Thursday, August 13, 2009

Mabims tangani gejala ancam akidah ummah

Mabims tangani gejala ancam akidah ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PESERTA Malaysia yang mengikuti rombongan Bas Belia Mabims bermesra dengan kanak-kanak Orang Asli di Kuala Pangsoon, Hulu Langat, kelmarin.

Malaysia syor kukuh jati diri Muslim elak salah faham agama

PERTEMUAN Tahunan Tidak Rasmi Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) yang dijadualkan hari ini akan memberi penekanan kepada usaha menghindari gejala negatif yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata fahaman pluralisme, liberalisme yang didukung beberapa kelompok Islam didapati berbahaya terutama apabila menyentuh soal akidah sehingga menyebabkan muncul perasaan fanatik .

Katanya, perjumpaan anggota Mabims akan meletakkan asas perbincangan lebih konkrit bagi memastikan ancaman aspek fahaman umat Islam dapat ditangani secara bersepadu sebelum kesan penyebarannya meningkat ke tahap lebih ekstrem.

"Selain peranan Mabims melaksanakan kerjasama serantau dan membina silaturahim empat negara, perjumpaan tahunan juga diguna untuk membincangkan isu semasa yang memerlukan tumpuan negara anggota.

"Penyebaran fahaman yang bercanggah serta menyentuh akidah membimbangkan kita, terutama membabitkan kelompok yang berasakan mereka di pihak benar," katanya.



Beliau berkata, Malaysia akan mencadangkan pendekatan bersifat dalaman iaitu membina jati diri umat Islam, sementara pendekatan luaran pula ialah melalui sesi memberi penjelasan mengenai fahaman salah itu serta kesannya kepada umat Islam.

Penganjuran seminar serta kursus juga dilihat sebagai kaedah memperbaiki kelompok berkenaan supaya tidak terikat dengan fahaman salah yang akhirnya membawa kepada tindakan atau perbuatan melampau.

Jamil Khir berkata, semua wakil Mabims akan membincangkan perkara itu secara terbuka kerana ia menjadi masalah kepada semua dan tanggungjawab mereka mendedahkan salah silap fahaman yang boleh menggugat ketenangan umat Islam sejagat.

"Ini sudah menjadi budaya Mabims untuk setiap negara menjalinkan kerjasama dalam perkara membabitkan Islam dan perkara mempunyai nilai yang dikongsi bersama. Apa juga rumusan daripada perbincangan adalah demi kebaikan umat Islam semua," katanya.

Katanya, pertemuan itu juga meneruskan kerjasama dibuat secara dekat untuk pembangunan masjid, isu berkaitan penentuan anak bulan menetapkan tarikh Ramadan dan Aidilfitri, zakat dan usaha membangunkan aktiviti agama.

Pertemuan Mabims kali ini di Malaysia, diadakan bersempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-51 yang berlangsung lapan hari bermula 4 Ogos dan berakhir malam tadi.

Anggota Mabims turut menyerikan majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Kedah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Ia juga bersempena sambutan 20 tahun penubuhan Mabims, kesepakatan yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga kepentingan umat Islam tanpa mencampuri hal bersifat politik negara anggota.

Mabims yang diwujudkan pada 1989 mulanya dianggotai Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Pada 1994, Singapura secara rasmi menjadi anggota kesepatakan itu.

Penubuhan Mabims bertitik tolak daripada Muktamar Keempat Menteri-menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi pada 17 hingga 19 Mei 1989.

Pada muktamar itu tiga Menteri Agama Asia hadir iaitu Datuk Dr Mohamad Yusof Mohamed Noor dari Malaysia, Munawir Sjadzali (Indonesia) dan Datuk Seri Utama Dr Awang Mohd Zain Serudin (Brunei).

Tahun ini, sekali lagi Malaysia menjadi tuan rumah pertemuan Mabims yang turut meraikan penubuhannya 20 tahun lalu selama empat hari bermula 10 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sempena ulang tahun ke-20 Mabims, pelbagai program diadakan termasuk Kembara Belia Mabims yang menjelajah sambil berdakwah bermula dari Singapura ke beberapa negeri di Malaysia serta Muzakarah Ulama Mabims.

Hari ini juga diadakan ceramah eksekutif oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertajuk 'Umat Islam dan Cabaran Bagi Negara Islam' sementara malamnya nanti, majlis ulang tahun Mabims ke-20 yang mengimbas kembali sejarah penubuhannya.

Mekanisme kerja Mabims bergerak dalam pelbagai cara melalui pertemuan tahunan peringkat menteri agama, mesyuarat pegawai tinggi (SOM) dan mesyuarat jawatankuasa teknikal. Mekanisme lain bagi mencapai objektif Mabims ialah penganjuran seminar, persidangan, kursus dan lawatan antara negara anggota.

Matlamat Mabims untuk mengangkat kedaulatan umat Islam Asia Tenggara dalam pengembangan ekonomi, sosial dan kebudayaan Islam serta menjadi model kepada umat Islam sejagat yang mengamalkan budaya kerjasama yang berjaya mentadbir, mengatur dan mengurus hal ehwal Islam.

Malaysia sebagai negara anggota berperanan secara aktif dalam setiap program anjuran Mabims dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipertanggungjawabkan menguruskan semua urusan pembabitan negara pada pertemuan Mabims serta melaksanakan persetujuan yang dicapai.

No comments: