SOALAN
Apakah hukumnya seorang suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil kepada isterinya yang pertama dalam banyak perkara.
JAWAPAN
Perbuatan itu berdosa, jika dia menyedari tidak dapat berlaku adil dalam menjalankan tugas sebagai seorang suami yang berpoligami maka haram dia berpoligami. Perkara ini jelas dalam al-Quran ketika mana Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah Dengan sesiapa Yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (al-Nisa’: 3).
Ayat ini jelas memberi peringatan bagi lelaki yang ingin berpoligami supaya melihat kepada kemampuan dirinya sendiri sebelum berpoligami. Secara fitrahnya mungkin orang lelaki suka berpoligami, sebab itulah perkara yang disukai oleh seseorang itu perlu diukur dengan kemampuannya. Bak kata pepatah Melayu, ‘Mengukur baju di badan sendiri’.
Islam mengharuskan poligami kepada orang yang berkemampuan dan mempunyai alasan yang syarak untuk berbuat demikian. Mampu dari segi harta benda dan kekayaan bukan lesen besar untuk seseorang lelaki itu berpoligami. Tetapi keharusan itu mesti dilihat dari sudut tidak memudaratkan orang yang dikahwini dengan tidak menyediakan nafkah yang secukupnya dan tidak pula mengabaikan curahan kasih sayang. Mungkin juga ramai yang berpoligami dengan alasan itu adalah sunah Rasulullah s.a.w. tetapi caranya sorok-sorok jangan sampai orang tahu atau isteri pertama tahu. Ini takut pada orang bukan kepada kepada Allah s.w.t., walaupun alasannya ialah menjaga keadaan dari porak peranda.
Takut yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah takut kalau tidak dapat berlaku adil, dan takutlah kepada Allah s.w.t. yang mensyariatkan poligami. Sekiranya seorang suami yang berpoligami tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya maka si isteri yang tidak berpuas hati dengan suaminya yang tidak berlaku adil itu tadi, boleh kemukakan pengaduan di pejabat agama atau memfailkan kes di mahkamah syariah untuk mendapatkan keadilan, iaitu mendapat hak seorang isteri. Bagi suami yang gagal berlaku adil pasti menerima balasan yang pedih daripada Allah s.w.t. kerana kegagalannya berlaku adil di kalangan isteri.
SOALAN
Apakah hukum sebenar memakai pendakap gigi atau braces? Ramai dalam kalangan rakan-rakan saya sudah pun memakai alat ini. Mereka semuanya mengatakan bahawa hukumnya tidak berdosa.
JAWAPAN
Hukum memakai pendakap gigi yang dikenal sebagai braces adalah harus. Kerana kebiasaannya mereka yang memakai pendakap gigi ini adalah bertujuan untuk merapatkan atau meratakan kedudukan gigi. Ini tidak termasuk dalam mengubah kejadian Allah pada seseorang.
Malahan memperelokkan gigi dengan pendakap gigi yang tidak tersusun dan kadang-kadang tidak menarik. Ingatlah bahawa Allah s.w.t. itu sukakan yang indah dan cantik. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah bin Mas’ud yang bermaksud: … Sesungguhnya Allah itu cantik sukakan yang cantik lagi indah… (Riwayat Muslim).
Jika kita teliti kehidupan Baginda seperti mana yang dijelaskan oleh Imam al-Tirmidzi dalam karya beliau yang berjudul, Kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w., Baginda begitu teliti di dalam menjaga keterampilan dengan kekemasan pakaian, rambut serta wangi-wangian. Lebih-lebih lagi, Baginda adalah Rasulullah yang membawa risalah Allah s.w.t. kepada manusia sejagat.
Sudah semestinya perlu menjaga keterampilan. Maka kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. wajar mencontohi Baginda di dalam menjaga keterampilan yang kemas, ini termasuklah memperelokkan gigi.
No comments:
Post a Comment