Monday, November 19, 2007

Ibadat haji bukti Islam tiada diskriminasi

Oleh Mohd Shukri Hanapi

SAAT dan ketika ini, umat Islam sedang berkumpul di Makkah untuk bersiap sedia menunaikan ibadat haji yang difardukan kepada setiap Muslim untuk melaksanakannya apabila berkemampuan, sekali dalam seumur hidup.

Kewajipan menunaikan ibadat haji diperintahkan Allah dalam firmannya yang bermaksud: "Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi baitullah (kaabah)." - (Surah Ali-'Imran, ayat 97)

Kewajipan mengerjakan ibadat haji turut dijelaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Islam dibina di atas lima perkara, iaitu mengakui tiada Tuhan yang sebenarnya mesti disembah selain Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadan." -(Hadis riwayat Muslim)


Ibadat haji adalah suatu kefarduan yang sangat unik bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima kerana ibadat itu mesti dilakukan di suatu tempat dan masa yang tertentu saja. Umumnya, ibadat haji berperanan menyempurnakan semua ibadat lain yang sudah ditunaikan sebelumnya.

Berdasarkan perintah Allah dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW, ibadat haji dikerjakan hanya di Tanah Suci Makkah, manakala masanya dari 9 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Seseorang Muslim tidak boleh mengerjakan ibadat haji di tempat dan masa yang lain.

Oleh kerana dilaksanakan di tempat serta masa yang khusus, fardu haji menjadi perhimpunan besar orang Mukmin yang datang daripada seluruh pelosok dunia dengan niat yang satu, melaksanakan perintah Allah.

Pada masa sama, mereka dapat mengeratkan silaturahim dengan berkenalan sesama mereka seterusnya mengukuhkan semangat persaudaraan Islam seperti dikehendaki Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sebenarnya orang Mukmin itu adalah bersaudara." - (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah." - (Surah Ali-'Imran, ayat 103)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seseorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, tidak boleh menganiayainya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustakannya dan tidak boleh menghinanya." - (Hadis riwayat Muslim)

Dalam perhimpunan besar itu, tidak timbul perbezaan antara seseorang Muslim dengan Muslim yang lain, baik dari segi warna kulit, bahasa, bangsa, kedudukan kaum, ketinggian ilmu, harta kekayaan, jawatan, gelaran, politik dan sebagainya.

Oleh itu, jika seseorang Muslim yang sebelum ini suka menyatakan dirinya lebih baik dan mulia daripada orang lain kerana kedudukan pangkat, berlainan fahaman politik dan keturunan, maka pada saat mengerjakan ibadat haji, ia terpaksa akur kepada perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Haji itu dalam beberapa bulan yang ditentukan, sesiapa yang telah menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh bercakap kotor, melakukan kejahatan dan bertengkar (atau bermusuh-musuhan) dalam mengerjakan ibadat haji." - (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Berhubung perhimpunan terbesar ini, jelas menunjukkan Islam tidak mengenal perbezaan yang wujud antara sesama Muslim. Tegasnya dalam agama Islam tidak mempunyai unsur diskriminasi. Ukuran kemuliaan seseorang Muslim itu hanyalah bergantung kepada tahap ketakwaan kepada Allah dan beramal salih saja.

Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di antara kamu." - (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Tujuan Allah menjadikan manusia dengan pelbagai puak, kabilah dan bangsa di dunia ini, adalah untuk membolehkan mereka saling kenal-mengenali dan saling kasih-mengasihani antara satu sama lain.

Allah menciptakan manusia dalam keadaan sebegini bukanlah untuk memberi ruang kepada sesuatu bangsa dan puak itu bermegah-megah antara satu sama lain. Bahkan penyatuan umat Islam daripada pelbagai kaum amatlah penting.

Ibadat haji adalah satu cara praktikal disediakan Islam untuk mengintegrasikan seluruh umat Islam dengan niat yang satu iaitu beribadat kepada Allah dan berusaha mencapai haji mabrur di samping menghayati semangat persaudaraan Islam.

No comments: