1Malaysia terjemah idea bernegara Ibn Khaldun
Kejayaan bangsa ditentukan secara kolektif hasil perpaduan rakyat pelbagai agama, kaum
SUDAH ditakdirkan Ilahi artikel ini ditulis bertepatan bulan lahir dan wafatnya Bapa Sosiologi Islam bahkan dunia, Waliyuddin Abdurrahman bin Muhammad bin Muhammad bin Abi Bakar Muhammad bin al-Hasan yang kemudian masyhur sebagai Ibnu Khaldun. Tokoh ini lahir di Tunisia pada 1 Ramadan 732 Hijrah (27 Mei 1332) dan wafat di Kaherah, Mesir pada 25 Ramadan 808 Hijrah (19 Mac 1406).
Ditakdirkan juga penulis membuat refleksi Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 bertemakan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang disambut esok kepada pemikiran teori bangsa Ibn Khaldun.
Seandainya tidak ada satu pernyataan pun, selain oleh ahli sejarah terkenal Barat, Arnold Toynbee (1962) dalam A Study of History: The Growths of Civilizations, maka kita cukup mengetahui siapa Ibnu Khaldun.
Toynbee menulis: ".....and yet in his Prolegomena (Muqaddimah) to his universal history he was conceived and formulated a philosophy of history which is undoubtedly the greatest work of its kind that has ever yet been created by any mind in any time and place."
Buku Muqaddimah ini mempunyai enam bab utama iaitu Tamadun manusia secara umum; Tamadun Badwi, bangsa dan kabilah luar; Dinasti, Raja, Khalifah, Pangkat dan Pemerintahan; Negara dan kota, serta semua bentuk tamadun; Aspek mencari penghidupan, keuntungan dan pertukangan; pelbagai ilmu pengetahuan dan kaedah pengajaran.
Buku ini ialah pendahuluan kepada kitab besar Tarjuman al-'Ibar wa Diwan al-Mubtada' wal Khabar fi Ayyam al-'Arab wal Barbar wa man 'asharahum min dzawi s-Sulthan al-Akbar dan ia menjadi ekstrak prinsip yang bekerja di sebalik aneka manifestasi ilmu pengetahuan, pencapaian dan pengalaman masyarakat manusia dari semasa ke semasa.
Seperti kitab masyhur lain yang ditulis pengarangnya dalam penjara termasuk al-Mabsut oleh al-Sarakhsi dan al-Fatawa oleh Ibn Taymiyah, Muqaddimah juga ditulis ketika Ibnu Khaldun dalam penjara dan yang terakhir disebut sudah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa seperti Perancis oleh William de Sale, Prolégomene historiques d'Ibn Khaldoun; Jerman oleh Annemarie Schimmel, Ibn Chaldun: Ausgewaehlte Abschnitte aus der Muqaddima dan Inggeris oleh Franz Rosenthal (1958), The Muqaddimah: An Introduction to History by Ibn Khaldûn.
Ibnu Khaldun dalam kitabnya, berkata masyarakat dan negara yang kuat memiliki tiga kriteria.
Pertama, perpaduan kebangsaan yang kukuh dengan sikap dan perilaku menganiaya, membenci dan menjatuhkan satu sama lain bertukar menjadi saling memberi, menghargai dan melindungi.
Kedua, kuantiti dan kualiti sumber manusianya. Rakyat yang setia kepada negara akan bertambah makna strategik mahupun tampak positifnya secara ekonomi dan sebagainya jika individu unggul dan cekap. Sebaliknya, keunggulan sumber manusia semata-mata tidak banyak maknanya jika negara dilanda krisis demografi yang membawanya kepada kemusnahan.
Ketiga, kebangkitan bangsa dan kejayaan negara hanya kekal apabila rakyatnya selalu optimis dan mahu terus bekerja keras. Kejayaan tidak dicapai sekelip mata tanpa melalui proses yang panjang.
Menurut Ibnu Khaldun, kejatuhan suatu imperium biasanya diawali dengan kezaliman kerajaan yang tidak lagi mempedulikan hak dan kesejahteraan rakyatnya serta sikap sewenang-wenang terhadap rakyat. Akibatnya timbul rasa ketidakpuasan, kebencian dan ketidakpedulian rakyat terhadap undang-undang dan aturan.
Keadaan ini semakin parah apabila kemudian terjadi perpecahan elit penguasa yang sering berpanjangan disintegrasi dan munculnya petty leaders.
Berbeza dengan penulis sejarah sebelumnya, Ibnu Khaldun dalam analisisnya berusaha objektif. Pendekatan yang dipakainya tidak normatif, akan tetapi empiris-positivistik.
Huraiannya berdasarkan pada das sein dan bukan das sollen, pada apa yang sesungguhnya terjadi, bukan apa yang seharusnya terjadi. Hematnya, kejayaan suatu bangsa lebih ditentukan oleh apakah dan sejauh mana mereka secara kolektif berhasil mengurus potensi yang ada padanya semaksimum dan optimal mungkin. (Lihat Dr Syamsudin Arif (2006): Pangkal Kejatuhan dan Kejayaan Bangsa)
Sejurus mengambil alih kepemimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi beberapa waktu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan konsep kenegaraan 1Malaysia.
Seperti dalam penjelasan mengenainya yang disediakan Bahagian Penerbitan Dasar Negara, rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1Malaysia ialah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara. 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.
Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. 1Malaysia juga akan mewujudkan kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat dengan slogan Perdana Menteri iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
1Malaysia memerlukan kepemimpinan dan rakyat yang integriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
1Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan.
Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara. Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap mereka adalah bangsa Malaysia yang segalanya perlu dinikmati bersama. Malaysia adalah negara kita, tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Bagi ulul albab adalah jelas apa yang ditulis Ibnu Khaldun 600 tahun lalu dan apa yang sedang diterapkan Malaysia hari ini sempena Hari Kemerdekaan Ke-52. Bukankah begitu?
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment