Wednesday, September 19, 2007

Bersama YaPEIM: Menjiwai kandungan al-Quran


CARI KEBERKATAN: Ummah dituntut menjiwai kandungan al-Quran supaya dapat memanfaatkan pengajaran terkandung di dalamnya.

Pembaca dituntut manfaatkan pengajian isi kandungan kitab suci

AL-QURAN adalah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Membacanya dikira sebagai suatu ibadat. Al-Quran yang diturunkan pada Ramadan adalah mukjizat besar Rasulullah yang masih dapat dilihat pada hari ini.

Al-Quran adalah satu-satunya wahyu yang terpelihara daripada sebarang penyelewengan seperti dijanjikan Allah menerusi firman-Nya, bermaksud "Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami (Allah) tetap memeliharanya" (surah al-Hijr: 9).


Sehubungan itu, umat Islam mesti mempastikan al-Quran tetap terpelihara kesucian dan martabatnya. Ia dapat direalisasikan apabila umat Islam ghairah membaca, menghafal, memahami dan mengambil pengajaran di sebalik ayat itu.

Dalam konteks pembacaan al-Quran, motivasi yang Rasulullah berikan kepada umat Islam ialah seperti yang dinyatakan dalam sabdanya daripada Ibn Mas'ud, yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca al-Quran satu huruf daripada kitab Allah baginya satu kebaikan dan kebaikan itu ganjarannya sama dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, dan Lam satu huruf, dan Mim satu huruf" ( Sunan al-Tirmidhi, Bab Thawab al-Quran, Bab Ma Ja'a Fi Man Qara'a Harfa Min al-Qur'an Ma Lahu Min al-Ujr).

Lebih-lebih lagi pada Ramadan, umat Islam digalakkan membaca al-Quran secara bertadarus. Ia adalah antara amalan Rasulullah pada Ramadan adalah bertadarus al-Quran al-Karim.

Seperti yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada Ibn 'Abbas ra katanya, bermaksud: "Nabi Muhammad adalah orang yang sangat pemurah dengan kebajikan dan kemuncak kemurahan adalah dalam bulan ini iaitu ketika Jibril ra menemuinya. Jibril ra menemuinya pada setiap malam Ramadan sehingga habis bulan itu dan Rasulullah membacakan al-Quran kepadanya.

Ketika Jibril menemuinya, Rasulullah adalah lebih pemurah daripada angin berlepas". (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Ajwad Ma Kana al-Nabi Yakunu Fi Ramadan).

Bagaimanapun, al-Quran perlu dibaca dengan betul mengikut hukum tajwid, secara tartil dan tertib. Firman Allah bermaksud: "Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil". (surah al-Muzammil: 4).

Malah, Rasulullah adalah seorang pembaca al-Quran yang paling bagus. Ia diakui sendiri oleh al-Barra' bin `Azib, beliau pernah mendengar Nabi membaca surah al-Tin ketika mengerjakan Isyak dan beliau tidak pernah mendengar suara yang begitu merdu dan elok melainkan suara Baginda (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adhan, Bab al-Qira'ah Fi al-'Isya').

Kemahiran membaca al-Quran seharusnya digabungkan dengan kemahiran memahami apa yang dibaca. Inilah seperti yang disifatkan oleh al-Marhum al-Shaykh Muhammad al-Ghazzali sebagai teknik berinteraksi dengan al-Quran.

Sementara beliau menyesali sikap sesetengah umat Islam yang terlalu menumpukan soal pembacaan tanpa meneliti dan memahami apa yang dibaca, beliau turut menyesali sikap segelintir umat Islam yang membaca al-Quran semata-mata untuk meraih keberkatan daripadanya, walaupun ayat al-Quran yang diturunkan sarat dengan keberkatan.

Barangkali tindakan sesetengah umat Islam yang hanya menjadikan ayat al-Quran sebagai perhiasan khat yang menghiasi sudut tertentu di dalam rumah, membiarkan al-Quran berada di atas rak yang hanya dibuka dan dibaca dalam situasi tertentu seperti kematian, khatam al-Quran ketika majlis walimah, menjadikannya sebagai simbol penghalau unsur jahat boleh dikategorikan sebagai peminta dan pengharap kepada keberkatan itu.

Firman Allah bermaksud: "Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan padamu dengan berkat supaya memikirkan ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran" (Surah Sad: 29)

Di samping itu, beliau turut menyesali dengan sesetengah umat Islam yang tidak berasa apa-apa ketika membaca ayat al-Quran. Secara mudah, beliau membuat perbandingan keadaan individu yang membaca al-Quran dengan orang yang membaca buku diminati.

Orang yang membaca buku selalunya mengalami suasana kejiwaan dengan dirinya menjiwai kandungan buku dibaca seolah-olah dia terbabit secara langsung dengan fakta dibaca. Jika ini boleh berlaku ketika membaca buku, apatah lagi ia harus, malah lebih afdal, berlaku ketika membaca al-Quran. Lebih malang lagi, apabila seseorang yang membaca al-Quran meletakkan kitab suci itu pada tahap yang rendah martabatnya setaraf dengan pembacanya.

Barangkali, fenomena ini berlaku apabila kita dapati ada sesetengah kita yang membaca al-Quran untuk mempastikan orang lain mendapat bencana atau kecelakaan. Contohnya, apabila seseorang kehilangan barang yang berharga, dia lantas membaca ayat al-Quran, selalunya surah Yasin, supaya orang yang mengambil barangnya itu menjadi sakit dan sebagainya.

Keadaan ini memaksa kita bertanya apakah al-Quran diturunkan untuk menjadikan orang lain sakit akibat perbuatannya sedangkan Allah berfirman maksudnya: "Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa" (surah al-Baqarah:2).

Apabila seseorang yang mahir membaca al-Quran dan memahami ayat yang dibaca harus memastikan dirinya terlebih dulu memanfaatkan ayat itu. Dengan kata lain, pengajaran isi kandungan al-Quran harus dimanfaatkan pembacanya terlebih dulu.

Jika ayat yang dibaca berkenaan dengan nikmat pemberian Ilahi yang wajib di syukuri, pembaca harus bertanya kepada dirinya adakah dia benar-benar termasuk orang mensyukuri nikmat itu. Begitu juga jika ayat dibaca mengenai seksaan api neraka, pembaca harus melakukan muhasabah dalam dirinya perkara itu.

Marilah kita renungkan kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz ketika beliau membaca ayat 22-24 daripada surah al-Saffat yang maksudnya: "(Kepada malaikat diperintahkan): kumpulkanlah orang zalim berserta teman sejawat mereka dan sembahan yang selalu mereka sembah, selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka. Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya; kenapa kamu tidak tolong menolong?", beliau begitu terpegun dengan ayat itu sehingga membawa ke waktu subuh.

Walaupun ayat itu menggambarkan pemandangan hari kiamat iaitu keadaan orang yang zalim lantaran kerana musyrik yang mereka lakukan, beliau berasakan ayat itu ada kena mengena dengan diri beliau.

Marilah kita berdoa dan berazam supaya tidak termasuk ke dalam golongan yang al-Quran kategorikan sebagai golongan yang 'mahjur' terhadap al-Quran.

Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

No comments: