Sunday, August 16, 2009

Persoalan Agama: Edar tabung masjid ketika imam baca khutbah tidak salah

Persoalan Agama: Edar tabung masjid ketika imam baca khutbah tidak salah

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

RAKAN saya menegah saya memberi sedekah kepada tabung masjid yang diedarkan pada hari Jumaat sewaktu khatib membaca khutbah. Katanya perbuatan itu sia-sia dan makruh. Dia menyarankan memberi sebelum atau selepas solat Jumaat. Namun saya dapati banyak masjid mengedarkan tabung ini sewaktu khutbah hendak bermula dan sedang disampaikan.

Md Hafiz,
MELAKA.

Maklumat disampaikan sahabat saudara mungkin berpandukan kepada sebuah hadis riwayat Muslim, Ibn Hibban dan al-Hakim bermaksud: "Sesiapa yang mandi dan pergi awal ke masjid untuk solat Jumaat lalu mendengar khutbah dengan memberikan sepenuh perhatian, maka diampunkan dosanya antara Jumaat itu dengan Jumaat yang lalu dan ditambah lagi sebanyak tiga hari, dan sesiapa yang menyentuh batu, maka dia sudah melakukan suatu yang lagha."

Dalam riwayat yang berasingan dari al-Bukhari, al-Tirmizi dan al-Nasaeiy Nabi bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mengatakan kepada saudaranya: Diamlah kamu, maka sesungguhnya beliau telah melakukan suatu yang lagha."

Lagha diterjemahkan dalam kamus al-Mukhtar al-Sihah, bermaksud perkara batil. Pengarang al-Misbah al-Munir pula menjelaskan bahawa lagha adalah sesuatu perkara yang bengkok. Kesimpulannya lagha dalam konteks hadis Nabi ini bermaksud perkara yang sia-sia yang tidak mempunyai kaitan dengan khutbah yang disampaikan.

Mengikut komentar al-Imam al-Tirmizi dalam al-Jamik al-Tirmizi, ahli ilmu bersepakat mengenai larangan berkata-kata ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Ini disebabkan perbuatan berkata-kata atau mengusik-usik batu itu dianggap suatu yang lagha yang boleh mengakibatkan gugurnya pahala hadir solat Jumaat.

Bagaimanapun, menurut al-Tirmizi ada perilaku yang dimaafkan oleh syarak seperti menjawab salam dan mendoakan untuk orang yang bersin. Demikian juga ucapan selawat diucapkan hadirin setiap kali khatib menyebut nama Nabi SAW. Ucapan selawat ini adalah sangat dituntut ke atas kita mengucapkannya di mana saja kalimat Nabi disebut. Dalam erti kata lain, perbuatan melafazkannya tidak akan menyebabkan pahala Jumaat luput.

Demikian juga pada hemat penulis jika perbuatan itu dibenarkan maka begitu juga juga usaha memasukkan wang sumbangan ke dalam tabung dan menggerakkannya kepada jemaah lain juga bukanlah perkara sia-sia seperti yang dijelaskan dalam peringatan Nabi SAW.

# Bagi anda yang mempunyai kemusykilan mengenai agama, sila hantarkan soalan di e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

No comments: