Muhasabah diri sempena Hari Guru
Oleh Mohd. Farid Md. Alias
Saban tahun tarikh 16 Mei akan sentiasa diingati sebagai Hari Guru. Pada tahun ini, 'Guru Pembina Negara Bangsa' menjadi tema sambutan Hari Guru di negara kita.
Tema tersebut menggambarkan peranan besar guru dalam membentuk generasi muda negara ke arah kecemerlangan masa depan Malaysia.
Umumnya kita memahami bahawa Hari Guru itu disambut bagi mengenang kembali jasa para guru yang banyak berusaha untuk mendidik para pelajar demi menjadikan mereka insan yang celik mindanya serta budi pekertinya.
Pada hari tersebut, kebiasaannya para pelajar menunjukkan kecintaan dan penghargaan mereka kepada para guru dengan mengungkapkan ucapan "Selamat Hari Guru" atau "Terima kasih cikgu" beserta pemberian hadiah.
Terdapat juga penganjuran majlis sambutan Hari Guru yang turut memuatkan agenda anugerah guru cemerlang.
Walau apa pun corak sambutan Hari Guru yang diadakan, apa yang penting ialah pengisiannya seharusnya mampu untuk menanam rasa hormat pelajar terhadap guru di samping membina motivasi guru untuk terus gigih mendidik anak watan.
Bagi pihak pelajar pula, mereka seharusnya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan daripada pihak guru atas segala tindak tanduk pelajar selama ini yang mungkin menyebabkan guru kecil hati.
Juga para pelajar boleh memohon jasa baik guru agar dihalalkan segala ilmu yang dicurahkan serta mendoakan pelajar agar memperoleh keberkatan ilmu yang dipelajari. Faktor restu guru adalah penting demi kejayaan pelajar bukan sahaja dalam peperiksaan tetapi juga terhadap aspek kehidupan pelajar yang lain seperti akhlak dan sahsiah.
Hormati Guru Kita
Hormat pelajar terhadap guru itu adalah dengan pelajar berkomunikasi dengan guru secara sopan santun dan bijaksana. Hormat terhadap guru juga bermaksud tekun berusaha untuk memahami pengajaran guru, menyiapkan tugasan yang diberikan serta mengamalkan ilmu bermanfaat yang disampaikan oleh guru kepada pelajar.
Mematuhi peraturan sekolah juga merupakan cara menghormati guru. Peraturan sekolah melengkapkan serta melancarkan pendidikan guru di dalam kelas. Berpakaian seragam sekolah umpamanya memupuk disiplin diri pelajar untuk mematuhi undang-undang.
Apabila perasaan hormat terhadap guru dipupuk, apa yang guru suruh dilaksanakan, apa yang guru larang dielakkan. Apa yang guru ajarkan difahami, apa yang menjadi perdebatan dibincangkan, apa yang menjadi persoalan dijawab.
Muhasabah Pelajar Hadiah Teristimewa
Hadiah yang tidak ternilai buat seorang guru bersempena Hari Guru ini ialah apabila pelajar bermuhasabah diri demi mengenal pasti sejauh mana pelajar telah berperanan sebagai seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu daripada seorang guru.
Dalam proses bermuhasabah tersebut, pelajar boleh menilai diri mereka melalui sudut pandang guru terhadap pelajar, yakni apakah ciri-ciri seorang pelajar yang disukai dan yang tidak disukai oleh guru.
Pelajar boleh bertanyakan maklum balas daripada guru mereka tentang ciri-ciri tersebut serta adakah pelajar memilikinya. Jawapan daripada pihak guru tentunya bakal menemukan pelajar dengan resipi kecemerlangan diri, bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam kehidupan sebenar pelajar.
Usah Ego Terhadap Guru
Guru juga seorang manusia. Kadang kala guru tidak dapat lari daripada memiliki kekurangan atau melakukan kesilapan. Justeru sebagai pelajar, kita seharusnya mencontohi perkara kebaikan yang ditunjukkan oleh guru dan mengambil iktibar daripada kekurangan guru dengan berusaha menjadi lebih baik.
Bagi sesetengah pelajar, mereka mungkin memiliki pengetahuan atau kemahiran yang lebih baik daripada apa yang mampu diajarkan oleh guru.
Hal ini tidak seharusnya menjadikan pelajar berasa ego atau tinggi diri terhadap guru lalu menyebabkan pelajar hilang rasa hormat terhadap guru atau mengabaikan pengajaran guru.
Andainya pelajar kurang bersetuju dengan mana-mana pengajaran guru, perkara tersebut perlu dicurahkan melalui kaedah diskusi secara berhemah dan bijaksana tanpa sebarang unsur yang merendahkan martabat seorang guru serta tidak menjejaskan hubungan antara pelajar dan guru.
Kesimpulan
Pada seorang guru itu bukan sahaja tersingkap pancaran keilmuan tetapi juga pancaran akhlak untuk dicontohi serta pancaran tarbiyah untuk diikuti.
Guru tidak sahaja berusaha mendidik murid untuk menjadi pintar intelektualnya, tetapi juga pintar pada emosi dan rohaninya.
Kepada insan yang bergelar pelajar, ayuh jadikan Hari Guru ini sebagai titik perubahan buat diri pelajar untuk memperbaiki diri ke arah mencapai kecemerlangan. Gambarkan sifat-sifat murni yang pelajar ingin miliki dan berusaha terapkannya dengan bantuan dan didikan guru.
Guru-guru di sekeliling pelajar sentiasa bersedia untuk membantu pelajar yang mahu membantu diri mereka sendiri.
Insya-Allah dengan bimbingan, dorongan serta doa mereka, kejayaan yang diharapkan bakal menjadi kenyataan!
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment