Saturday, November 17, 2007

Niat ikhlas, ilmu tentukan jemaah raih haji mabrur

MENDAPAT haji mabrur adalah cita-cita semua jemaah haji yang pergi ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam kelima kerana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak ada ganjaran bagi haji mabrur, kecuali syurga.”

Namun, bukan mudah untuk mencapai haji mabrur memandangkan usaha ke arah itu memerlukan perjuangan, cabaran, dugaan dan syarat yang mesti dipenuhi setiap peribadi jemaah haji termasuk niat.

Justeru, setiap jemaah haji hendaklah membetulkan niatnya dan dengan tekad kuat yang tertanam dalam lubuk hati sanubari, maka kemantapan ibadat akan terjamin baik.

Membetulkan niat ditentukan oleh kebersihan hati kerana hati yang bersih menentukan setiap langkah akan terfokus kepada hal yang baik dan telus. Kebersihan itu adalah dengan memohon doa kepada sanak saudara, keluarga, jiran tetangga dan sahabat taulan. Kita tidak tahu daripada mulut yang mana dan daripada siapa, doa itu akan dimakbulkan Allah.

Darjat haji mabrur sangat ditentukan oleh hati (niat yang ikhlas). Banyak orang melaksanakan ibadat haji, tetapi tidak mendapatkan nilai haji mabrur. Antara sebabnya, kerana ibadat haji tidak didasarkan atas niat ikhlas dan tulus.

Oleh itu, sejak awal lagi setiap jemaah haji hendaklah segera memantapkan niat suci untuk menunaikan ibadat haji semata-mata kerana Allah. Luruskan niat, bersihkan hati dan memohon ampunan daripada Allah. Pergunakan kesempatan menunaikan ibadat haji dengan sebaiknya.

Di samping itu, fahami tatacara mengerjakan haji supaya dapat melaksanakan ibadat itu dengan baik dan sempurna kerana keadaan di tanah suci yang dipenuhi berjuta umat Islam dari seluruh negara boleh memberi cabaran kepada jemaah haji.

Selain niat haji, bekalan tauhid juga penting untuk membina kekuatan diri menjadi insan bertakwa kerana sesiapa yang bertakwa, dialah orang yang hampir dengan Tuhannya dan memperoleh kejayaan.

Imam Bukhari mengatakan, ilmu itu adalah pimpinan amalan dan amalan itu mengikuti ilmu. Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah hingga Ihya Ulumuddin selalu menekankan supaya mendahulukan ilmu sebelum melakukan kegiatan (amalan). Ia menjelaskan jemaah haji mestilah membekalkan dirinya dengan ilmu sebelum menunaikan ibadat haji.

Oleh itu, jemaah perlu memantapkan niat dan keilmuannya sebelum melaksanakan ibadat haji supaya nanti hajinya tidak menjadi sia-sia.

No comments: