Hak Muslim: Tanggungjawab bekas suami beri nafkah, jaga kebajikan zuriat
Soalan:
SAYA ibu kepada empat anak. Dua hasil perkahwinan pertama dan dua lagi daripada perkahwinan kedua. Suami pertama saya bekas penagih sementa-ra suami kedua seorang pegawai berkedudukan tinggi. Sejak berkahwin, beliaulah yang menanggung segala perbelanjaan dan keperluan kami. Bagaimanapun, sejak perceraian berlaku beliau kini tidak lagi menyediakan nafkah buat saya dan anak. Saya tertekan dengan keadaan itu, tambahan anak akan mula bersekolah tahun depan. Saya sudah beberapa kali menyatakan tanggungjawab itu namun bekas suami tidak mengendahkannya. Apa yang harus saya buat?
Ibu bingung,
Petaling Jaya.
Jawapan:
ANAK adalah permata dalam sesebuah perkahwinan. Mereka perlu diberi didikan dan pengawasan yang betul sejak peringkat awal lagi. Ini penting untuk menjamin kebajikan dan hak mereka terjaga sepenuhnya.
Tanggungjawab itu wajar dipikul kedua ibu bapa. Mereka perlu memastikan kebajikan anak terjaga termasuk keperluan makan minum, pakaian, pendidikan, keselamatan serta pengawasan. Ibu bapa perlu memberikan kerjasama dan memainkan peranan masing-masing.
Dalam permasalahan puan, perkara sebegini seharusnya tidak patut berlaku. Suami seharusnya sedar tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Mereka tidak boleh mengambil sikap lepas tangan kerana kewajipan menanggung nafkah anak terletak di bahu suami.
Tidak kira siapapun penjaganya, baik ibu mahupun bapa, suami tetap orang yang wajib mengeluarkan perbelanjaan untuk anak. Puan berhak menuntut hak anak daripada suami. Islam menetapkan bahawa suami hendaklah menanggung nafkah anak.
Ia juga bertepatan dengan peruntukan undang-undang Keluarga Islam di Malaysia seperti dinyatakan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”
Dalam kes puan, apa yang perlu dilakukan adalah mengajukan permasalahan ini ke Mahkamah Syariah. Tidak ada jalan lain yang lebih baik selain memfailkan tuntutan nafkah anak. Jika dibiarkan berterusan, keadaan itu sudah tentu akan menjejas kebajikan anak.
Bagaimanapun, harus diingat bahawa puan perlu menuntut nafkah anak ke atas bapa mereka saja memandangkan puan memiliki anak daripada dua perkahwinan.
Puan bernasib baik kerana sebelum perceraian berlaku, nafkah anak daripada perkahwinan pertama ditanggung suami kedua. Sepatutnya ia menjadi tanggungjawab bekas suami pertama. Suami kedua puan sebenarnya wajib mengadakan nafkah buat anak beliau dengan puan.
Jika suami puan tidak lagi mahu menanggung nafkah anak bersama bekas suami pertama, itu tidak menjadi kesalahan baginya. Meskipun sebelum perceraian, beliau yang menanggung perbelanjaan itu.
Puan perlu memohonnya dari bekas suami pertama puan.
Puan perlu mengajukan permohonan berasingan terhadap kedua-dua suami. Jumlah yang dimo-
hon juga bergantung kepada keperluan anak di samping melihat kemampuan sebenar bapa mereka. Segala butiran keperluan anak perlu dikemukakan kepada mahkamah bagi memudahkan keputusan dibuat.
Persoalan berkaitan kes ini, seharusnya ibu dan bapa sedar akan peranan masing-masing. Tidak perlu wujud jurang yang memisahkan anak daripada ibu dan bapa mereka. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan penjagaan dan pengawasan daripada kedua-dua pihak.
Mereka akan membesar dengan sempurna jika ibu bapa yang bercerai memainkan peranan dengan betul. Tidak wajar adanya persengketaan dalam hak jagaan anak, perselisihan menentukan hak lawatan anak, kealpaan mengadakan nafkah anak.
Ini semua faktor yang boleh menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu. Ibu bapa yang sudah bercerai wajar memberikan sepenuh kerjasama menjaga, mengawas dan menyediakan keperluan anak bagi menjamin mereka mendapat didikan sempurna dan membesar seperti sepatutnya. Kepentingan serta kebajikan anak perlu diutamakan berbanding kepentingan dan keperluan pihak yang bertikai.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment