Wednesday, May 27, 2009

Berbasikal sambil beramal

Berbasikal sambil beramal


Pertubuhan Anak Yatim Perlis menerima sumbangan derma daripada Malakoff sebanyak RM11,480 sempena kayuhan amal anjuran syarikat itu, baru-baru ini.


ADA pelbagai cara boleh dilakukan untuk beramal bagi membantu mereka yang memerlukan. Kebiasaannya majlis makan malam dengan kehadiran golongan selebriti yang menjadi pilihan tetapi bagi Malakoff Corporation Berhad mereka mempunyai cara tersendiri untuk beramal.

Kayuhan sejauh 530 kilometer merangkumi perjalanan dari Yan Kedah ke Krabi, Thailand dipilih sebagai acara tahunan untuk tujuan tersebut. Acara tahunan itu yang bermula sejak tahun 2006 telah menarik minat penglibatan 90 pengayuh basikal dari seluruh Malaysia.

Sejak hari pertama para peserta cukup bersemangat bukan sahaja kerana berkayuh adalah minat mereka tetapi ternyata mereka turut sama terpanggil untuk merealisasikan niat murni Malakoff, iaitu berkayuh sambil beramal.

Sepanjang tiga hari berkayuh dan beramal, hasilnya, sebanyak RM73,880 berjaya dikutip. Untuk tujuan itu, ia diagihkan kepada enam buah rumah kebajikan di sekitar Kedah, Perlis dan Krabi, Thailand.

Rumah kebajikan dan pusat komuniti itu termasuk Rumah Amal Yan Kedah; Pusat Dalam Komuniti Yan; Rumah Budi Yan; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis; PDK Indeera Kasih dan Ruah Seri Kenangan Kangar. Sementara itu, RM5,000 turut didermakan kepada masyarakat Muslim di Krabi, Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Ahmad Jauhari Yahya berkata, tujuan kayuhan amal ini adalah sebagai cerminan tanggungjawab sosial syarikat selain dapat membantu golongan yang kurang upaya.

"Kutipan tahun ini adalah yang tertinggi pernah diperolehi untuk diagihkan kepada rumah anak-anak yatim dan rumah orang-orang tua," katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Ujar beliau, tahun ini adalah penganjuran tahun keempat berturut-turut ia dijalankan dan sentiasa berjaya mendapat tajaan dari syarikat-syarikat besar untuk turut sama menjayakan program tersebut.

Penglibatan peserta juga tambah Ahmad Jauhari, meningkat berbanding tahun sebelumnya selain keistimewaan tahun ini ialah laluannya adalah paling panjang dan mencabar.

"Ramai peserta gagal menghabiskan kayuhan selama tiga hari itu. Ia mungkin disebabkan laluan yang mencabar serta keadaan cuaca panas di sekitar Thailand," tambahnya.

Bagi semua peserta, mereka senada bahawa, kayuhan amal ini perlu diteruskan dan menjadi contoh kepada syarikat lain untuk merangka program unik, bukan sahaja matlamatnya adalah untuk kecergasan badan tetapi juga berupaya memberi kegembiraan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

No comments: