Monday, August 24, 2009

Pelaksanaan KPI boleh perkasa pengurusan masjid

Pelaksanaan KPI boleh perkasa pengurusan masjid

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

Institusi perlu mesra jemaah, lebih kreatif laksana program dakwah tarik generasi muda

MUNGKINKAH sudah sampai masanya Prestasi Petunjuk Utama (KPI) bagi pengurusan masjid diwujudkan dan prestasi masjid dipantau agensi pada peringkat negeri atau kebangsaan.

Dalam pada itu, pegawai masjid mempunyai tanggungjawab dakwah dengan sasaran menarik seramai mungkin masyarakat ke masjid dan boleh dijadikan panduan pencapaian KPI. Ini bertepatan dengan kehendak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mewujudkan elemen kebertanggungjawaban yang serius di kalangan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Najib berkata, ia juga bagi memastikan rakyat mendapat gambaran lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan negara. Selaras dengan itu, Ketua Umum Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Dr Muhammad Nawar Ariffin, berkata ini kerana ketamadunan ummah sangat berkait rapat dengan kejayaan institusi masjidnya, langkah fast track ke arah melaksanakan KPI pengurusan masjid mesti dilakukan.

"Malaysia wajar mengangkat idea memperkasa institusi masjid melalui pelaksanaan KPI pengurusan ke peringkat serantau sesuai dengan keserasian umat serumpun yang nanti dapat membina kegemilangan dan kekuatan baru ummah di rantau Melayu ini.

"Jarang kita dengar ada imam atau pegawai masjid mengajak kariahnya mengadakan ekspedisi mendaki gunung atau memancing, sedangkan aktiviti begitu boleh diselitkan pengajian sembahyang musafir, menjadi mukmin yang kuat, bersabar dan mujahadah.

"Program seumpama ini tentu meningkatkan penyertaan generasi muda dan golongan yang meminati kegiatan riadah seumpama itu," katanya ketika membentangkan kertas kerja 'Peranan Masjid Dalam Membangun Ketamadunan Ummah' pada Forum Silaturahim Kemakmuran Masjid Serantau (Forsimas) Kuala Lumpur 2009, baru-baru ini.

Dr Muhammad Nawar berkata, rungutan masyarakat terhadap pegawai masjid sering didengar dan ada pegawai yang angkuh dan sombong, sentiasa memberi larangan itu dan ini kepada pengunjung sehingga masjid takut dihampiri generasi muda.

"Pegawai masjid mesti mesra pelanggan dan jemaah," katanya.

Beliau berkata, jemaah wanita pula sering dipandang serong oleh pegawai masjid, lebih banyak daerah larangan berbanding tempat yang boleh mereka duduk untuk mencari ketenangan dan beribadah.

"Generasi muda yang mahu ke masjid perlu dialu-alukan dan kedatangan mereka adalah peluang untuk berdakwah," katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Nawar berkata, bilangan masjid yang boleh dianggap aktif dan kreatif juga sedikit dan aktivitinya lebih bersifat stereotaip.

"Tiada projektor LCD, tiada alat canggih yang boleh memberi kelainan kepada jemaah," katanya.

Beliau berkata, masjid di Malaysia wajar dibebaskan daripada menjadi tempat pertembungan ideologi politik sehingga mencetuskan rasa benci-membenci, perebutan kuasa dan permusuhan sesama Islam sehingga melarat ke dalam masjid sekali gus menjadikan umat majoriti jumlahnya lebih ramai lemah berbanding nasib kelompok minoriti di negara sendiri.

Sehubungan itu, masjid perlu dipacu dinamikanya. Masjid yang berhenti menjadi dinamik mengundang bala kepada masyarakat sama ada kemurkaan Allah kerana berhenti atau kurang hamba mengabdikan diri kepada-Nya atau bala sunatullah terhadap golongan yang menjauhkan diri daripada melakukan ibadah, majlis ilmu, perpaduan dalam erti berjemaah dan hilangnya tempat pergantungan masyarakat kepada imam dan golongan alim di masjid. Masjid kini yang semakin menampakkan kelemahan dukungan umat mesti disemarakkan dengan kegiatan yang boleh merangsang kekuatan dan pembangunan ummah. Paling penting masjid ialah pengingat kepada ketauhidan Allah.

Masjid jika diperhalusi peranannya, akan terlihat adalah madrasah kepada umat Islam. Di masjid melalui solat berjemaah kita diajar mengenai pematuhan dan menurut pemimpin. Sebelumnya imam yang hendak dipilih untuk mengimamkan solat mesti yang terbaik di kalangan jemaah.

Di masjid juga tempat azan dilaungkan, yang bermaksud memanggil umat Islam menunaikan solat. Dalam kalimah azan itu terkandung seruan dan ajakan menuju kejayaan. Sesungguhnya KPI di kalangan pengurusan dan pegawai masjid wajar diwujudkan bagi memastikan kesinambungan peranan institusi masjid bertambah subur dan dikendalikan petugas yang mampu menarik ramai jemaah dan anak kariah untuk memakmurkan masjid.

No comments: