Wednesday, November 14, 2007

Amalan tarekat di Perak perlu didaftarkan di JAIP

Oleh AZMI ABDUL MALEK

AMALAN dan ajaran sesat sekumpulan umat Islam yang berlaku di negara ini membimbangkan ulama dan pemimpin kerajaan. Akidah yang terpesong boleh menyebabkan seseorang itu ia dianggap murtad atau terkeluar daripada agama.

Sehubungan itu Jabatan Kebajikan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama di setiap negeri mempunyai tugas berat memantau kumpulan pengamal agama Islam, terutamanya yang masih lemah dalam penguasaan ilmu dan iman kepada Allah.

Antara pengamal agama Islam terkenal di negara ini ialah kumpulan tarekat yang sudah bertapak beberapa tahun lalu.

Namun begitu ada sebilangan yang mengaku mereka sebagai kumpulan tarekat tetapi amalannya terpesong daripada ajaran agama Islam sebenar.

Mereka yang melakukan kesalahan boleh didakwa di mahkamah syariah dengan dikenakan hukuman berat.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) mengenakan denda RM5,000 atau penjara tiga tahun terhadap pengamal tarekat yang tidak mendaftarkan kumpulannya dengan jabatan berkenaan apabila Enakmen Kawalan Tarekat Negeri Perak dilaksanakan mulai tahun depan.

Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury berkata, mana-mana syeikh yang tidak mempamerkan perakuan pendaftaran tarekat, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, mana-mana orang yang mengamalkan tarekat di suatu tempat tanpa kebenaran pendaftar, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“JAIP akan melaksanakan Enakmen Kawalan Tarekat Negeri Perak mulai tahun depan bagi memastikan perjalanan institusi murni itu selaras dengan kehendak syarak dan mengawal penyelewengan dan perlanggaran undang-undang sedia ada,” katanya kepada Mega di pejabatnya di Ipoh, baru-baru ini.

Jamry berkata, setiap institusi atau organisasi tarekat diminta mendaftarkan kegiatan mereka dengan JAIP apabila enakmen itu dikuatkuasakan nanti.

Beliau berkata, institusi terbabit dikehendaki mengemukakan laporan senarai keahlian dan murid yang menjadi pengikut, kurikulum pengajian dan kitab rujukan utama digunakan.

Katanya, tujuan tindakan ini dibuat bukan disebabkan JAIP mahu menyekat perkembangan tarekat sebaliknya mahu memastikan institusi terbabit terus murni dan berjalan mengikut syariat Islam dan jauh daripada gejala penyelewengan yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Jamry berkata, berdasarkan pengalaman dan kajian pegawai JAIP dan tokoh akademik, sesuatu ajaran sesat dan penyelewengan boleh dikesan walaupun penampilan mereka menggunakan pelbagai rupa dan nama.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perak (MAIP) berkata, antara kriteria ajaran sesat ialah:

* mendakwa Allah menjelma dalam diri guru atau seseorang,

* mendakwa diri mereka sebagai nabi atau malaikat,

* mengamalkan nikah batin,

* mendakwa guru mereka memegang kunci syurga dan

* pengikutnya sahaja dijamin masuk syurga.

Selain itu katanya, golongan pengamal ajaran sesat turut mendakwa guru mereka boleh menebus dosa, percaya guru mereka menerima wahyu seperti nabi dan rasul, guru mempunyai mukjizat, meninggalkan kefarduan yang telah diijmakkan seperti solat Jumaat tanpa keuzuran syarak dan mendakwa ajaran mereka diambil terus dari Rasulullah secara jaga bagi menyelesaikan sesuatu masalah semasa.

“Sesetengahnya berselindung dengan amalan zikir tetapi sebenarnya lain yang diucapkan dan dilakukan.

“Banyak lagi perkara pelik yang mencabar kewibawaan JAIP, pemikir dan umat Islam di negara ini,” katanya.

Jamry berkata, draf enakmen berkaitan sudahpun disiapkan dan akan diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Perak untuk semakan sebelum dibentangkan kepada Majlis Fatwa dan MAIP untuk diluluskan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Menurutnya, satu seminar mengenai tarekat diadakan baru-baru ini bagi membuka peluang umat Islam di negeri ini memahami ajaran sebenar amalan kumpulan berkenaan, di samping mengelakkan mereka terjebak dalam kumpulan ajaran sesat yang semakin berleluasa ketika ini.

No comments: