Oleh Abdurrahman Haqqi
PERKATAAN "ulu" (sama dengan 'zawu', jamak 'zu') dalam bahasa Arab mempunyai beberapa pengertian termasuk konotasi pemilikan atau kepunyaan yang dimanfaatkan atau banyak disebut dalam al-Quran. Yang menarik perhatian penulis adalah penggunaan al-Quran perkataan itu yang digandingkan dengan perkataan saling mempunyai hubung kait satu sama lain, antaranya kedekatan, tali persaudaraan, berakal, berilmu, kuat, kekayaan, kekuasaan dan kelebihan akal.
Setidaknya kita mendapati dalam al-Quran kata-kata 'ulu' dan 'uli' diikuti 'al-qurba' (Surah al-Nisa: 8), 'al-amr' (Surah al-Nisa: 59), 'baqiyyah' (Surah Hud: 116), 'al-arham' (Surah al-Anfal: 75), 'al-nuha' (Surah Taha: 54, 128), 'al-'ilm' (Ali 'Imran: 18), 'al-ba's; ba's' (Surah al-Isra: 5; Surah al-Naml: 33), 'al-quwwah; quwwah' (Surah al-Qasas: 76; Surah al-Naml: 33), 'al-tawl' (Surah al-Taubah: 86); dan 'al-albab' yang disebut sebanyak 16 kali.
Ulul albab dengan dammah atau 'di depan' disebut tujuh kali iaitu dalam surah al-Baqarah: 269, Ali 'Imran: 7, al-Ra'du: 19, Ibrahim: 52, al-Zumar: 9, 18, Sad: 29, manakala Ulil Albab dengan fathah atau 'di atas' disebut sebanyak empat kali iaitu dalam surah al-Baqarah 179, 192, al-Maidah: 100; al-Talaq: 10; dan dengan kasrah atau 'di bawah' disebut lima kali iaitu dalam surah Ali 'Imran: 190, Yusuf: 111, Sad: 43, al-Zumar: 21, al-Mukmin: 54.
Ulul albab sebagai kelompok manusia yang dekat dengan Allah mempunyai dua karakter penting seperti disebutkan al-Quran iaitu karakter al-zikr (selalu ingat dan mengingati Allah) dan karakter al-tafakkur (selalu berfikir). Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah Ali 'Imran: 190-91)
Kelompok ulul albab dalam masyarakat akan menjadi pemimpin dan petunjuk mereka untuk mencapai kejayaan dan keselamatan hidup seperti ditegaskan al-Quran dengan menggunakan lafaz 'ulu baqiyyah' maksudnya: "Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dulu daripada kamu itu, orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya daripada perbuatan jahat di muka bumi; tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit saja iaitu orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang yang berdosa. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri." (Surah Hud: 116-17)
Ia kerana ulul albab adalah kelompok yang berilmu dan melaksanakan hukum Allah. Di dalam al-Quran disebutkan maksudnya: "Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 179) Di dalam ayat lain maksudnya: "Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya." (Surah al-Baqarah: 269)
Orang yang melaksanakan hukum Allah dan memperoleh hikmat kebijaksanaan adalah yang berilmu di mana kesaksian mereka disejajarkan dengan kesaksian Allah dan malaikat seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Ali 'Imran: 18)
Ulul albab adalah orang yang perkasa dalam segala bidang termasuk bidang pertahanan seperti yang ditunjukkan oleh ketua kaum Ratu Bilqis. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang kuat gagah, dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walaubagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan." (Surah al-Naml: 33)
Ulul albab adalah orang pilihan yang selalu melihat masa hadapan dan mempersiapkan diri masa kini untuk mencapai kejayaan hakiki. Al-Quran menyebutkan maksudnya: "... dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya." (Surah al-Baqarah: 197)
Ulul albab adalah kelompok manusia yang boleh mempertimbangkan segala sesuatunya dengan menggunakan akal sihat dan waras mereka. Mereka boleh membezakan mana yang patut dibuat dan mana yang patut ditinggalkan. Mereka boleh memilih yang terbaik dari yang terbaik. Allah berfirman maksudnya: "... oleh itu gembirakanlah hamba-Ku yang berusaha mendengar perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (dari segi hukum agama); mereka itulah orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 17-8)
Ulul albab adalah kelompok manusia yang sudah ditetapkan Allah sebagai orang yang bertakwa. Al-Quran menegaskan maksudnya: "Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya." (Surah Al-Maidah: 100) Dan juga maksudnya: "Maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal sempurna dari kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepadamu peringatan." (Surah al-Talaq: 10)
Ulul albab adalah kelompok manusia yang menjadikan kisah silam sebagai pengajaran dan iktibar untuk memperbaiki diri dan meningkatkan taraf kehidupan supaya mereka mencapai kejayaan dengan petunjuk Ilahi. Allah berfirman maksudnya: �Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman." (Surah Yusuf: 111)
Ulul albab adalah sekumpulan manusia menjadi pakar rujuk masyarakat demi memperoleh petunjuk dan hidayah dari Allah. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang yang berakal sempurna. (Surah al-Ra'd: 19) Dalam ayat lain disebutkan: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 9)
Ulul albab juga tidak terlepas daripada keperluan terhadap sains dan teknologi kerana mereka dituntut untuk berfikir secara saintifik. Al-Quran menyebutkan maksudnya: "Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 21)
Ulul albab bukan hanya milik umat Islam. Ia adalah fenomena semula jadi masyarakat dunia supaya mereka kembali kepada kehendak Allah, agar mereka sentiasa sedar bahawa mereka adalah makhluk Allah yang memerlukan petunjuk dan hidayah-Nya. Allah berfirman maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberikan Nabi Musa hidayah petunjuk, dan Kami berikan kaum Bani Israil mewarisi Kitab Taurat sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang yang berakal sempurna." (Surah al-Mukmin: 54) Di tempat yang lain disebutkan maksudnya: "(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf." (Surah Ibrahim: 52).
Dengan pelbagai karakter dan kelebihan ulul albab, mereka juga diingatkan supaya memiliki kesabaran supaya semua langkah mereka membuahkan hasil yang lebih. Dalam menceritakan kisah Nabi Ayub, Allah berfirman maksudnya: "Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya - keluar-ganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang)." (Surah Sad: 43).
Kelompok ulul albab diinginkan al-Quran dalam ayat- yang disebutkan di atas diterjemahkan oleh Kerajaan Terengganu dengan program Generasi Ulul Albab: Quranik, Ensiklopeadik, Ijtihadik seperti dijelaskan Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini. Ia sebagai kesinambungan pemikiran ulul albab Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi. Semoga berjaya dan menjadi contoh. Wallahul Musta'an.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment