Marc bersyukur dipilih Allah
Susunan ZUARIDA MOHYIN
PENGHIJRAHAN akidah anak pasangan tentera Amerika Syarikat (AS) ini berbeza daripada kebiasaan kebanyakan mualaf kulit putih di sana, yang memiliki latar belakang fahaman liberal dan bersikap terbuka.
Ini kerana Marc Springer dibesarkan dalam suasana yang penuh dengan peraturan dan disiplin sementelah ibu bapanya bertugas sebagai tentera. Kerjaya ketenteraan turut mempengaruhi pandangan dan perwatakan bapanya dan paling ketara, bersifat perkauman.
Marc turut terkena tempias sifat negatif bapanya itu sehinggalah usianya mencecah 24 tahun. Malah katanya, telinganya sudah lali dengan leteran dan tempelakan bapanya terhadap bangsa Arab, masyarakat Islam dan tidak kurang juga menghentam agama, cara hidup dan bangsa tersebut.
Bukan itu sahaja, kehidupan kanak-kanak yang dilalui Marc cukup rumit dan penuh dengan tekanan. Apa tidaknya, perangai kaki botol bapa menjadi satu bentuk deraan fizikal dan menimbulkan ketakutan kepada dia sekeluarga.
Lantaran itu tidak hairanlah Marc mencari ketenangan di luar rumah bagi menggantikan sebuah keluarga yang ideal yang menjadi idaman setiap manusia. Masalahnya, orang yang dicari sebagai pengganti itu semuanya yang teruk akhlak dan latar belakang mereka.
"Saya mula terlibat dengan kumpulan gengster dan boleh dikatakan saya sentiasa mengepalai gerakan bersifat perkauman ini. Malah nama saya memang digeruni penduduk di sekitar pekan kecil di mana saya dibesarkan itu.
"Biarpun menjalani kehidupan liar, jauh di sudut hati kecil saya tetap menyedari apa yang dilakukan itu adalah salah dan tidak adil. Saya masih ingat pertanyaan pedas seorang teman sekolah berbangsa Mexico ketika berusia 16 tahun: "Mengapa engkau bergaul dengan orang-orang yang tidak senonoh sebegitu, sedangkan engkau lebih bagus daripada mereka?"
"Saya mengakuinya tetapi alasan berkelakuan sedemikian ialah kerana kecewa dan benci dengan sikap tidak bertanggungjawab bapa terhadap kami sekeluarga," katanya dan dari situlah perasaan perkauman dan kebencian bermula.
Situasi di rumah menjadi semakin meruncing, menyebabkan dia telah dihalau keluar pada usia 23 tahun. Namun ada hikmah di sebalik setiap kejadian itu.
Marc akui saat menjalani kehidupan di luar itulah menjadi titik tolak kepada perubahan akidahnya. Ini kerana dia bebas daripada kongkongan bapa.
Bagaimanapun untuk sampai kepada kebenaran yang hakiki, Marc masih dengan tabiat buruk menonggak arak, mengambil dadah dan melampaui undang-undang.
Di sebalik kegelapan itu, satu pengalaman baru yang dilalui Marc ialah dia mula dapat melihat situasi sebenar dirinya yang boleh membawa kepada kehancuran.
Malah Marc mula bermonolog segala macam berkaitan kehidupan dan pegangan agamanya. Sejak itu dia mula mengambil pendirian untuk menilai semula kehidupannya itu.
"Saya mempunyai seorang teman wanita yang kemudiannya saya kahwini. Kami sama-sama terlibat dalam kumpulan gangster.
"Penglibatan serius dalam aktiviti tidak sihat itu menimbulkan kebimbangan kepada saya sekiranya ia turut menyeret teman wanita saya ke kancah yang jauh lebih teruk," katanya.
Lantaran itu Marc mula membeli pelbagai bahan bacaan yang diharap dapat mengubah dan menyedarkan diri ini agar menjalani kehidupan lebih bermakna dan berfaedah.
Mini perpustakaan
Tabiat baru ini akhirnya terbina sebuah mini perpustakaan peribadi yang mengandungi beribu naskhah buku.
"Pada masa yang sama, kemunculan gerakan Intifada di Palestin menambahkan lagi kemarahan bapa, apatah lagi sikap antinya terhadap orang bukan berkulit putih termasuk bangsa Yahudi.
"Walau bagaimanapun, dia rela menyokong Israel kerana bencinya kepada orang Arab memang membuak-buak," kata Marc keadaan itu menyebabkan dia berhasrat ke Asia Barat untuk mendapat gambaran yang lebih jelas.
Sejak itu Marc mula membaca bahan bacaan umum mengenai sejarah, politik di Asia Barat. Lama-kelamaan beliau semakin keliru kerana langsung tidak mengetahui tentang sejarah agama negara tersebut. Ditambah pula benih kebencian kepada Islam telah tersemai sejak kecil lagi oleh ayah, tinggal di kawasan di mana sukar ditemui komuniti Muslim.
Pun begitu, ia tidak menghalang minatnya untuk menggali segala maklumat berkaitan Islam. Dengan menggunakan kecanggihan teknologi maklumat seperti menerusi Internet dan media cetak, Marc akhirnya memperoleh maklumat asas tentang sejarah dan agama Islam.
Perpindahan kerja isteri ke England sekali lagi membawa perubahan besar dalam kehidupan Marc, sungguhpun pada peringkat awal minatnya beralih kepada sejarah di Eropah yang cukup panjang dan menarik serta berpeluang mengembara ke seluruh Eropah.
Namun minat mengkaji tentang sejarah Asia Barat tetap mendapat perhatian. Lagi pula, kewujudan komuniti Muslim di Eropah sudah lama bertapak dan stabil.
"Jadi saya mula mengkaji tentang kepercayaan, ideologi dan sejarah Islam. Malah saya juga sudah berjinak-jinak dengan pembacaan al-Quran.
"Pada masa sama, pelbagai persoalan muncul seperti benarkah Tuhan itu ada anak. Menerusi pembacaan, saya dapati kepercayaan ini berasal daripada sumber agama pagan.
"Rupa-rupanya Islam ada jawapan terhadap konsep triniti, siapa itu Nabi Isa dan banyak lagi. Saat itulah fokus dan isu utama saya adalah untuk melaksanakan Islam di dalam kehidupan saya," jelas beliau.
Sayangnya, kata Marc, perubahan yang dibuat itu menyebabkan perkahwinannya tidak kekal lama. Beliau meninggalkan England bersama seorang pemuda dari Lubnan yang ditemui di London dan mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid di situ.
"Meninggalkan England merupakan sesuatu yang sukar diterima kerana beranggapan sukar untuk mendalami agama yang baru dianuti itu. Tetapi sebenarnya ada hikmah yang Allah sediakan pada setiap yang Dia takdirkan ke atas hamba-Nya," katanya.
Marc memperoleh pekerjaan di salah sebuah agensi kerajaan AS di Alaska. Berada di situ memberinya peluang membuat kajian dan pembacaan untuk mendalami agama Islam.
Malah perjalanannya atas urusan perniagaan di Washington DC memberi peluang kepada Marc bergaul dengan komuniti Islam di situ. Pada saat itu hatinya mula terdetik untuk sekali lagi mendirikan rumah tangga selepas beberapa tahun hidup menduda.
Keinginan itu terpaksa dipendamkan dengan anggapan bahawa komuniti Islam memandang serong mualaf yang berkulit putih sepertinya, apa lagi dengan tatoo penuh di badan yang ditoreh pada zaman jahil dahulu.
"Bagaimanapun seorang teman saya memberitahu bahawa dia mengenali seorang wanita yang berhasrat serupa. Setelah persetujuan bertukar nombor telefon diperoleh, saya terus menghubunginya.
"Persahabatan kami menjadi semakin akrab sejak hari itu. Setiap hari kami berhubung melalui telefon mahupun emel. Saya mula yakin bahawa kami adalah pasangan yang serasi dan mula menaruh hati. Pada bulan Ramadan, saya mengunjungi keluarganya," kata Marc pada pertemuan pertama itulah dia sudah diterima oleh keluarga besar wanita itu.
Sekembalinya Marc ke Washington DC, mereka diijab kabul di hadapan keluarga dan teman-teman. Seperti pasangan pengantin lain, Marc dan isterinya, seorang wanita Arab Saudi sebaik sah bergelar suami isteri turut meraikan bulan madu mereka.
Sungguhpun ada yang beranggapan tiada keajaiban di dunia sekarang ini tetapi kata Marc, kisahnya menepis salah tanggapan ini.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment