Peguam Syarie Menulis: Mediasi bantu selesai pertikaian tanpa bicara
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
Kaedah guna orang tengah lebih jimat masa, kos tanpa memanjangkan kes ke mahkamah
BARU-BARU ini kerajaan Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu bersama-sama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menganjurkan Kursus Pengurusan Mediasi kepada pegawai syariah dan pegawai tadbir Terengganu.
Selain itu, kursus berkenaan dihadiri beberapa pegawai syariah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Pahang, Kelantan, Perak dan Kedah. Kursus itu dikendalikan mediator berpengalaman Accord Group dari Australia. Peserta diwajibkan menjalani kursus mediasi 40 jam selama lima hari berturut-turut.
Antara objektif kursus adalah untuk memastikan kemahiran dan pengetahuan teknik pengendalian proses sulh yang berkesan. Kursus itu juga bertujuan memberi pendedahan secara profesional kaedah mengurus dan mengawal keadaan pelanggan yang pelbagai, selain mendapatkan pengiktirafan akademik mengenai tanggungjawab, kelayakan dan kredibiliti pegawai sulh secara teori sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa akan tercapai.
Mediasi bermaksud proses untuk membina suatu persetujuan bersama secara sukarela antara kedua-dua pihak. Ketika proses itu, seorang akan bertindak sebagai pihak ketiga atau orang tengah atau perantara (mediator) yang tidak akan memihak kepada sesiapa dan beliau juga tidak bertindak sebagai hakim bagi menentukan pihak mana patut menyelesaikan pertelingkahan mereka.
Mediator juga bukanlah seorang yang memberikan nasihat atau mencadangkan kepada pihak itu bagaimana harus menyelesaikan pertelingkahan mereka. Mediator bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu kedua-dua pihak berkomunikasi antara suatu sama lain dengan lebih berkesan.
Dengan teknik khusus, pihak terbabit dengan bantuan mediator sebagai orang tengah mampu untuk menyelesaikan pertikaian tanpa memanjangkan kes mereka ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan.
Hakikatnya, perjanjian yang diperoleh oleh mereka secara persetujuan bersama itu dengan dibantu mediator akan dapat menyelesaikan pertelingkahan. Kaedah itu lebih baik berbanding jika pihak itu merujuk kes mereka ke mahkamah, seterusnya memperoleh perintah mahkamah.
Ini kerana mahkamah hanya menumpukan kepada hak pihak yang bertikai berdasarkan undang-undang. Sedangkan melalui proses mediasi, penyelesaian dapat dicapai atas dasar keperluan sebenar mereka di atas situasi menang-menang, maksudnya tiada pihak yang kalah.
Mediasi adalah salah satu proses sangat dianjurkan bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah. Mediasi adalah salah satu cabang Alternative Disputes Resolution (ADR) iaitu kaedah penyelesaian tanpa merujuk pertikaian ke mahkamah.
Selain mediasi ada kaedah ADR lain iaitu perbincangan, perdamaian serta arbitrasi. Bagaimanapun, kaedah mediasi dikatakan berjaya menyelesaikan kes tanpa menjalani proses perbicaraan panjang. Ia dipraktikkan di negara seperti Singapura, Australia serta beberapa negara lain.
Kesannya, lebih daripada 70 peratus kes yang didaftarkan dapat diselesaikan dengan kaedah ini manakala selebihnya diselesaikan di mahkamah. Proses itu mempunyai beberapa kebaikan berbanding proses perbicaraan di mahkamah.
Proses mediasi tidak menggunapakai undang-undang serta prosedur mahkamah yang ketat. Proses itu juga lebih menjimatkan masa serta kos pihak-pihak yang bertikai serta dapat mengurangkan bebanan seperti terpaksa menghadapi kelewatan kes di mahkamah kerana sudah pastinya kes akan tertangguh atas beberapa alasan antaranya tidak cukup bukti atau kurang persediaan peguam mahupun pihak-pihak.
Bagi mengurangkan masalah ini, sewajarnya kaedah itu harus ditekankan bagi memastikan hak pihak-pihak tidak terjejas. Kaedah mediasi sudah digunakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi melatih pegawai syariah terutama pegawai sulh bagi menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang.
Proses itu sudah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila kebanyakan kes difailkan ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan oleh pegawai sulh terlatih dengan mediasi. Beberapa negeri seperti Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan ketara dalam peningkatan kes yang diselesaikan di luar mahkamah selepas pegawai sulh negeri terbabit kursus mediasi.
Pegawai sulh sudah dilatih berhadapan pelbagai kerenah pelanggan di samping diserapkan ilmu sebagai mediator supaya dapat menyelesaikan kes Mahkamah Syariah dengan lebih profesional dan tersusun.
Apatah lagi mereka yang mengikuti kursus serta lulus ujian penilaian ditetapkan secara ketat, mereka ini bergelar mediator bertauliah dan diiktiraf negara Asia Pasifik.
Sedikit sebanyak dengan pengiktirafan itu dapat melahirkan pegawai Mahkamah Syariah yang profesional serta mempunyai kemahiran bagi menyelesaikan masalah pihak yang bertikai. Sekali gus proses itu dapat menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak yang mengatakan Mahkamah Syariah lewat. Hakikatnya, lebih daripada 60 peratus kes dirujuk ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan dengan kaedah ini.
Walaupun negara seperti Singapura, Australia, New Zealand dan Republik Arab Mesir sudah lama melaksanakan sistem mediasi di Mahkamah Keluarga berbanding Mahkamah Syariah di Malaysia tetapi dengan adanya pendedahan mediasi pembaharuan atau penambahbaikan dapat dibuat dari masa ke semasa.
Pelaksanaan mediasi dapat mempercepatkan lagi proses penyelesaian pertelingkahan antara pihak-pihak sekali gus dapat mempertingkatkan keupayaan sistem penyampaian dan keberkesanannya.
Dalam Islam, mediasi menyamai konsep sulh yang bermakna 'putus pertengkaran' yang membawa maksud kompromi. Sementara pengertian syarak membawa maksud satu perjanjian dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian antara pihak beragama Islam.
Sejarah juga mencatatkan Nabi Muhammad SAW sebelum menjadi rasul menjadi pengantara (mediator) dalam pertikaian yang hampir mencetuskan pertumpahan darah antara pembesar Quraisy.
Peristiwa itu berlaku ketika ingin menentukan siapakah yang akan meletakkan kembali hajar al-aswad ke tempat asalnya. Muhammad SAW akhirnya dipilih untuk menyelesaikan pertikaian itu dari kalangan pembesar Quraisy kemudian sepakat dan bersetuju cadangan Baginda.
Selepas dilantik menjadi rasul, Baginda tidak melakukan apa-apa perubahan terhadap amalan terakhir dilaksanakan berasaskan prinsip kerelaan kedua-dua pihak. Baginda SAW menampilkan dirinya untuk menyelesaikan pertikaian.
Dalam konteks sedemikian, meskipun berfungsi sebagai hakim tunggal, tetapi Baginda lebih cenderung menyelesaikannya dengan mencadangkan sulh kepada pihak bertikai daripada bertindak menjatuhkan hukuman.
Hakikatnya, sulh ada dinyatakan dalam al-Quran sebagai sebaik-baik jalan untuk perdamaian. Namun begitu, tidak dijelaskan secara terperinci bagaimana suatu sulh dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan pertikaian di antara pihak-pihak.
Langkah JKSM dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menghantar pegawai syariah mendalami ilmu mediasi adalah langkah tepat bagi memartabatkan Mahkamah Syariah serta mencari formula mengurangkan kes tertunggak dan menyelesaikan pertikaian tanpa perbicaraan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment