Oleh Penulis Khas YaPEIM
PERANAN MASJID: Urusan pentadbiran kehidupan umat dilaksanakan dengan semangat masjid (tempat sujud kepada Allah) kerana ia adalah sebahagian daripada pengabdian kepada Tuhan. |
Nilai amalan yang dilaksanakan Rasulullah sebagai model paling sesuai dalam semua bidang
SEJARAH perkembangan pentadbiran dan pengurusan Islam dapat ditelusuri sejak era Nabawi lebih 1,400 tahun lalu, iaitu ketika terbukanya negara Islam di Madinah. Sesuai realiti dan keperluan zaman itu, amalan pengurusan lebih berorientasikan pentadbiran hal ehwal kenegaraan (politik).
Dari segi struktur dan mekanisme, memang belum cukup canggih tetapi ia dianggap sebagai model terbaik kerana pada zaman itulah ajaran Islam (al-Quran dan al-Sunnah) dilaksanakan sebaiknya dalam semua bidang kehidupan, termasuk pengurusan dan pentadbiran.
Rasulullah SAW sendiri yang memimpin, maka segala urusan dilaksanakan menurut petunjuk wahyu Ilahi. Kejayaan Baginda SAW memimpin manusia mencipta kehidupan berkualiti mencapai piawaian ketuhanan iaitu keredaan Allah.
Prestasi cemerlang Baginda SAW dalam bidang keagamaan dan keduniaan turut diapresiasi dan dikagumi sejumlah besar peneliti termasuk peneliti Barat yang rasional dan objektif.
Michael H Hart dalam bukunya The 100 A Ranking of the Most Influential Persons in History meletakkan nama Muhammad SAW di puncak urutan 100 tokoh dunia paling berpengaruh dalam sejarah.
Ketika membuat ketetapan itu beliau mengatakan: "Pilihan saya Muhammad sebagai tokoh nombor satu dalam senarai tokoh paling berpengaruh dalam dunia mungkin memeranjatkan beberapa pemimpin dan dipersoalkan oleh orang lain, tetapi beliau seimbang agama dan sekular."
Dilihat dari segi urusan pengurusan, ciri penting yang sekali gus menjadi faktor kecemerlangannya ialah kuantiti kepemimpinan Rasulullah SAW. Tidak diragukan Baginda berjaya memenuhi fungsi utama kepemimpinan iaitu transformasi kemanusiaan dan pembinaan budaya.
Memang tumpuan utama pada tahap itu ialah pembangunan manusia atau yang disebut dalam pengurusan sebagai Pembangunan Sumber Daya Manusia. Hakikat bahawa modal terpenting adalah manusia ternyata disedari sejak zaman dulu. Segala bermula dengan membina manusia berkualiti menerusi penghayatan tauhid dengan segala implikasi liberatif-transformatifnya.
Kesaksian tauhid (tidak ada Tuhan melainkan Allah) membawa implikasi pembebasan manusia daripada pengabdian kepada apa pun dan siapa pun selain Allah. Dengan kata lain, tauhid adalah doktrin pembebasan yang sebaiknya.
Manusia tauhidik adalah manusia berjiwa merdeka yang peka dengan martabat, kehormatan dan kemampuan dirinya sebagai makhluk mulia. Selain itu, ajaran tauhid juga membawa implikasi bahawa Allah adalah satu-satunya sumber petunjuk dan nilai hidup.
Dengan menghayati petunjuk dan nilai ketuhanan secara serius dan berterusan, terbinalah watak manusia rabbani yang sentiasa menyedari kehadiran Tuhan dalam segala tingkah lakunya. Manusia tauhidik sebagai modal utama pentadbiran era Nabawi ternyata berjaya menghasilkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang, dakwah, perang, diplomasi dan kehidupan umat umumnya.
Demikianlah terbinanya asas pengurusan pentadbiran berlandaskan nilai Qurani. Memang kata tadbir itu sendiri adalah istilah Qurani yang disebut berulang kali pelbagai tempat seperti dalam surah Yunus, ayat 3 dan 31; surah al-Ra'd, ayat 2 dan surah al-Sajdah ayat 5.
Banyak ayat al-Quran yang mengimbau manusia merenung hakikat bahawa Tuhan adalah pengurus pentadbir (alam dan sekalian makhluk) yang sebaiknya. Selain itu, banyak -ayat lain yang secara langsung memberikan panduan mengenai pengurusan yang baik.
Prinsip dan nilai Qurani seperti musyawarah, keadilan, kebenaran, keikhlasan, keihsanan, persaudaraan, kasih sayang dan sebagainya itu tidak hanya dibaca tetapi dilaksanakan dengan bermodalkan amalan (sunnah) Rasulullah SAW dalam pelbagai konteks, sebagai ketua negara, ketua tentera dan ketua hakim.
Gambaran mengenai pentadbiran gaya Nabawi dapat dilihat dalam catatan sunnah dan sirahnya. Termasuk yang berbentuk dokumen seperti Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah), surat perjanjian dan surat menyuratnya dengan ketua negara asing.
Objektif utama pentadbiran Nabawi ialah untuk meratakan dakwah dan pembinaan kehidupan yang sejahtera, adil dan bermoral berasaskan syariat.
Antara ciri menarik pentadbiran era itu ialah Nabi SAW sendiri yang menepati posisi puncak sebagai pemimpin tertinggi pusat bukan saja memiliki kuasa eksekutif, tetapi juga sebagai teladan terunggul yang memimpin sekali gus mendidik.
Meskipun Rasulullah SAW maksum dan sentiasa terbimbing dengan wahyu Ilahi, pentadbirannya tetap berdasarkan musyawarah. Dalam melaksanakan pelbagai urusan kenegaraan Baginda sentiasa didampingi mushir (penasihat/perunding).
Oleh itu, ruang penyertaan umat dalam pentadbiran negara terbuka luas. Sistem pentadbiran Nabawi juga memperlihatkan ciri disentralisasi yang memberikan ruang kepada pemerintah daerah menggunakan kuasa budi bicara sesuai dengan realiti dan keperluan daerah masing-masing tertakluk kepada dasar umum penguasa pusat. Sistem ini memungkinkan berlakunya pentadbiran partisipatif.
Sebagaimana dinyatakan sebelum, struktur organisasi pentadbiran era itu belum begitu canggih, tetapi cukup kompeten dalam konteks zaman dan lingkungan ketika itu.
Antara jawatan penting yang diwujudkan termasuk Naib, Setiausaha (Katib), Hakim (Qadi ), Perunding (Mushir), Wakil atau Duta (Rasul atau Safir), Pemungut Zakat (Amil), Gabenor (Wali) dan Naqib (Nuqaba). Struktur dan mekanisme itu memadai untuk melaksanakan fungsi memelihara agama dan mengurus kehidupan umat.
Seperkara yang cukup menarik ialah peranan masjid (al-Masjid al-Nabawi) sebagai pusat dan paksi segala kegiatan hidup umat baik yang bersifat ibadat, kemasyarakatan, kenegaraan dan kebudayaan.
Fakta itu menunjukkan hakikat bahawa tidak ada pemisahan antara agama dengan negara. Ajaran tauhid secara langsung menghendaki supaya negara diurus secara agama. Urusan pentadbiran kehidupan umat dilaksanakan dengan semangat masjid (tempat sujud kepada Allah) kerana ia adalah bahagian daripada pengabdian kepada Tuhan.
Pentadbiran dalam Tamadun Islam terus berkembang sesuai dengan perkembangan sejarah sosio politiknya. Pada zaman pemerintahan al-Khulafa' al-Rashidun, liputan pentadbiran Islam bertambah luas dengan penggabungan daerah baru dalam kesatuan wilayah Islam.
Wilayah pentadbiran khalifah pertama Abu Bakar al- Siddiq meliputi daerah tanah besar Hijaz, Yaman dan Bahrain. Bagaimanapun, dari segi bentuk dan sistem pentadbiran, pada dasarnya masih kekal sebagaimana diamalkan pada zaman Rasulullah SAW terutama sistem syura yang menjadi prinsip utama pentadbiran pengurusan Islam.
Keadaan itu mungkin ada kaitan dengan sikap Abu Bakar yang peka dengan kedudukannya sebagai Khalifatu Rasulullah (pengganti Rasulullah SAW) dan kerana itu juga beliau tidak mahu merubah segala yang diputuskan oleh orang digantikannya (Rasulullah SAW).
No comments:
Post a Comment