INGATLAH! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan juga ada di bumi; dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah sebagai sekutu-Nya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta. (Yunus: 66)
HURAIAN
Hakikat yang sebenarnya bagi Allah s.w.t. jua yang memiliki segala yang terdapat di langit dan di bumi. Justeru itu, hanya Allah s.w.t., Tuhan yang layak disembah. Namun begitu, terdapat di kalangan manusia yang enggan mengakui keesaan Allah dan menjadikan selain-Nya sebagai Tuhan mereka. Pada sangkaan mereka itulah Tuhan yang boleh memberikan pertolongan, perlindungan atau kemudaratan kepada semua.
Alangkah naif manusia seperti ini yang kehidupan mereka hanya menurut sangkaan semata-mata dengan membelakangkan keyakinan yang hakiki, iaitu Allah yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya.
Maka itu, sebagai umat Islam kita semestinya menyakini akan keesaan Allah dengan penuh keimanan kepada-Nya dan sudah tentu kita perlu terjemahkan keimanan itu ke dalam kehidupan kita seharian. Dan, keyakinan yang pasti dan tidak berbelah bahagi kepada-Nya.
KESIMPULAN
Hanya Allah Tuhan yang layak disembah dengan penuh keyakinan. Dan, di sinilah iman memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan bagi memandu kepada kebenaran hakiki.
* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
No comments:
Post a Comment