Saturday, August 15, 2009

Forsimas cari formula makmurkan masjid

Forsimas cari formula makmurkan masjid

Oleh Saufi Hamzah

sofeeham@bharian.com.my


PESERTA mengikuti pembentangan kertas kerja oleh panel Forsimas yang berakhir 9 Ogos lalu, di Kuala Lumpur.

Institusi patut jadi pusat kegiatan ummah, lebih mesra remaja dan pelawat

INSTITUSI masjid berperanan sebagai pusat kemasyarakatan umat Islam. Namun, fungsi itu sebahagiannya kurang diberi penekanan sehingga masjid dilihat sekadar tempat menunaikan ibadat semata-mata.

Atas kesedaran itu, Forum Silaturahim Kemakmuran Masjid Serantau (Forsimas) Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung dari 7 Ogos hingga 9 Ogos lalu dan dihadiri 170 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand, China dan Kemboja, berasa terpanggil untuk merungkai permasalahan sama ada benar institusi masjid kini tampak lesu.

Kekurangan kehadiran generasi muda antara punca masjid kurang meriah, lebih-lebih lagi kegiatan bukan berbentuk agama agak merosot mungkin menyebabkan mereka terus meminggirkan masjid.

Ada kebenaran terhadap kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang menyebut pengurusan perlu lebih mesra dan terbuka terhadap pelancong lebih-lebih lagi bukan Islam dan mengubah identiti masjid yang bagaikan kem tentera.

"Mereka letak pengawal macam kem tentera dan pelancong disambut dengan wajah jeneral tanpa senjata. Kita insaf tetapi tiada keupayaan dan tak boleh berinteraksi dalam bahasa asing.

"Kita perlu perbaiki cara layanan termasuk perkara remeh. Kita tidak boleh prejudis kepada tugas sehingga meragui orang asing kerana ini bercanggah dengan Islam.



"Berapa ramai orang peluk Islam kerana menziarah masjid. Oleh itu, pihak berkuasa agama dan majlis agama negeri perlu mengubah cara berfikir dan memahami institusi masjid adalah untuk semua," katanya.

Sepanjang tiga hari forum anjuran Dewan Pemuda Masjid Malaysia dengan kerjasama Jakim itu menyaksikan pembentangan tujuh kertas kerja. Antaranya oleh tokoh pemikir Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dengan tajuk 'Dinamisme Generasi Muda Dalam Memakmurkan Masjid'; 'Peranan Masjid Dalam Membangun Ketamadunan Ummah' oleh Ketua Umum Pemuda Masjid, Dr Muhammad Nawar Ariffin; 'Peranan Masjid Dalam Menangani Masalah, Sosial, Remaja dan Wanita' oleh Setiausaha Jawatankuasa Masjid Bandaraya, Yahamad Budin dan 'Persepsi Generasi Muda Terhadap Masjid: Suatu Hasil Kajian' oleh Ketua Jabatan Psikologi Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Shukran Abd Rahman.

Shukran berkata, remaja memberikan alasan kehadiran mereka tidak diterima dan dipandang serong antara faktor tidak kerap ke masjid sehingga ada yang terus meminggirkannya.

Oleh itu, Dr Muhammad Uthman berkata, masyarakat Islam disaran mengembalikan kegemilangan masjid sesuai dengan peranannya sebagai pusat hakiki pelbagai kegiatan kemasyarakatan.

Beliau berkata, masjid sentiasa dianggap pusat kegiatan merangkumi kerohanian, pendidikan, sosial, ekonomi dan tempat berkumpul remaja.

Wakil Pusat Islam Jakarta, Salehuddin Effendi, berkata Rasulullah menjadikan masjid markas membina umat dan pusat kegiatan. Dari masjid juga berdiri peradaban sempurna dinamakan peradaban Madinah.

Berikutan itu, peserta berharap lebih banyak program membabitkan remaja dianjurkan berikutan golongan berkenaan dianggap tunjang melaksanakan dakwah Islam.

Peserta dari Pattani, Thailand, Sulaiman Mar'ee Khalid, 25, ia dapat memastikan remaja sentiasa memakmurkan masjid dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

"Islam menggalakkan remaja dipersiapkan dengan pelbagai ilmu supaya mampu menjadi pemimpin yang berupaya memikul amanah masa depan," katanya.

Pengarah Masjid Nasional Al-Akbar Surabaya, Indonesia, Drs H Endro Siswantoro, pula berkata persepsi masjid hanya tempat menunaikan solat perlu diubah.

"Pemuda perlu memakmurkan masjid dengan apa juga aktiviti kemasyarakatan di bawah pengawasan lebih sempurna," katanya.

Ahli Persatuan Islam Kemboja, Him Sukot @ Shukor pula berkata, mereka bernasib baik kerana dapat mengadakan pelbagai acara untuk umat Islam di Kemboja seperti majlis korban, seminar dan ceramah.

Sesungguhnya generasi muda boleh menjadi pemangkin menggerakkan lagi peranan masjid dengan lebih berkesan.

Sudah sampai masanya masjid lebih mesra pengguna atau mudah didekati generasi muda. Peralihan paradigma kepada pengurusan masjid harus diusahakan supaya persepsi terhadap generasi muda lebih positif.

No comments: