarnya rindu kepada akhirat tetapi dipaksa juga cinta kepada dunia. Bukankah manusia dijadikan daripada dua elemen berlainan?

Jiwa atau roh dicipta untuk merindui Allah sedangkan jasad sebagai alat sokongan membolehkannya hidup di dunia. Jasad dan roh saling memerlukan untuk berperanan sebagai hamba Allah. Jika manusia hanya mementingkan jasad dan lupakan kedudukan roh, maka tempanglah hidup dan terseksalah roh selama-lamanya.

Roh atau jiwa manusia layaknya seperti jasad, boleh mengalami sakit yang teruk dan ada kalanya beransur-ansur pulih menjadi sihat semula. Seorang mukmin mengambil berat mengenai kesihatan roh dan jiwa.

Dia faham simptom tidak sihat yang mempengaruhi jiwa. Untuk itu, dia berusaha menjaga pantang larang yang boleh menjejaskan kesihatan jiwa. Dia hendaklah berpantang daripada melakukan maksiat, asyik dengan perkara mubah sehingga menjejaskan ibadah dan mengikut kata nafsu melulu.

Bukan hanya berpantang saja diperlukan untuk memastikan jiwa insan sihat, tetapi dia juga mesti melakukan langkah pembinaan dan pembaharuan jiwa iaitu:

Mencari sumber motivasi

Roh memerlukan suntikan motivasi untuk membolehkannya hidup dan cergas. Rasulullah SAW hanya menggunakan pendekatan al-Quran dan hadis untuk membangkitkan roh manusia.

Sahabat sentiasa mendapat tiupan nafas baru setiap kali mendengar sabda Rasulullah SAW dan ayat al-Quran yang diturunkan. Semua yang mereka dengar adalah motivasi, tiada kekecewaan dan kerunsingan selepas mendengar pengajaran Baginda SAW. Bahkan mereka akan berasa lemah dan sedih, kacau dan gelisah jika tidak berdekatan dengan Baginda SAW.

Daripada Abu Rib'ie Hanzalah bin Rib'ie Al-Usaidi (beliau salah seorang setiausaha Baginda SAW) berkata: "Saya berjumpa dengan Abu Bakar kemudian beliau bertanya: Bagaimana keadaanmu wahai Hanzalah? Saya menjawab: Hanzalah sudah munafik! Abu Bakar berseru: Subhanallah, apa yang kamu katakan tadi? Saya menjelaskannya: Jika kami bersama Nabi SAW, kami memikirkan syurga dan neraka seakan-akan kami melihatnya, tetapi apabila kami pulang dan bergaul dengan isteri dan anak serta mengurus pelbagai urusan maka kami sering lupa. Abu Bakar berkata: Demi Allah, kami juga begitu. Kemudian saya dan Abu Bakar pergi menghadap Rasulullah SAW lalu saya berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya Hanzalah sudah munafik. Rasulullah SAW bersabda: Mengapa begitu? Saya berkata: Wahai Rasulullah apabila kami berada dihadapanmu kemudian engkau menceritakan mengenai neraka dan syurga, kami seolah-olah melihatnya dengan mata kami, namun setelah kami keluar dan bergaul dengan isteri dan anak serta mengurus pelbagai urusan maka kami sering lupa. Rasulullah SAW bersabda: Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, apabila kamu tetap dalam keadaanmu seperti ketika berada di depanku dan sentiasa mengingatnya nescaya malaikat akan bersalaman denganmu di tempat tidurmu dan di jalan. Tetapi wahai Hanzalah, sesaat dan sesaat. Baginda mengulanginya tiga kali." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Betapa Hanzalah memerlukan bimbingan wahyu dan hadis Rasulullah SAW untuk menyuntikkan motivasi ke jiwanya yang gelisah. Tetapi anehnya manusia kini, mencari ketenangan dengan mengikut hawa nafsunya menerusi harta, hiburan, wanita, perniagaan dan mengikuti ajaran sesat serta menyeleweng daripada al-Quran dan hadis yang menyebabkan jiwa mereka semakin gelisah.

Ia bagaikan dadah yang memberi ketenangan sekejap saja kemudian semakin melaratlah jiwa tanpa bimbingan wahyu. Ada pula yang mencuba pelbagai teknik untuk mendapat ketenangan jiwa, seperti meditasi gaya Hindu Buddha, mengamal tarekat songsang, menokok tambah amalan ibadat yang kononnya memberi kepuasan lebih kepada jiwa.

Padahal iblis sudah menipu lintasan hati mereka sehingga menimbulkan keraguan dan seterusnya mencadangkan untuk mengamalkan perkara bidaah yang secara langsung menafikan sunnah Rasulullah SAW.

Suatu hari, tiga orang datang ke rumah isteri Rasulullah SAW. Mereka bertanya ibadah Nabi SAW. Setelah diberitahu, mereka menganggap seakan-akan ibadah Nabi SAW hanya sedikit. Mereka bertanya: "Di manakah tempat kami berbanding Nabi SAW padahal Baginda sudah diampuni semua dosanya baik yang lalu mahupun akan datang. Salah seorang di antara mereka berkata: Saya akan sentiasa sembahyang sepanjang malam. Yang lain berkata: Saya akan berpuasa setiap hari. Yang lain berkata: Saya akan menjauhkan diri daripada wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Kemudian Rasulullah SAW datang dan bersabda kepada mereka: Kaliankah yang berkata begini dan begini? Demi Allah. Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut dan paling bertakwa kepada Allah di antara kalian, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Sesiapa yang menyimpang daripada sunnahku, maka dia bukan golonganku." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sesiapa mencari sumber motivasi lain selain sunah Rasulullah SAW yang berpaksikan wahyu-Nya, nescaya mereka akan tertolak. Usaha mereka sia-sia dan jalan yang mereka pilih sesungguhnya menipu diri sendiri.

Allah berfirman bermaksud: "Katakanlah, wahai Muhammad: Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni kamu." (Surah Ali-Imran, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan ini adalah jalan-Ku yang lurus, Maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan (yang lain), kerana jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya, yang demikian itu diperintahkan Allah supaya kamu bertakwa." (Surah Al-An'am, ayat 153)

Mengapa sisihkan terus agama dari jiwa dan memilih maksiat sebagai dadah yang memberi kepuasan sementara? Akhirnya jiwa dan roh itu semakin tenat dan mati sebelum jasad dikuburkan. Berjalan seperti mayat yang hidup. Hanya jasad tiada roh!

Tidak mustahil ketenangan yang dirasai Hanzalah dapat dirasai jiwa kita, tetapi dengan satu syarat, ikutilah jalan Sunnah Nabi SAW.

Disiplin menjaga iman

Kesihatan roh dan jiwa hanya dapat dirasai dengan disiplin dalam menjaga iman. Usaha menilai diri dan mengenal pasti keadaan iman setiap masa adalah amalan Rasulullah SAW dan sahabat. Pelik tetapi benar, keadaan manusia zaman sekarang boleh berdisiplin untuk kebaikan dunianya, tetapi menyerah kalah untuk iman.

Mereka boleh berdisiplin menjaga diet pemakanan, bersungguh mencergaskan badan dengan senaman, susah payah hadir dalam kelas pendidikan, mengikuti kursus keusahawanan, bergiat mencapai cita-cita, tetapi malangnya tidak pandai berdisiplin menjaga keimanan.

Sembahyang dilakukan apabila perlu, majlis ilmu agama dipinggirkan berbanding ilmu dunia, usaha mencari hidayah ditinggalkan kerana terlalu sibuk mencari habuan dunia. Bagaimana mungkin jiwa akan tenang dalam keadaan sebegini. Tiada disiplin dalam mencari akhirat.

Iman dan hidayah boleh bertambah serta berkurang bergantung sejauh mana seseorang berusaha mengekalkan dan mempertingkatkannya. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berjihad mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang yang berbuat baik" (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Setiap mukmin mempunyai sensitiviti kuat mengenai jiwanya, tiada seorang doktor pun boleh mengubat penyakit dalam jiwa melainkan diri kita sendiri yang berpegang kepada motivasi wahyu serta berani berdisiplin menjaga iman. Inilah jihad sebenar!

No comments: