Tuesday, July 7, 2009

"Inilah radio Sasnupatam"

"Inilah radio Sasnupatam"


Pelajar sekolah Pondok Sasnupatam, Abdullah Hassan (kanan) dan Mohd. Ismail mengendalikan stesen radio yang terdapat di sekolah tersebut di Muang, Pattani, Thailand.


Assalamualaikum. Inilah radio Sasnupatam FM 99.50 Megahertz yang dipancarkan dari Sekolah Sasnupatam, Bandar di daerah Muang, Pattani.

"Semoga tuan-tuan dan puan-puan berada dalam lindungan Allah dan mendapat rahmat-Nya sentiasa. Kami di Sasnupatam akan menghiburkan anda dengan lagu-lagu nasyid dan memperdengarkan ceramah-ceramah agama untuk faedah bersama".

Demikian suara pengenalan stesen radio yang dikelolakan oleh tiga orang pelajar Sekolah Agama Rakyat Sasnupatam, dari studio mini sekolah tersebut.

Sekolah agama swasta ini merupakan satu-satunya sekolah di Pattani yang memiliki siaran radio sendiri dan boleh diikuti dalam lingkungan 30 kilometer radius, melalui gelombang 99.50 megahertz.

Siaran ini boleh diikuti selama tiga jam sehari iaitu setiap sejam pada sebelah pagi, petang dan malam. Pada waktu pagi ia ke udara pada pukul 10 hingga 11 pagi, petang pada pukul 2 hingga 3, manakala malam dari pukul 8 hingga 9 malam.

Ia dikendalikan dalam bahasa Melayu dan Thai oleh tiga orang pelajar kelas tiga thanawi sekolah tersebut iaitu Abdullah Hassan, 20; Mahadi Shafie, 22, dan Wan Ismail, 21.

Bilik konti studio mini itu yang terletak bersebelahan dengan bilik pengetua dilengkapi dengan peralatan canggih sebagaimana studio mini-studio mini lain kendalian petugas-petugas profesional.

Keistimewaan

Inilah keistimewaan Sekolah Sasnupatam ini yang mempunyai dua blok tiga tingkat dengan lebih 2,000 orang pelajar.

Para pelajar mengikuti dua sesi pengajian iaitu agama pada sebelah pagi dan akademik di sebelah petang.

Menurut Abdullah, antara lain siaran radio tersebut bertujuan memberi maklumat terkini berkenaan sekolah berkenaan kepada penduduk-penduduk sekitar, selain memaparkan perkembangan semasa kepada para pelajar.

"Kami juga mengadakan perbincangan agama berhubung isu-isu tertentu yang diselang-seli dengan lagu-lagu nasyid terutama dari kumpulan nasyid popular di Malaysia seperti Raihan, In-Team, Rabbani dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui MEGA di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Abdullah memberitahu, mereka terpaksa memainkan lagu-lagu lama dari kumpulan nasyid berkenaan berulang kali kerana susah untuk mendapatkan album terbaru di pasaran Pattani.

Sehubungan itu, beliau berharap ada pihak-pihak tertentu dari Malaysia yang sudi menghantar album terbaru penyanyi nasyid untuk mereka putarkan melalui siaran radio sekolah berkenaan.

"Album nasyid dari penyanyi nasyid Malaysia memang popular dan mendapat sambutan hangat dari masyarakat Islam di kawasan ini, tetapi kami sudah hendak mendapatkan album tersebut kerana tidak dijual di sini," ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Sasnupatam, Drs. Ahmadkamae Waemusor berkata, pihak pemerintah membenarkan mereka mengadakan siaran radio gelombang pendek tersebut setelah memohon permit daripada Kementerian Penerangan Thailand.

Menurutnya, siaran radio itu banyak memberi maklumat terkini mengenai sekolah berkenaan, selain membincangkan isu-isu semasa dan masalah-masalah agama.

Beliau berkata, ia juga dapat melatih pelajar mengendalikan siaran radio sendiri dan menyebarkan maklumat terkini kepada para pelajar dan penduduk kampung sekitar sekolah yang dapat mengikuti siaran tersebut.

"Waktu di studio hampir pukul 3 petang dan kami akan menghentikan siaran ini sebelum kita bertemu pula di udara pada pukul 8 malam.

"Sehingga itu, selamat belajar dan assalamualaikum," sayup-sayup suara Abdullah mengakhiri siaran radio pada petang itu.

No comments: