Friday, November 9, 2007

Hidayatullah juara Bilal Muda


KUMPULAN Al-Naufan meraikan kemenangan sebagai juara pertandingan nasyid lelaki program ‘Kita Bersama’ Utusan-Mingguan Malaysia Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19, Shah Alam.

‘MELENTUR buluh biarlah dari rebung’ adalah bidalan paling sinonim dalam membentuk jiwa kanak-kanak. Meskipun buluh pada hakikatnya tetap mudah dilentur dan dibentuk dengan pelbagai barangan dan hiasan setelah matang dan tua.

Tetapi jiwa dan pembentukan kanak-kanak lebih mudah terangsang dan dicanang pada usia ‘rebung’.

Ketika di peringkat kanak-kanak juga perlu dipupuk dan disemai dengan nilai-nilai positif dalam melahirkan insan bermanfaat pada agama, bangsa dan negara.

Menyedari hakikat tersebutlah, Utusan Melayu (M) Berhad melalui akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia mengadakan pertandingan Nasyid dan Bilal Muda di peringkat sekolah.

Melalui program ‘Kita Bersama’, Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Shah Alam dipilih sebagai lokasi mencungkil bakat dan memupuk nilai keislaman kanak-kanak dalam pertandingan nasyid dan bilal muda itu.

Sepuluh pelajar tahun empat hingga enam dipilih secara rawak untuk diketengahkan bakat mereka melalui pertandingan tersebut.

Sepuluh pasukan nasyid lelaki dan perempuan di peringkat usia yang sama pula dikumpul untuk bersaing mempamerkan kebolehan mereka dalam mempersembahkan lagu-lagu nasyid.

“Program sebegini mampu menyemarakkan lagi minat dan cinta kanak-kanak pada keislaman dan ia wajar diadakan secara berterusan,” kata Guru Besar SRAI, Abd. Basir Mohd. Anuar.

Menurutnya, pembabitan pihak swasta dalam acara sedemikian akan mendedahkan mereka secara lebih positif berbanding acara-acara yang hanya dikelolakan oleh pihak sekolah dan agensi pendidikan.

Aura aktiviti yang melibatkan pihak swasta seperti ini kata Abd. Basir, bukan hanya meriah tetapi impak terhadap kanak-kanak sendiri adalah lebih berkesan.

Dalam pertandingan tersebut, pelajar tahun lima, Hidayatullah Mohd. Rozli, 11, muncul juara Bilal Muda mengalahkan rakannya yang lebih senior, Wan Farizul Wan Zulhermie, 12. Tempat ketiga disandang oleh pelajar tahun enam, Mohd. Amin Fazil.

Titipan dan pendedahan dalam keagamaan oleh ayahnya selaku imam di Masjid Seksyen 13, Shah Alam membolehkan Hidayatullah membawa pulang wang tunai RM200 beserta hadiah iringan.

Anak pekerja kilang, Wan Faizul yang menjadi naib johan berazam menjadikan minatnya dalam pertandingan keagamaan dicontohi oleh adik-adiknya yang lain.

Malah Wan Faizul akan menyimpan hadiah wang tunai RM150 yang dimenangi itu ke dalam akaun Tabung Haji untuk keperluan yang lebih utama di masa mendatang.

Dalam pertandingan nasyid pula, Kumpulan Al-Naufan yang mempersembahkan lagu Muhammad Ya Rasulullah muncul juara lelaki. Mereka menerima wang tunai RM500 dan hadiah iringan sumbangan Utusan.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh kumpulan Al-Naim dan Al-Shukran dengan masing-masing memenangi wang tunai RM300 dan RM200.

Saingan kumpulan perempuan pula juara disandang oleh Al-Raudah melalui persembahan lagu Rasulullah untuk menerima wang tunai RM500 dan hadiah iringan.

Kumpulan Solehan dan Al-Iman masing-masing menjadi naib johan dan tempat ketiga dengan wang tunai RM300 dan RM200 beserta hadiah iringan.

No comments: