Thursday, July 2, 2009

Penuhi selera penonton cabaran utama TV Islam

Penuhi selera penonton cabaran utama TV Islam

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Saluran berbentuk bimbingan, hiburan ikut syarak boleh jadi alternatif ummah

MEMETIK kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, ketika sidang media mengenai penubuhan TV Islam pada Konvensyen Pendakwah Negara 2009 pada 11 Jun lalu.

Ketika ditanya mengenai kesediaan dan persediaan ke arah penubuhan TV Islam, beliau berkata: "Ibarat orang hendak buat kenduri, pengantin sudah ada, khemah sudah ada, pihak katering juga sudah bersedia, malah menu sudah dipilih. Hanya tempat untuk mengadakan kenduri belum ada."

Justeru, merujuk perkembangan usaha ke arah merealisasikan impian melihat tertubuhnya TV Islam yang sudah diuar-uarkan dan disambut baik masyarakat negara ini, ceritanya ada pada Pengerusi Jawatankuasa Pemandu TV Islam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau yang ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu TV Islam yang pertama di ibu kota Isnin lalu berkata, sememang proses persiapan terus berjalan hingga kini bagi memastikan penubuhan TV Islam dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

Katanya, mesyuarat pada hari itu yang mengumpulkan barisan profesional, pengamal media dan ahli politik adalah untuk memikirkan misi dan visi TV Islam serta cara pelaksanaannya sebelum dimaklumkan kepada ahli jawatankuasa bertanggungjawab memastikan lahirnya satu lagi siaran televisyen bagi memenuhi aspirasi masyarakat.

"Kami dalam proses persiapan segala-galanya. Kita merasakan penubuhan TV Islam adalah sejarah yang sangat penting kerana belum ada negara lain memulakannya. Masalah yang dibincangkan tadi adalah dari segi teknikal dan pengisian siaran TV itu nanti.

"Harapan kita, masalah tempat untuk mengadakan kenduri atau lebih tepat ialah mendapatkan frekuensi atau spektrum penyiaran percuma saluran TV Islam dapat diatasi secepat mungkin. Buat masa ini kita belum mendapat jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kita sedang berusaha ke arah itu," katanya.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, jawatankuasa juga sudah bersedia dengan beberapa pelan tindakan kerana tertubuhnya TV Islam adalah lakaran sejarah besar buat negara, bukan sekadar memberi maklumat, tetapi juga pendidik dan pada masa sama sebagai pilihan hiburan yang sederhana.

Mesyuarat kali ini juga, katanya, kesinambungan daripada perjumpaan serta perbincangan yang sudah diadakan terdahulu untuk menghasilkan input, menetapkan hala tuju dan garis panduan bagi memastikan TV Islam benar-benar mencapai matlamat selain dapat dijayakan dengan berkesan.

Pembabitan mereka yang berpengalaman seperti Penyandang Kursi Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (Hadhari), Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim yang turut bertanggungjawab menubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dilihat dapat memantapkan usaha itu.

Begitu juga kehadiran (sekadar memetik beberapa nama) Pengerusi Felda, Tan Sri Yusuf Noor, yang berpengetahuan luas dapat memberi maklum balas mengenai bidang pertanian dalam Islam, supaya dapat dihimpunkan sebagai bahan yang bakal dimuatkan dalam isi kandungan TV Islam.

Mashitah berkata, tidak dinafikan banyak rungutan diterima daripada kumpulan penonton yang sudah jemu dengan bentuk hiburan dihidangkan dan mereka inginkan sesuatu yang menjadi inspirasi kepada pengisian kerohanian.

Justeru katanya, penubuhan TV Islam yang dicetuskan menteri terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kini Menteri Pertahanan) dan sudah dicanangkan itu dapat memenuhi keperluan golongan berkenaan.

Perancangan penubuhan TV Islam dicetuskan Ahmad Zahid setahun lalu dan bengkel mengenainya meliputi konsep serta bahan atau program bakal dihidangkan kepada penonton sudah dianjurkan dengan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menjawab persoalan apakah ciri TV Islam, adakah pembaca berita lelakinya memakai songkok atau semua drama dipertontonkan dilakonkan pelakon yang memakai tudung, Dr Mashitah berkata, TV Islam tidak boleh dinilai daripada segi luaran saja.

Walaupun tidak dapat disangkal bahawa luaran penting kerana itu melahirkan tanggapan pertama, apa yang lebih penting ialah isi kandungan yang dipersembahkan mampu menarik minat terutama remaja untuk berkongsi sama aspirasi penubuhan TV Islam.

"Apabila kita sebut hiburan, takkan nasyid saja. Kekuatan saluran televisyen yang pertama ialah orang hendak tengok. Jika daripada awal saluran itu orang tidak mahu tengok, matlamat kita gagal tidak kira berapa hebat pun kita rasakan penampilan kita.

"Cabaran hebat bagi kami dalam Jawatankuasa Pemandu TV Islam ini untuk menjadi orang yang sangat kreatif bagi menghasilkan persembahan menarik minat orang untuk menonton. Lebih utama menjadi alternatif kepada masyarakat dengan siaran sedia ada," katanya.

Katanya, penubuhan TV Islam juga diharap dapat mengubah persepsi dikaitkan dengan Islam itu membosankan selain melenyapkan bayangan Islam hanya terhad kepada upacara amal, ceramah agama atau program yang stereotaip.

Penonton TV Islam boleh membayangkan bentuk pendidikan yang tidak formal, ditonton secara santai tetapi mengandungi maklumat serta pengisian bermanfaat sementara hiburannya adalah seni persembahan tidak melanggari batas syariat.

Berpandukan kepada sejarah dulu, kebanyakan ahli sufi seperti Rabiah Al-Adawiyah mempersembahkan Islam melalui seni lagu yang menunjukkan perasaan cinta kepada Allah. Begitu juga Darwis yang mempersembahkan Islam dalam seni tari.

Seni Islam juga boleh dikembangkan dalam bidang lain kerana Islam sebagai cara hidup sudah menggariskan kaedah terbaik serta bersesuaian dengan umatnya sepanjang zaman dengan syarat ia dilaksanakan mengikut peraturan termasuk sukan dan pertanian.

Mashitah berkata, menjadi agenda TV Islam juga untuk memberi pengetahuan bahawa seni hiburan Islam sudah wujud sejak dulu lagi dan menjadi cabaran kepada jawatankuasa untuk menyesuaikannya dengan masyarakat hari ini.

Beliau berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab, mereka tidak mahu nanti usaha itu akan ditempelak hanya kerana pengisiannya tidak menepati cita rasa atau gagal mencerminkan imej TV Islam seperti dibayangkan semua orang.

"Kita tidak mahu apabila berjaya bersiaran nanti ada yang berkata, Oh! Inilah TV Islam yang sebenarnya. Oleh kerana itu kita sangat berhati-hati dengan mengambil kira semua aspek yang perlu dan apa yang tidak perlu.

"Seperti drama juga, banyak yang kita bincangkan, ada sebahagian yang kita ambil dari luar dan ada akan dihasilkan mengikut cita rasa budaya Melayu Asia. Jadi, kita menekankan kandungan atau pengisian TV Islam itu.

"Kita tidak menolak aspek luaran yang kukuh juga penting tetapi perlu diingat bahawa dalam berdakwah, hikmah adalah perkara sangat ditekankan. Itulah cabaran hebat dihadapi namun kita yakin TV Islam akan mempunyai penontonnya tersendiri nanti," katanya.

Katanya, penubuhan TV Islam bukan melihat kepada pencapaian jangka pendek tetapi menetapkan sasaran jauh iaitu supaya dapat bersiaran 24 jam serta mampu pergi jauh pada peringkat antarabangsa.

Ditanya bilakah agaknya TV Islam bakal menemui penonton, Mashitah berkata, tidak lama lagi dan pengisytiharannya bakal dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melihat penubuhan siaran baru itu sebagai medium penyatuan masyarakat.

Beliau berkata, menjadi harapan Jawatankuasa Pemandu TV Islam disokong jawatankuasa membantu dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang bekerja keras sejak Mei lalu memikirkan, mengumpulkan dan mencerna idea melihat kelahiran siaran seumpamanya itu di negara ini.

"Menjadi harapan besar kami untuk memikirkan serta melihat bayi akan lahir ini adalah bayi sihat, kuat dan mampu menggegarkan dunia. Apa boleh diharapkan penonton ialah siaran yang membawa kelainan untuk yang mencari nilai baru dalam agama.

"Bab paling menyukarkan ialah dari segi teknikal kerana dengan bajet terhad kita merancang sesuatu yang besar. Dengan izin Allah kami berusaha membuat yang terbaik kerana kami sedar ramai yang menunggu kelahiran TV Islam ini," katanya.

No comments: