Wednesday, November 21, 2007

Bukan Yang Pertama (Siri 136)

Oleh SALINA IBRAHIM

Dua hari menemani Umar Khalil ke Port Dickson, lebih banyak masa dihabiskan sama ada di bilik atau sekadar berjalan-jalan di tepi pantai memandang laut lepas. Umar Khalil agak sibuk mengikuti seminar, jadi dia sengaja tidak mahu menuntut apa-apa. Habis berseminar, biasanya Umar Khalil akan cepat-cepat menyiapkan tugasannya sebelum mengirimkan ke ibu pejabat melalui e-mel.

Dia rasa sudah cukup baik kerana Umar Khalil mahu mengajaknya sekali dalam kesibukannya menguruskan itu ini. Dia sedar suaminya akan lebih selesa bekerja tanpa kehadiran dia. Tetapi suaminya itu langsung tidak mengeluh atau merungut apa-apa.

Jadi dia rasa, dia tidak berhak untuk mengada-ada dan meminta yang bukan-bukan. Tidak mengapalah sekadar duduk di bilik menghabiskan masa menonton satu demi satu filem yang ditayangkan di saluran televisyen satelit.

Atau kalau sudah terlalu bosan, dia duduk di tepi balkoni kamarnya melihat kanak-kanak yang riang mandi manda di kolam renang di aras bawah. Kalau-kalau tergerak hati untuk keluar, dia akan menghala ke tepi pantai, melihat alam luas yang terbentang.

Setiap kali Umar Khalil bertanya aktivitinya pagi atau petang, dia hanya memberikan jawapan yang sama.

“Itu saja yang ditengok pagi sampai ke petang. Tak jemu ke?” Umar Khalil mengusiknya ketika suaminya itu masuk ke bilik menjelang jam lima. Meletakkan beg laptopnya di atas meja.

Dia tergelak.

“Jemu. Siapa tak jemu, tengok cerita orang putih yang mengangkat mereka saja sebagai hero. Konon-konon merekalah penyelamat dunia, jadi wira...” Yasmin Zulaikha membalas gesit.

Tayangan filem Hollywood yang memaparkan gerak pantas si hero menyelamatkan penumpang sebuah kapal persiaran yang hilang kendalian kerana disabotaj sedang dimainkan di kaca televisyen. Si hero kacak sedang menunjuk pandai berbalah pendapat dengan pembantu kapten untuk menyelamatkan kapal berkenaan.

Umar Khalil mengambil tempat di sebelahnya. Mengambil remote control, terus memadamkan televisyen.

“Bersiap! Kita keluar...”

“Kerja abang?”

“Kerja abang dah selesai. Tinggal saki-baki seminar, rasanya tak ada lagi yang penting. Semua bahan sudah die-mel ke pejabat. Malam ini peserta seminar ada jamuan makan malam. Majlis tu tak penting bagi abang. Sekarang, masa abang untuk Zu...”

Umar Khalil memandu menghala ke bandar, berpusing-pusing sekitar, sebelum singgah menikmati makan malam. Kemudian mereka mengambil keputusan menyusuri kawasan pantai, sekadar untuk bersantai-santai, melihat pelbagai barang berwarna-warni yang dijual di gerai-gerai tepi jalan dan memerhati gelagat manusia di pangkal malam.

Malam minggu orang ramai melepak di tepi pantai. Terhibur dia memerhatikan orang ramai yang bersantai. Terasa benar, sudah beberapa lama dia tidak keluar, asyik terperuk di kampung, bergelumang dengan kerja-kerja yang tidak pernah selesai dan tidak habis-habis.

“Suka tengok Zu ceria begini...” Umar Khalil merenungnya ketika dia sedang leka menyaksikan gelagat sekumpulan remaja mengelilingi unggun api, bernyanyi entah apa-apa.

Yasmin Zulaikha menoleh. Tersenyum. Kiranya ini kali pertama, dia dapat berdua-duaan dengan suami dalam suasana yang cukup lain. Di tempat yang tiada siapa mengenali dia dan jauh dari rakan-rakan serta saudara mara.

Jauh daripada orang-orang yang dikenali, terasa betapa dia memang memerlukan Umar Khalil dalam hidupnya!

“Abang langsung ambil cuti dua hari. Kita ke Kuala Lumpur, jumpa Abang Long dan saudara mara abang di KL ya?”

Patutlah Umar Khalil bereya-eya menghabiskan semua kerjanya di sini. Mulanya Yasmin Zulaikha sedikit hairan. Suaminya boleh menghabiskan kerjanya selepas mereka kembali nanti. Tetapi kata Umar Khalil, dia lebih rasa tenang jika semua kerjanya dapat disiapkan lebih awal.

Rupa-rupanya suaminya itu sudah merancang suatu kejutan yang lain.

Mereka meninggalkan Port Dickson keesokan hari, langsung bertolak ke Kuala Lumpur. Abang Long Umar Khalil di Putrajaya sudah menunggu, malah sedikit bereya-eya menyediakan hidangan yang agak istimewa untuk tetamu. Ada juga beberapa orang tetamu lain, yang diperkenalkan sebagai sepupu dan saudara mara sebelah suaminya.

“Saya tak tahu ada majlis makan-makan begini...” Yasmin Zulaikha sedikit terpinga.

“Umar buat kejutan untuk Yasmin. Ni semua saudara mara rapat kita yang ada di KL. Dah tak ada ibu bapa, kampung halaman pun tak ada, jadi kami ‘buat kampung’ di sini. Saudara mara yang dahulunya tak rapat, dah jadi akrab...” Abang Long menerangkan.

“Kami rajin buat potluck setiap bulan...” sampuk Kak Longnya.

“Ni semuanya datang nak berkenalan dengan isteri Umar,” sahut lagi satu suara, seorang lelaki muda berdahi sulah yang sedang mengelek anak kecil.

Isterinya di belakang, sedang hamil kelihatannya, tersenyum sambil meletakkan kuah kacang di atas meja.

Yasmin Zulaikha tersenyum, terasa dirinya begitu diraikan dan diterima baik dalam kelompok rakan-rakan dan saudara mara Umar Khalil. Ramai yang dia tidak sempat berkenal-kenalan kerana tidak semuanya dapat hadir pada hari perkahwinannya lalu.

Lebih daripada itu, dia terasa sedikit kagum dengan usaha kelompok kecil ini mengeratkan hubungan akrab sesama mereka. Walaupun tanpa ibu bapa, tanpa kampung halaman dan saudara mara yang sudah bersepah di sana sini, tetapi masih ada segelintir yang punya daya inisiatif sebegini.

Ini suatu pengalaman baru baginya.

Alangkah indahnya berkeluarga besar!

Dua hari dihabiskan sekitar ibu kota, bertemu rakan lama dan saudara mara yang lama tidak ditemui. Malah berpeluang juga bertemu Jason apabila Umar Khalil sedikit bersusah payah menghubungi anak muda itu dan menggesa agar dapat meluangkan masa bertemu.

Mereka bertemu di sebuah kafe tidak jauh dari kolej Jason di Petaling Jaya. Anak muda itu sedikit sebak ketika bertentang mata dengan Yasmin Zulaikha. Perkara pertama yang diucapkannya, dia sangat terkilan kerana tiada sama ketika emak berpulang ke rahmatullah. Rombongan homestay yang diikutinya pulang sehari awal sebelum itu.

“Saya dapat tahu dari Anis. Dia yang telefon. Tak banyak yang dia beritahu...” luah Jason.

Juga tidak banyak yang dapat Yasmin Zulaikha perihalkan mengenai emak kerana emak pergi dengan cara baik dan kiranya tiada terhutang apa-apa dengan sesiapa. Tetapi yang lebih penting, dari pertemuan dengan Jason, dia dapat melihat perkembangan anak muda itu dengan mata kepalanya sendiri. Dia rasa lega meninggalkan Jason selepas melihat betapa anak muda itu semakin kuat menongkah arus.

“Zu puas hati?” Umar Khalil semacam menduga ketika mereka dalam perjalanan pulang. Berdua dalam kereta.

“Singkat tapi bermakna...” dia membalas, memaksudkan percutian mereka.

Mereka saling bertentang mata, saling mengumbar senyuman yang hanya mereka sahaja mengerti.

Bersambung.

No comments: