Monday, November 19, 2007

Syarat sah, hikmah beriktikaf

Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali

IKTIKAF dari segi bahasa bererti diam dan duduk berhenti pada sesuatu tempat. Menurut pengertian syarak, iktikaf bermaksud berhenti dalam masjid tempat orang berjemaah dengan niat beribadat kerana Allah.

Iktikaf juga diertikan berhenti di masjid sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, menunggu atau mengasingkan diri.

Dari segi istilah, menurut Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya al-Iqna' menyatakan, iktikaf adalah 'menunggu atau berada dalam masjid disertakan dengan niat yang tertentu'. Dengan kata lain, iktikaf ialah menetapi di masjid dan berdiam di dalamnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

Antara hikmah iktikaf ialah mendorong seseorang supaya hatinya sentiasa mengingati Allah. Amalan itu juga dapat mendidik jiwa dan membersihkan rohani ketika berhadapan dengan Allah. Iktikaf juga dapat menanam dan memupuk perasaan cinta akan masjid dan sentiasa mengingati masjid.

Di samping itu, amalan ini juga dapat mempereratkan hubungan sesama umat Islam kerana masjid adalah tempat mereka berkenal-kenalan. Imam al-Kasani menyebut, iktikaf penting kerana ia akan mendekatkan diri kepada Allah dengan berada di rumah-Nya, berpaling daripada kepentingan dunia, menerima segala suruhan Allah untuk mencapai rahmat dan keampunan-Nya.

Sebelum seseorang itu memasuki iktikaf hendaklah ia berniat iktikaf kerana Allah, melakukan ibadat untuk mencapai kecintaan kepada Allah, sentiasa memohon taufik dari Allah untuk melakukan amal soleh yang lain dan menjauhkan dirinya daripada maksiat serta diampunkan dosa.

Dia hendaklah sentiasa bersyukur atas kurniaan nikmat Allah yang diberikan selama ini. Seseorang yang beriktikaf hendaklah menjauhi sebab yang doanya tidak dimakbulkan Allah seperti makan dan minum daripada sumber haram, tidak ada usaha mengubah diri, meninggalkan perkara yang menyuruh kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Doa juga tidak dimakbulkan jika tidak dilakukan penuh kekhusyukan.

Iktikaf boleh menjadi wajib jika seseorang itu bernazar atau bersumpah untuk melakukannya. Pada umumnya, iktikaf adalah ibadat sunat dan boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi digalakkan pada akhir Ramadan.

Hari-hari yang lebih utama ialah pada akhir Ramadan kerana nabi beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan. "Sesungguhnya Nabi beriktikaf pada pada sepuluh yang terakhir daripada Ramadan sehingga akhir hayat baginda" (HR Ahmad dan Tirmizi)

Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah menyetubuhi mereka (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu sedang melakukan iktikaf dalam masjid." - (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan bahawa ayat ini sebagai dalil iktikaf perlu dilakukan di masjid. Seandainya sah dilakukan di tempat lain, tentulah tidak diharamkan bersetubuh dalamnya kerana bersetubuh itu perkara yang merosakkan iktikaf secara ijmak ulamak.

Aishah pernah menyebutkan mengenai disiplin orang yang beriktikaf iaitu mereka tidak boleh keluar daripada lingkungan tempat iktikaf melainkan kerana keperluan terpaksa atau janganlah dia keluar kerana menziarahi pesakit, bersedap-sedap dengan menyentuh dan mencium isteri dan jangan pula menyetubuhi isterinya.

Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid yang ada jemaah dan disunatkan berpuasa. Beriktikaf perlu dilakukan di masjid yang ada solat Jumaat supaya iktikafnya tidak terganggu dan terbatal apabila dia keluar untuk solat Jumaat kerana keluarnya itu adalah wajib bagi melaksanakan solat Jumaat.

Masa iktikaf yang diperlukan sekurang-kurangnya sekejap. Ini adalah iktikaf sunat. Apabila seorang Islam lalu ke dalam masjid dengan niat iktikaf atau seseorang yang masuk ke dalam masjid untuk bersembahyang fardu atau bersembahyang sunat dan diniatkan sekali untuk melakukan iktikaf, dia akan mendapat pahala iktikaf selama dia berada dalam masjid.

Rukun iktikaf ialah tinggal dalam masjid walaupun seketika dan diniatkan beriktikaf. Untuk membolehkan iktikaf itu sah, seseorang hendaklah memenuhi syaratnya iaitu, Islam, mumaiyiz, ditegah bersetubuh dan dilakukan dalam masjid yang mempunyai jemaah dalamnya.

Golongan Syafi'i berpendapat, sesiapa bernazar beriktikaf di masjid tertentu, tidak wajib menunaikan nazarnya di masjid yang ditentukan itu bahkan dia boleh melakukannya di mana-mana masjid kecuali jika dia bernazar melakukannya di Masjidil Haram di Makkah, Masjid al-Nabawi di Madinah atau Masjid al-Aqsa. Dia wajib menyempurnakan nazarnya di masjid berkenaan.

Orang beriktikaf disunatkan memenuhi masa iktikaf dengan melakukan ibadat seperti membaca al-Quran, bersolat, berzikir, berdoa dan memperbanyakkan tawaf jika iktikaf itu dilakukan di Masjidil Haram.

Imam al-Nawawi menyebut, diharuskan orang yang tinggal di masjid untuk beriktikaf sementara menunggu waktu solat dengan niat beriktikaf maka ia akan mendapat pahalanya selagi mana ia tidak keluar masjid. Jika dia keluar masjid hendaklah ia niat semula.

No comments: