Wednesday, November 21, 2007

Penjara pesalah syariah, jenayah mesti diasing

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

APABILA seseorang melakukan kesalahan jenayah dan berjaya disabitkan di mahkamah, ada beberapa bentuk hukuman dikenakan antaranya boleh dikenakan denda, sebatan, dipenjarakan, dibuang daerah, digantung dan sebagainya bergantung jenis jenayah dilakukan.

Berhubung hukuman penjara, peruntukan yang ada menyaksikan Mahkamah Sivil boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga seumur hidup berbanding dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang jauh lebih kecil, hanya diperuntukkan kepada tempoh maksimum tiga tahun.

Kita sangat berharap pindaan kepada peruntukan bidang kuasa Mahkamah Syariah dilakukan demi memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini.

Walaupun hukuman penjara yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah terhad kepada tempoh maksimum selama tiga tahun (berbanding dengan Mahkamah Sivil), hakikatnya memang Mahkamah Syariah mempunyai kuasa dan sudah pun menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah seperti mana diperuntukkan.

Pelbagai kesalahan jenayah syariah mempunyai peruntukan hukuman penjara seperti dalam Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.

Hukuman penjara dalam Islam bertujuan antara lain, untuk memberi peluang pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat, bukan hanya untuk menyeksa pesalah dengan menarik hak kebebasan mereka. Bagi tujuan itu, penting untuk kerajaan menggarap modul yang sesuai.

Buat masa ini, semua pesalah sama ada pesalah jenayah atau jenayah syariah ditempatkan dalam penjara yang sama. Tidak dapat dibayangkan seorang pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran atau melanggar fatwa mufti diletakkan di penjara sama dengan pesalah dadah, rogol dan merompak.

Dikhuatiri pesalah syariah ini akan terpengaruh dengan pesalah lain dan apabila keluar kelak mereka bukannya insaf atas kesalahan yang dilakukan tetapi lebih teruk daripada itu, cuba melakukan kesalahan lain pula.

Dalam hal demikian, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan untuk mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh hukuman penjara itu pemulihan akidah, akhlak dan adab dilakukan.

Tujuannya, supaya tatkala mereka melangkah keluar daripada penjara berkenaan mereka keluar dengan penuh keinsafan dan bertaubat tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan itu.

Mungkin cetusan pandangan ini membawa implikasi besar daripada segi kewangan kerajaan dan perbelanjaan serta perjawatan pegawai awam, namun ia dilihat sebagai amat perlu memandangkan kadar kesalahan jenayah syariah semakin hari semakin berganda dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak yang berkenaan.

Apatah lagi apabila melihat situasi di penjara sivil yang terlalu sesak tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program yang boleh menginsafkan mereka. Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara kerana penjara yang ada seolah-olah terlalu sukar mendidik banduan.

Sering kali kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka hingga kadang-kadang ditangkap dan dipenjarakan kali kedua selepas keluar dari penjara.

Hal ini mengakibatkan kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung mereka di penjara.

Sifat punitif penjara itu sudah dikesampingkan kerana tiada atau kurangnya nilai keagamaan disemai dalam penjara. Bukan tiada langsung program keagamaan diadakan dalam penjara tetapi tidak sesuai apabila dicampurkan bersama antara pesalah berat dengan pesalah syariah.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sudah mengadakan lawatan ke penjara wanita di Kajang bagi melihat program kesedaran agama dan hak wanita di sisi hukum syarak yang disediakan kepada banduan wanita penjara berkenaan.

Bagi tujuan pemulihan pesalah berkaitan kesalahan akidah, kaunseling agama oleh mereka yang terlatih wajar dilaksanakan.

Untuk itu, jabatan kerajaan lain boleh bersama membantu seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Jabatan Kebajikan.

Di samping itu juga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan juga boleh membantu pihak penjara syariah dalam program yang akan diadakan. Penyelidik dan ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi juga boleh membantu menjayakan dasar ini.

Minggu lalu penulis dijemput Jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk membentangkan kertas kerja dan menyertai bengkel menggubal dasar berkaitan pemantapan dan pemulihan akidah. Penulis dapati usaha dijalankan Jabatan Mufti Negeri Sembilan amat berkesan dan boleh dijadikan contoh.

Walaupun dalam kekangan prasarana kemudahan dan peruntukan undang-undang yang begitu terhad, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dalam keupayaan yang ada berusaha memulihkan akidah orang Islam yang dirujuk kepada mereka.

Bayangkan jika Jabatan Mufti seperti ini dibekalkan dengan keupayaan sepenuhnya daripada aspek infrastruktur, perjawatan dan yang lebih penting sumber kuasa daripada sudut undang-undang, sudah tentu aspek pemulihan yang dijalankan akan lebih berkesan dan teratur.

Program penghayatan agama, peningkatan akhlak Islamiah, pemantapan aqidah dan nilai budaya Islam juga perlu dititikberatkan dalam modul dakwah dalam penjara. Ini termasuk penjara yang ada sekarang ini dan juga penjara untuk kesalahan syariah yang dicadangkan.

Dengan cara itu pesalah syariah akan menginsafi kesalahan yang mereka lakukan dan peluang untuk membuka lembaran baru dalam catatan kehidupan mereka adalah amat besar.

Demi pemulihan, kerajaan perlu mengadakan penjara berasingan bagi pesalah syariah.

Pelaksanaan penjara berasingan akan membawa kesan besar kepada pesalah dan juga sistem keadilan syariah di negara ini.



Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com

No comments: