Wednesday, November 14, 2007

Bukan Yang Pertama (Siri 133)

Oleh SALINA IBRAHIM

YASMIN Zulaikha berjalan tenang ke kamar emak selepas menunaikan solat Maghrib dan meluangkan masa 15 minit untuk menghabiskan surah Yassin. Dia berasa beroleh kekuatan selepas itu. Terasa separuh bebannya terangkat pergi.

Dia reda. Kesusahannya tidaklah sesukar mana sebenarnya. Senja ini dia bertemu seorang wanita lain, Fatiha, yang sudah kehilangan dua orang anak dan kini barangkali anak ketiganya sedang tenat, mungkin juga sedang menanti maut.

Jadi apalah sangat bebannya sekarang ini. Dia harus belajar menerima hakikat bahawa cepat atau lambat, dia tetap akan kehilangan orang tersayang. Itu hukum alam yang mesti dia akuri; bahawa kehidupan di dunia ini memang bersifat sementara.

Dia tiba di kamar emak. Sunyi, kesunyian yang biasa tetapi tiba-tiba ada terdetik rasa aneh di hatinya. Ada debar yang menghentam hatinya.

Umar Khalil muncul entah dari mana, terus menarik tangannya ketika dia berada di hadapan pintu. Tergamam dia tetapi suaminya itu perlahan menariknya duduk di kerusi kosong yang berderetan.

“Abang nak Zu tenang dan sabar....” Umar Khalil renung matanya dalam-dalam.

Yasmin Zulaikha menarik nafas, dalam dan melepaskan dengan teratur.

“Zu dah sedia, bang...”

“Mak dah tak ada...”

Yasmin Zulaikha mengetap bibir. Dia memejamkan mata sejenak. Menahan air mata daripada tumpah, tetapi saat membuka mata kembali, setitik air terlerai jatuh jua.

“Bila?” sepatah pertanyaannya.

“Kurang 10 minit tadi. Masa Zu tengah solat tadi.”

Innalillahiwainnalilaihirajiun... daripada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali. Demikian dia bergumam dalam hati.

Beberapa minit dia terasa longlai di kerusi. Beberapa minit dia terasa bagaikan sukar mahu percaya. Tetapi dalam masa beberapa minit itu juga, dia membisikkan kalimah Allah berkali-kali.

“Bangun...kuatkan hati. Kita masuk, beri penghormatan terakhir untuk mak,”

Umar Khalil sedikit menegaskan suara.

Jenazah emak selamat dibawa pulang beberapa jam kemudian selepas selesai segala urusan di hospital. Malam pekat tetapi kediaman terang-benderang ketika jenazah tiba. Jiran tetangga dan saudara mara terdekat sudah menunggu. Kumpulan wanita di bawah pimpinan Ustazah Wan Faezah malah sudah selesai menghabiskan satu pusingan bacaan Yasin.

Yasmin Zulaikha melangkah masuk ke rumah dengan langkah longlai. Rumah ini sudah berdepan tiga kematian. Bermula dengan abah, kemudian Azlan dan sekarang emak tersayang. Tetapi dia reda. Dia harus tabah. Kerana kematian itu pasti, sama ada cepat atau lambat.

Dia sudah bersedia untuk menerima hakikat kehilangan emak tersayang. Dia sudah bersedia untuk melayari kehidupan dan membuat keputusan sendiri tanpa bimbingan emak lagi selepas ini.

Kuat.

Dia bisikkan kalimah itu berkali-kali. Ini bukan kali pertama dia berdepan kematian. Ini bukan kali pertama dia kehilangan orang tersayang. Kematian abah beberapa tahun lalu tidak kurang menekan minda. Juga pemergian Azlan yang tidak terduga, suatu kehilangan yang tidak pernah disangka-sangka.

Sekarang, apabila berdepan kematian emak, sepatutnya dia sudah cukup tabah dan gagah untuk mengawal emosi!

Beberapa orang saudara mara dan orang tua menggesa dia supaya berehat. Dia turutkan pesanan mereka. Melangkah masuk ke kamar, terhidu harum kamar pengantin dan hiasan yang masih elok, dia menitiskan air mata. Teringat pesanan-pesanan emak, terngiang-ngiang nasihat yang tepu berisi, semua itu buat dia jadi tambah sebak.

Dia meletakkan kepala di bantal, berusaha untuk tidur, mahu mendapatkan rehat sejenak. Dia harus menjana tenaga untuk esok. Esok jenazah emak akan disemadikan. Emak tentunya akan bergabung bersama Allahyarham abah dan Azlan yang sudah pergi dahulu.

Damailah emak di alam sana.

Anak-anak emak akan mendoakan kesejahteraan emak.

Alunan ayat-ayat suci memenuhi seisi kediaman, menusuk ke telinganya.

Dia melihat wajah emak tersenyum puas. Dia nampak emak berwajah lega. Dia andaikan emak sudah puas menikmati kehidupan di dunia dan amat bersedia untuk melangkah ke alam barunya.

“Kita reda. Memang itu yang terbaik untuk dia....” suara Umar Khalil tidak sudah-sudah memujuk.

“Abang rasa emak memang sudah tahu masanya akan tiba?”

“Dia tenang sangat. Dia nampak aman sangat. Insya-Allah itu tandanya dia bahagia di sana...”

“Zu teringat mak kerap bercakap yang pelik-pelik kebelakangan ini...”

“Hisy! Itu persepsi orang kita. Kita suka benar mengaitkan orang yang meninggal dunia dengan kelakuan dan sikap aneh yang ditunjukkan sebelum dia meninggal. Kononnya, dia macam sudah tahu yang dia akan meninggal dunia, cumanya dia tidak boleh meluahkan secara terus-terang. Abang sebenarnya kurang gemar kita berfikir begitu.”

Yasmin Zulaikha diam menelinga, menghadamkan fakta itu ke dalam minda.

Jenazah emak selamat disemadikan jam 11 pagi esoknya. Dia puas dapat menatap wajah emak sungguh-sungguh. Dia sendiri yang terlibat memandikan jenazah emak walaupun mula-mulanya ada beberapa orang jiran perempuan sedikit risau membenarkan dia ikut serta.

Barangkali mereka bimbang dia lembik dan tidak kuat semangat ketika melihat jenazah emak.

“Saya anaknya. Lebih afdal saya ikut memandikan jenazah emak saya...” balasnya, begitu yakin.

“Kak Min yakin?” Anis memandangnya, sedikit ragu.

“Insya-Allah...”

Ustazah Wan Faezah masuk campur, menyokongnya. Guru agama Allahyarham emaknya itu mengetuai kumpulan kecil menguruskan jenazah, memandikan dan seterusnya mengkafankan.

Bibirnya tidak putus-putus melafazkan kalimah suci, sedekah terakhir untuk emak yang sudah meniti ke alam sana dan kini tubuhnya sedang diuruskan sebelum dikirimkan ke liang lahad.

Semua itu terus ranai di ingatan. Pasti kekal tercetak di minda selama-lamanya.

“Abang sempat temankan mak semasa di hospital. Dia ada pesan apa-apa?” Yasmin Zulaikha menoleh, renung wajah suami yang berbaring di sebelahnya.

Malam sudah terlalu larut. Seisi rumah pasti sudah terlelap kerana keletihan menguruskan kematian siang tadi.

Umar Khalil menoleh.

“Tak banyak. Dia hanya berpesan...”

“Pesan apa?”

“Jadi suami yang baik pada Yasmin Zulaikha. Jadi abang yang baik pada Anis...”

Yasmin Zulaikha mengetap bibir.

Air matanya berladung.

Emak... sehingga hujung nyawanya masih tetap mengutamakan kepentingan anak-anak.

Bersambung

No comments: