Sunday, May 17, 2009

Nikmat anugerah Tuhan

Nikmat anugerah Tuhan

SOALAN:

SETIAP nikmat yang diberi oleh Allah kepada manusia akan ditanya di akhirat kelak. Untuk apa, dan apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “nikmat” itu.

Alang, Temerloh, Pahang

JAWAPAN:
Nikmat yang dimiliki oleh setiap hamba yang beriman kepada Allah akan ditanya di akhirat kelak, agar manusia memahami bahasa nikmat itu tidak kekal buat selama-lamanya, malah dunia yang menghijau-indah ini pun tidak kekal. Nikmat itu sebenarnya amanah Allah yang diberi ke atas pundak setiap hamba, yang mesti dipikul diurus dengan sebaik mungkin, menurut kepercayaan yang dimiliki. Dengan pemahaman seumpama ini manusia tidak akan melakukan sesuatu, dengan menggunakan nikmat tersebut menurut nafsunya semata-mata. kerana penyalahgunaan nikmat Allah itu akan menyebabkan kesengsaraan terhadap hamba berkenaan iaitu balasan neraka jahanam.

Nikmat Allah terlalu banyak, termasuklah harta benda yang dimiliki, kesihatan tubuh badan, waktu dan lain-lain lagi membolehkan seseorang itu hidup di dunia ini. Nikmat ini pinjaman, dan Allah berkuasa mengambilnya pada bila-bila masa.

Allah swt memerintahkan Muhammad saw agar memberikan mereka yang bertanyakan roh, bahawa roh itu adalah urusan Ilahi. Setiap sesuatu yang terjadi, termasuk penyakit dan masalah mempunyai sebab musabab. Pencipta masalah ialah Allah, Al-Khaliq yang maha berkuasa melakukan sesuatu.

Asas perubatan ada dua, iaitu penjagaan diri dan rawatan. Penjagaan diri lebih baik daripada merawatnya. Allah melarang membinasakan diri, sama ada ia melibatkan pemakanan yang memberi mudarat, yang terlarang, berlebihan dan sebagainya. Allah swt menyuruh setiap orang itu makan dan minum, tetapi melarang daripada mengambilnya berlebihan (al-An’am: 141).

Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud: Perut itu ialah tempat penyakit. Menurut Shamsuddin Muhammad, keperluan pada makanan itu ada tiga tahap, iaitu semata-mata untuk keperluan, mencukupi dan berlebihan. Baginda Rasulullah saw memberitahu bahawa makanan itu mencukupi dengan suapan kecil yang menguatkan tulang belakang, ataupun makan memenuhi satu pertiga daripada ruang perut, satu pertiga lain untuk air manakala yang bakinya untuk bernafas.

Inilah kaedah utama yang paling memberi manfaat pada penjagaan badan, kerana perut itu penyakit. Perut apabila penuh dengan makanan, ruang minuman menjadi sempit. Apabila minuman itu berlebihan, ruang bagi bernafas menjadi sempit, menyebabkan seseorang itu sukar bernafas, penat dan terasa berat. Semuanya ini menyebabkan berlakunya kerosakan hati, pergerakan tubuh menjadi lembap dan malas untuk melakukan ketaatan dan membangkitkan nafsu syahwat.

Kesihatan adalah nikmat yang besar yang sering terabai. Sebuah hadis daripada Ibn Abbas menyatakan tentang adanya seorang Arab yang bertanyakan Rasulullah s.a.w. apa yang perlu ia pohon setiap kali selepas sembahyang lima waktu. Baginda menjawab agar ia memohon kesihatan daripada Allah. Lelaki tersebut merasa tidak puas hati dengan jawapan tadi. Setelah bertanyakan buat kali ketiga, baginda akhirnya menjawab agar ia memohon kesihatan di dunia dan akhirat.

Sesetengah ahli tafsir menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah “nikmat” yang tersebut dalam ayat al-Quran (at-Takathur: 8), yang akan ditanya oleh Allah terhadap hamba-Nya pada hari kiamat kelak ialah kesihatan. Dalam sebuah hadis lain, daripada Abu Bakar as-Siddiq, menyatakan yang ia mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Pohonlah kepada Allah keyakinan dan kesihatan. Tidak ada yan lebih baik yang didatangkan kepada seorang selepas keyakinan itu selain kesihatan - Maksud hadis riwayat An-Nasaiy.

Selain bersifat sederhana dalam pengambilan makanan, kesihatan memerlukan kebersihan, iaitu pada makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Kebersihan adalah faktor utama bagi kesihatan luaran dan dalaman diri. Allah swt menegaskan agar setiap orang yang hendak sembahyang membasuh muka, tangan, menyapu kepala dan kaki (al-Maidah: 7). Mesti badan bersih, tempat sembahyang dan pakaian kerana amalan seperti ini membawa kepada kesihatan badan dan roh. Sesungguhnya Allah itu sukakan orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri (al-Baqarah: 222).

Rasulullah saw juga mengajar agar setiap orang itu menjauhkan diri daripada penyakit berjangkit, Rasulullah s.a.w. seperti yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Naim, seperti yang tersebut dalam At-Tibbu ‘n-Nabawi, tidak menggauli isterinya yang sakit mata sehinggalah sembuh.

Dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas ia berkata, telah bersabda Rasulullah saw Jangan kamu amalkan memandang mereka yang sakit kusta – Maksud hadis riwayat Ibn Majah.

Tersebut dalam at-Tibbu ‘n-Nabawi bahawa sakit kusta ialah penyakit yang berjangkit dan sakit keturunan. Baginda menegah seseorang itu daripada terus menerus memandang mereka. Baginda juga pernah mengumpulkan para pesakit kusta untuk hidup di kalangan mereka. Menurut Ibn Qutaibah, sakit ini boleh menjangkiti mereka yang menghampiri pesakit dengan perantaraan bau. Ciuman bau merupakan salah satu cara jangkitan.

Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Daud dan At-Tarmizi daripada Usmah bin Syuraik ia berkata bahawa orang-orang Arab telah bertanya kepada Rasulullah saw sama ada mereka perlu berubat. Baginda menjawab yang bermaksud: Ya, wahai hamba Allah, berubatlah. sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali ia telah menerapkan baginya penawar kecuali satu.

Mereka bertanya, apakah yang satu itu. Baginda menyatakan “al-haram”, iaitu tua. Ternyata di sini bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Allah s.w.t. memberi penyakit, Allah juga telah menetapkan ubat ataupun penawarnya, kecuali tua. Berdasarkan keterangan hadis ini juga difahamkan bahawa tua itu adalah termasuk dalam kategori penyakit, tidak kira sama ada tua itu benar-benar penyakit ataupun ia merupakan satu proses yang semestinya dilalui oleh semua orang, yang biasanya disertai dengan pelbagai penyakit dan masalah, yang tidak ada penawarnya, ataupun ubat, membolehkan orang yang tua menjadi muda, kerana setiap orang itu mempunyai had umur. Apabila tiba masa mati, ketentuan itu akan datang tanpa dapat dielakkan (al-A’raf: 33). Maut adalah penghujung setiap kehidupan, segala-galanya telah ditetapkan di Loh Mahfuz (Al-An;am: 38).

Keterangan di atas membuktikan bahawa telahan mengenai umur seseorang sama ada panjang ataupun pendek itu adalah urusan Ilahi. Begitu juga dengan harapan untuk hidup ataupun untuk sembuh biarpun manusia, melalui pengalaman yang dilalui, menurut lazimnya dapat menjangkakannya.

Allah SWT menurunkan penyakit, dan setiap penyakit sama ada sakit fizikal, mental ataupun yang berkaitan dengan hati ada penawarnya. Rasulullah s.a.w. menyuruh agar setiap orang yang sakit berusaha untuk berubat, dengan pertolongan orang lain, yang pakar dalam bidang yang dimiliki, ataupun oleh diri sendiri andainya berkeupayaan. Jelas terbukti bahawa tugas manusia di sini ialah berusaha untuk memperoleh kesembuhan, menurut keupayaan dan kemajuan akal, tanpa putus asa. Usaha dan ikhtiar adalah tugas manusia, manakala kesembuhan adalah urusan Allah yang telah ditetapkan, termaktub di Loh Mahfuz.

Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku mempunyai sebab musabab, dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qada dan qadar Ilahi itu mengandungi rahasia-rahasia Ilahiyah yang tidak mudah difahami oleh manusia. Jelas di sini membuktikan bahawa setiap pihak itu perlu memainkan peranan masing-masing, Rasulullah saw menyuruh orang yang sakit agar berubat. Pakar-pakar perubatan perlu berusaha, menyelidik dan mencari penemuan-penemuan baru untuk menangani penyakit berdasarkan latar belakang dan kepakaran masing-masing. Masalah kesembuhan adalah urusan Allah.

Sesungguhnya kesihatan adalah di antara nikmat Allah yang sering terabai, yang akan ditanya oleh Allah bagaimana manusia menggunakan nikmat anugerah Allah itu ketika hidup.

Mukmin yang bijak ialah mereka yang menggunakan nikmat sebagai jambatan atau wasitah untuk menuju ke akhirat yang berakhir dengan nikmat syurga. Namun mereka yang tidak bijak akan meredah amaran Allah dengan menggunakan nikmat yang dimiliki, yang melibatkan kekayaan, keunggulan nama, harta benda juga kuasa untuk memenuhi runtunan nafsunya. Kerana itulah orang yang seumpama ini tidak pernah merasa puas biar betapa banyak nikmat yang telah diberi oleh Allah.

No comments: