Budaya berfikir tingkat kecemerlangan ummah
Oleh Mohd Shahrizal Nasir
UMUM mengetahui akal anugerah Allah membezakan antara kejadian manusia dengan makhluk-Nya yang lain. Malah, dengan akal fikiran jugalah manusia mendapat tempat istimewa di sisi Allah.
Hakikatnya, akal boleh membawa manusia ke arah kebaikan mahupun kejahatan. Hanya dengan panduan wahyu Ilahi, akal dapat terus terarah kepada kebaikan yang akan menjamin kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.
Firman Allah yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Shod, ayat 29)
Dalam al-Quran, banyak ayat yang mengajak manusia sentiasa berfikir. Hal ini sehinggakan seseorang dikira memiliki darjat iman yang tinggi jika mereka sentiasa berfikir kejadian alam ciptaan Ilahi. Tanpa penelitian dan pengamatan mendalam, mana mungkin manusia dapat membongkar khazanah kekayaan Allah buat faedah kehidupan mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.” (Surah Ali-Imraan, ayat 190)
Selain itu, bagi memberi gambaran jelas mengenai suruhan Allah supaya manusia sentiasa berfikir, Allah tidak menurunkan ayat-Nya dalam al-Quran secara mendatar. Penggunaan gaya bahasa berbentuk perumpamaan atau contoh mengajak kita berfikir mengenainya.
Bahkan melalui uslub seperti itu, manusia yang berfikir akan mendapat gambaran sesuatu mesej dengan lebih jelas. Contoh, apabila Allah menerangkan kelebihan menafkahkan sebahagian harta pada jalan Allah ataupun bersedekah, Allah membuat perumpamaan yang menarik dan jelas.
Firman-Nya yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Bukankah jelas ganjaran pahala yang bakal dianugerahkan kepada mereka yang menafkahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah melalui ayat itu? Namun, bagi mereka yang malas untuk berfikir dan mengkaji, akan menganggap ayat itu atau yang seumpamanya adalah satu ayat biasa dan hanya indah untuk didengar serta dilagukan saja.
Masalah umat Islam hari ini ialah sikap tunggu dan lihat kehebatan hasil ciptaan orang lain untuk faedah mereka. Kita lebih cenderung menerima apa saja yang dihasilkan orang lain tanpa semangat ingin tahu atau berfikir untuk menghasilkan ciptaan sendiri yang mungkin lebih hebat lagi.
Selain itu, sikap memandang sesuatu benda dengan pandangan biasa tanpa rasa teruja untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut juga antara faktor yang mendorong umat Islam malas berfikir.
Saban hari kita melihat pelbagai masalah dihadapi manusia, namun selagi masalah itu tidak dialami sendiri dalam kehidupan kita, maka usaha untuk memikirkan kaedah penyelesaian terbaik dan jalan keluar tidak langsung singgah di kotak minda kita.
Dalam al-Quran, secara jelas Allah mengingatkan supaya sentiasa berfikir dan mengambil iktibar akan kisah yang berlaku ketika zaman nabi terdahulu. Peringatan itu memberi mesej jelas bahawa hanya mereka yang berfikir dan sedar akan terselamat daripada terjerumus ke lembah kebinasaan seperti terjadi kepada generasi terdahulu.
Firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Bagaimanapun, dalam perintah dan galakan untuk sentiasa berfikir, janganlah tergolong dalam golongan yang melampaui batas. Seperti yang kita sedia maklum, tidak semua perkara boleh digapai oleh akal fikiran manusia yang amat terbatas ini. Ada beberapa menjadi urusan mutlak Allah dan hanya Dia sahajalah yang Maha Mengetahui.
Hal ini seperti yang berlaku apabila Rasulullah SAW ditanya oleh seorang Yahudi di Madinah mengenai roh, maka pada ketika itu turun wahyu daripada Allah yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Katakanlah: Roh itu daripada urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." (Surah al-Israa’, ayat 85)
Jika umat Islam tidak memanfaatkan akal fikiran yang dianugerahkan Allah, dikhuatiri kita akan terjebak kepada satu masalah besar iaitu menyibukkan diri dengan angan-angan kosong. Inilah antara strategi penuh tipu daya yang dimainkan syaitan supaya manusia terus alpa dibuai mimpi dan keseronokan bersifat sementara.
Allah menjelaskan strategi syaitan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong.” (Surah an-Nisaa’, ayat 119)
Marilah kita menanam iltizam untuk terus mencerna minda dengan berfikir secara kritis dan kreatif mengenai sesuatu perkara yang membawa faedah kepada umat. Pemikiran yang baik ialah apabila berupaya menggunakan akal atau minda untuk menilai sesuatu perkara, membuat pertimbangan wajar serta menghasilkan satu ciptaan baru ataupun membuka jalan penyelesaian masalah secara inovatif.
Semoga dengan budaya berfikir seperti ini, kita dapat mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang menyinari zaman Rasulullah SAW, sahabat dan tokoh ilmuwan terkemuka Islam seperti Ibn Sina, Ibn Al-Haitham, Ibn Khaldun, Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Ghazali dan ramai lagi.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment