Mencintai negara kerana Allah, Rasul satu tuntutan
Oleh Amran Zakaria
ISNIN depan negara akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan. Hari kebesaran negara selepas bebas daripada belenggu penjajahan. Menandakan kebebasan untuk mentadbir negara sendiri dan menentukan hala tuju dan matlamat sebenar negara.
Secara bandingan ternyata bukan mudah untuk memerdekakan negara daripada dikuasai penjajah. Sama ada menggunakan kebijaksanaan atau kekerasan. Dua kaedah yang menjadi pilihan bagi menuntut sesuatu kemerdekaan. Laluan berliku untuk mencapai kemerdekaan negara banyak menyentuh hati dan perasaan kita. Pengorbanan darah dan air mata menuntut semua itu. Melihat susur galur perjuangan pemimpin negara sebelum merdeka maka tepatlah seruan agar kita menyayangi dan mencintai negara secara berkekalan.
Istilah Arab berkaitan dengan semangat seperti ini disebut sebagai hubb al-watan yang mengaitkan kecintaan seseorang itu kepada negara. Maksudnya, hubb al-watan kalau dihayati akan menjadikan seseorang berjiwa dan bersemangat rela berkorban untuk mempertahankan maruah negara. Rela mempertahankan negara bangsa daripada anasir perosak yang menjahanamkan negara. Kata orang kerja membina bukan kerja mudah dan kerja memusnah bukan kerja payah.
Kecintaan seseorang kepada negaranya sendiri adalah satu fitrah yang tertanam kukuh dalam diri manusia. Ia satu perasaan yang membawa kesan baik dan positif terhadap perkembangan tamadun kemanusiaan. Islam pula sebagai agama yang menepati fitrah manusia sentiasa menyuburkan lagi rasa kasih dan sayang kepada negara. Ini adalah kerana kewujudan sebuah negara Islam adalah satu jaminan untuk melaksanakan secara amalinya negara Baldatun Toibatun Warabulghaffur. Kehilangan sebuah negara pula adalah satu kekalahan yang sangat hina bagi umat Islam kerana ia saat bermulanya berlakunya penindasan dan pelbagai kezaliman terhadap agama Allah. Lihatlah nasib umat Islam di negara Islam yang dijajah semula.
Imam Al-Ghazali menegaskan hakikat kepentingan sesebuah negara Islam dan umatnya di dalam kitab Ihya' Ulumuddin dengan katanya "Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang".
Di dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita, betapa Baginda seorang negarawan yang sangat sayang kepada tanah air. Hinggakan ketika hendak melangkah meninggalkan bumi Makkah berhijrah ke Madinah pun baginda sempat melahirkan perasaan dengan sabdanya yang bermaksud: "Alangkah indahnya engkau, betapa aku sangat menyayangimu, kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, nescaya tiada bumi yang akan aku diami melainkan engkau". Manakala selepas sampai ke Madinah al-Munauwarah (ke negeri barunya) , baginda pun berdoa: "Wahai Tuhan, baikkanlah rasa cinta kami pada negara Madinah ini seperti mana cintanya kami pada Makkah atau lebih dari itu".( Riwayat Al-Bahaqi)
Sewajarnya kita perlu kepada daya upaya yang kental dan bersemangat tinggi dalam mempertahankan negara daripada sebarang anasir sama ada nyata atau tidak nyata. Setiap orang hanya cenderung memikirkan kepentingannya sendiri. Setiap individu berfikir dan bertindak berdasarkan apa yang bakal diperoleh saja. Individu yang bijak adalah kalangan mereka yang memikirkan masa depan negara dan bersedia untuk mempertahankannya.
Justeru itu, dalam membangunkan kemerdekaan negara aspek kesedaran mengenai mempertahankan maruah bernegara dan kesedaran membela negara dibangunkan secara berterusan sebagai warisan dari satu generasi ke satu generasi. Dengan kata lain, bukan hanya aspek pendidikan dan keintelektualan berserta keterampilan yang perlu dibangunkan, bahkan dibangun juga aspek daya budi dan program cinta kasih pada negara yang membabitkan kesedaran bernegara dan membela negara bangsa.
Akibatnya, rasa cinta kepada negara semakin hari semakin menipis di jiwa warga negara. Apa lagi melihat betapa derasnya pengaruh globalisasi yang menyerang warga kita sehingga menipiskan rasa kecintaan kepada negara yang menjadi tanah air yang menyediakan tempat untuk kita berlindung dan meneruskan kelangsungan hidup.
Ketika perjuangan pemimpin negara menuntut kemerdekaan sebelum 1957, semangat yang berkobar-kobar terus menyala dalam diri mereka. Pemimpin rela mengorbankan jiwa dan raganya kerana memiliki kebanggaan dan kecintaan demi memerdekakan negara ketika itu.
Persoalan sekarang apakah idealisme perjuangan mereka boleh dihidupkan dalam suasana dan dimensi masa yang berbeza. Apakah akan ada pertanyaan seperti ‘Mengapa saya harus mencintai negara ini? dan ‘Mengapa saya mesti berkorban untuk negara ini? yang menggambarkan tahap sebenar yang menjadi garis piawaian bagi mengukur idealisme kebangsaan melalui pengucapan lisan dan pancaran pengisian ruangan kemerdekaan untuk diisi. Sukar untuk kita menjawab apa yang difikirkan oleh generasi baru di dalam ruang legar pemikiran mereka.
Mencintai negara hasil imbasan daripada cinta kepada Allah dan Rasulnya adalah sesuatu yang dituntut. Sebaliknya, mencintai negara kerana cintakan dunia menjadi punca segala kesalahan dan kesilapan. Bagi orang mukmin cinta negara ialah satu pengorbanan dalam hidup atau satu perjuangan yang tidak dapat diukir dalam perkataan.
Demi kesetiaan kita kepada negara yang tercinta, marilah sama-sama kita mengusahakan program yang dapat menyuburkan nilai cinta dan kasih sayang kita kepada negara. Leka dan cuai seminit boleh menghancurkan negara dalam masa sesaat. Tingkatkan iman sebagai prasyarat utama kejayaan umat di dunia dan di akhirat dalam kehidupan dalam sebuah masyarakat yang bernegara.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islami (Damai).
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment