Wednesday, July 15, 2009

Bersama YaPEIM: Menjadikan keusahawanan sebagai wasilah makmurkan ummah, negara

Bersama YaPEIM: Menjadikan keusahawanan sebagai wasilah makmurkan ummah, negara

SELARAS perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam sistem ekonomi pada peringkat global, Malaysia sebagai negara membangun turut berhadapan cabaran serta tekanan besar mendepani persaingan abad ke-21 ini.

Persaingan daripada negara lain menuntut kita melakukan satu anjakan besar untuk melangkah ke peringkat pembangunan seterusnya dan mencapai matlamat Wawasan 2020. Demi mencapai matlamat itu, negara memerlukan satu peningkatan tahap produktiviti dan daya saing.

Oleh itu, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mengenal pasti pembangunan modal insan sebagai satu daripada teras utama dalam membawa transformasi negara kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

Modal insan adalah aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya. Pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.

Bersesuaian dengan kehendak industri serta pasaran semasa dan masa hadapan, pembangunan modal insan perlu dirancang dengan rapi supaya dapat meningkatkan bina daya generasi muda ke arah melahirkan guna tenaga terlatih dan berdaya saing.

Pendekatan kepada pembangunan modal insan harus dibuat secara menyeluruh, menekankan kepada peningkatan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan modal intelektual termasuk ilmu sains, teknologi dan keusahawanan.

Seiring penekanan ilmu, tumpuan juga perlu diberi kepada pembudayaan sikap progresif dan memupuk masyarakat memiliki kekuatan nilai dan moral. Kegagalan membentuk modal insan yang berkeupayaan, profesional, inovatif dan memiliki nilai moral tinggi boleh menyebabkan pendidikan terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi.

Dengan ruang lingkup penting, membangunkan modal insan perlu diselaraskan dengan pembangunan insan. Pembangunan insan pula tentunya berada dalam situasi yang selaras dengan keimanan. Hasilnya, membangun modal insan sama seperti dikehendaki dalam ajaran Islam.

Antara langkah sewajarnya diambil ialah memastikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diajar, digabungkan dengan aspek tanggungjawab dan amanah, mengajak setiap insan bergabung dan bekerjasama bukan saja demi pembangunan material, tetapi juga kemanusiaan.

Memastikan ilmu adalah untuk masyarakat dan alam sekitar, menjelaskan aplikasi ilmu adalah untuk menjadi pemimpin atau pentadbir yang adil (khalifah) dan sentiasa berwaspada pada aspek kesan yang berkebajikan (amar makruf nahi mungkar).

Sehubungan langkah yang disarankan itu, ia akan dapat dizahirkan melalui pengajian agama. Pada asasnya, konsep pengajian agama merujuk amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan bersifat komprehensif serta seimbang.

Ini merujuk kepada keperluan menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi, dan kejayaan peribadi serta kesejahteraan masyarakat. Aspek penguasaan ilmu sebagai satu asas utama dalam pengajian agama.

Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara bersepadu menjadikan umat Islam memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan bersifat semasa supaya kecemerlangan intelektual mampu dikembangkan.

Proses itu perlu bagi mengembangkan potensi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti tercatat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu, dan orang diberikan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan Ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan." � (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Islam mendorong umatnya mencari bukan sekadar ilmu, melainkan ilmu yang bermanfaat kerana pencarian intelektual tidak dapat dipisahkan daripada etika dan ia harus ditempatkan dalam arus kehidupan spiritual.

Ketibaan alaf baru hari ini akan terus menawarkan cabaran teknologi dan maklumat bercirikan globalisasi. Kesinambungan ciri tamadun abad lalu pada alaf ini hakikatnya tidak menjanjikan sebarang perubahan, bahkan akan terus mendominasi struktur dan asas ketamadunan manusia.

Cita-cita berteraskan materialisme, sekularisme dan penguasaan empayar tidak menggambarkan suatu hala tuju jelas melainkan pada sesuatu yang bersifat duniawi semata-mata. Ini disebabkan arus globalisasi yang menyelubungi arus perdana masa kini didominasi dunia Barat. Justeru, perkiraan agama dan apa yang berkaitan dengannya terus terpinggir dalam arus ini.

Proses globalisasi dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan sesiapa yang tidak turut serta akan ketinggalan. Proses globalisasi berlaku dalam tiga bentuk utama iaitu teknologi, ekonomi dan ideologi. Ketiga-tiga bentuk ini saling berkaitan antara satu sama lain dan mempunyai hubungan secara langsung dengan dunia pendidikan.

Seterusnya, cabaran yang terkini datang daripada keadaan ekonomi antarabangsa. Ekonomi global mengalami kemelesetan akibat krisis kewangan global semakin meruncing. Ia turut menyumbang kepada keadaan tidak menentu dalam sistem kewangan dan ekonomi global.

Sehubungan cabaran globalisasi dan kemelesetan ekonomi dunia secara luaran, ada juga cabaran secara dalaman iaitu pembudayaan keusahawanan. Agenda membangunkan usahawan adalah agenda penting kerana usahawan penggerak dan penjana utama ekonomi dalam negara yang mengamalkan sistem pasaran ekonomi terbuka.

Negara atau masyarakat memiliki budaya keusahawanan tinggi akan menjadi lebih makmur daripada negara yang kurang budaya keusahawanan. Cabaran keusahawanan yang dominan adalah pada sistem nilai masyarakat, di mana masyarakat perlu meletakkan keusahawanan sebagai kerjaya serta aktiviti mulia, tinggi dan penting.

Keusahawanan perlu diberikan penghargaan tinggi dalam masyarakat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang paling baik antara kamu ialah orang paling banyak memberi manfaat."

Oleh itu, menjadikan agenda keusahawanan sebagai wasilah atau jalan untuk kita menyebarkan manfaat atau memakmurkan ummah dan negara.

Jelaslah kepada kita cabaran itu memberikan kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada pembudayaan keusahawanan. Kementerian Pelajaran sudah merangka beberapa pelan strategik dalam usaha memantapkan dan merealisasikan pembudayaan keusahawanan menerusi Sistem Pendidikan Kebangsaan.

(Kertas kerja Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3))

No comments: