ATAU patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishaq, dan Ya'qub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberkan Allah kepadanya?" Dan( ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan. (al-Baqarah: 140)
Huraian
Golongan Yahudi dan Nasrani mendakwa bahawa Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'qub dan anak cucu mereka adalah beragama Yahudi atau Nasrani, sedangkan Allah SWT lebih mengetahui bahawa nama Yahudi, Kristian, Nasrani atau Maseh itu belumlah dikenal pada zaman nabi-nabi ini masih hidup tetapi setelah mereka mati dan diberi nama oleh anak-anak murid mereka.
Golongan ini sesungguhnya lebih mengetahui bahawa ajaran agama mereka yang sejati yang dibawa oleh Nabi Musa ataupun Nabi Isa as ialah menyembah Allah yang Maha Esa.
Namun demikian mereka tetap menyembunyikan dan melakukan pemalsuan dan penambahan terhadap kitab-kitab mereka sehingga mengubah daripada pokok ajaran yang asal daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah tetap mengetahui perbuatan mereka ini dan tidaklah lepas daripada penglihatan Allah dan manusia juga lama kelamaan pasti akan nampak penyelewengan dan pencerobohan yang dilakukan oleh kaum ini sehingga agama mereka akan ditentang dan perpecahan di kalangan mereka sendiri akan tambah berleluasa.
Kesimpulan
Setiap agama samawi yang diturunkan adalah berasal daripada ajaran Allah tetapi golongan Yahudi dan Nasrani ini telah menyelewengkannya daripada ajaran yang asal sehingga mereka sanggup menyembunyikan bukti-bukti yang menyatakan mereka terlibat dalam hal penyelewengan tersebut dan menyangka bahawa mereka selamat sedangkan Allah SWT Maha mengetahui dan kebenaran pasti akan diketahui juga akhirnya.
No comments:
Post a Comment