Monday, July 20, 2009

Sukarelawan Al-Falah kini berdikari

Sukarelawan Al-Falah kini berdikari


OPS Tautan Kasih adalah program khidmat bakti dalam bentuk bantuan kemanusiaan. Program yang diperkenalkan beberapa tahun lalu ini melibatkan semua golongan masyarakat tanpa mengira usia.


ISLAM telah menggariskan bahawa tugas mengajak manusia membuat kebaikan dan meninggalkan maksiat, adalah seruan dan saranan kepada setiap individu Muslim.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka yang demikian itu adalah orang yang berjaya. (ali-Imran: 104)

Meskipun, tidak dinafikan bahawa kerja-kerja dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, iaitu tidak setakat menghulurkan sumbangan atau derma. Pun begitu, berkeperibadian unggul, menuntut ilmu dan berusaha kuat juga adalah bentuk dakwah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Menyedarinya, apabila kita sebut keberkesanan berdakwah, tidak dapat tidak, kita perlu menggunakan kaedah yang sistematik dan teratur.

Ini kerana, ia juga mampu melahirkan pendakwah dan sukarelawan Islam yang benar-benar komited, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan umat secara menyeluruh.

Lantaran itu, kewujudan Sukarelawan Al-Falah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang kini telah memasuki fasa kedua penubuhan, dikira satu usaha ke arah memartabatkan dan mempertingkatkan tahap profesionalisme sukarelawan dari badan dakwah Islam agar sentiasa berada di barisan hadapan.

Istilah sukarela bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu Islam kerana kita lebih terdedah dengan konsep gotong-royong. Ia telah menjadi amalan biasa untuk kita menggerakkan sesuatu program atau kerja-kerja khidmat masyarakat.

"Cumanya kini di dalam Sukarelawan Al-Falah konsep gotong-royong itu memang digunakan tetapi ia lebih terancang dan sistematik. Kita menggubal satu kurikulum yang kemas bagi memastikan latihan yang teratur, praktikal dan bersesuaian dijalankan.

"Sejak tempoh penubuhan iaitu pada 2000 hingga kini, pelbagai aktiviti dijalankan di seluruh negeri terutamanya, latihan asas, latihan kepimpinan, program khidmat bakti, kursus pengurusan jenazah, klinik solat, kursus imam muda, ekspedisi.

"Ini tidak termasuk bantuan selepas berlaku bencana alam seperti banjir yang melanda beberapa negeri di sini," jelas Komander Sukarelawan Al-Falah, Mohammad Noor Abdul Rahman dalam pertemuan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mohammad Noor lagi, jumlah keanggotaan terkini adalah 40,000 orang meliputi Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sesuatu yang membanggakan, ujarnya, apabila menyaksikan Sukarelawan Al-Falah bergerak sebagai satu pasukan dengan ikatan persaudaraan sejati serta semangat berjuang dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Namun paling menyentuh akui beliau, apabila melihat silaturahim, kemesraan yang terpancar menerusi dua generasi iaitu muda dan tua. Ini dibuktikan menerusi keanggotaan semuda usia 15 tahun hingga kepada 75 tahun.

"Melihat ukhuwah yang terbina bagaikan anak-beranak umpama seperti satu keluarga besar yang penuh dengan nilai-nilai kasih sayang, kerjasama dan keceriaan, di situ nampak kekuatan Sukarelawan Al-Falah berbanding pasukan beruniform yang lain.

"Malah kami turut menerima keanggotaan daripada ahli bukan Islam, sungguhpun peratus mereka masih agak kecil," katanya.

Menurut Mohammad Noor, ini bertepatan kehendak Islam yang tidak mahu melihat kebaikan itu dari satu sudut yang kecil. Bagi mereka, setiap orang itu ada potensi masing-masing adalah menjadi pegangan pasukan.

"Malah program Kembara Dakwah Kebangsaan yang dilaksanakan awal tahun ini boleh dikatakan majoritinya disertai golongan remaja.

"Hasilnya, sedikit sebanyak membuka mata masyarakat luar bahawa golongan sebegini sebenarnya perlu dan harus didekati.

" Sebenarnya, di sebalik kenakalan dan penampilan bebas mereka itu, ada terselit nilai yang positif," kata beliau.

Menurut Mohammad Noor, Sukarelawan Al-Falah telah diasingkan daripada pentadbiran Yadim bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai sebuah pasukan sukarela. Kini, ia diletakkan di bawah Majlis Suruhanjaya Sukarelawan Al-Falah.

Sejajar dengan perubahan tersebut, Mohammad Noor berkata, pejabat pentadbiran berpindah ke Jalan Rahmat melalui Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Kalau sebelum ini, dana diperoleh daripada Yadim tetapi sekarang Sukarelawan Al-Falah perlu mencari dana mereka sendiri," jelasnya.

Langkah pertama yang sedang giat dilakukan adalah mengemaskini pangkalan data, mewujudkan pasukan bantuan kecemasan dan seterusnya, mendapatkan tanah atau bangunan pejabat sendiri.

"Pun begitu fokus kami masih kepada pemantapan pasukan ini iaitu dengan tumpuan kepada pengukuhan anggota dan pasukan, penglibatan golongan remaja, penyatuan anggota lama dan baru, penglibatan golongan profesional, menyusun pasukan di setiap negeri dan memantapkan jaringan pasukan," ujar Mohammad Noor yang sedang merancang satu program pertemuan semula (reunion) kesemua anggota pasukan Sukarelawan Al-Falah.

Jelas beliau lagi, langkah sedemikian perlu memandangkan ada di kalangan anggota ini yang telah menerima latihan, tetapi terputus hubungan atas sebab-sebab seperti menyambung pengajian ke peringkat menara gading atau setelah berkahwin.

Oleh itu, mereka inilah yang perlu dicari agar kembali aktif supaya melahirkan sebuah pasukan yang mempunyai kesinambungan golongan belia kepada golongan dewasa.

Akui Mohammad Noor lagi, pihaknya tidak menghadapi masalah komitmen daripada golongan dewasa yang majoriti mereka adalah pesara.

Sayangnya, golongan belia dan beliawanis yang kaya tenaga dan kebolehan inilah yang turut diperlukan bagi memperkasakan Sukarelawan Al-Falah.

Malah tidak dinafikan, 60 peratus keanggotaannya adalah golongan remaja namun penggerak pasukan ini masih diterajui oleh golongan dewasa. Oleh itu, satu usaha bagi mencari pelapis muda sebagai penggerak sedang dicari mekanismenya demi melahirkan sukarelawan Al-Falah yang terlatih, berwibawa dan disegani.

"Sekiranya perkara seperti ini serta pencarian dana tidak ditangani segera secara berhikmah, dibimbangi saranan agar Sukarelawan Al-Falah maju atas tiket sukarelawan Islam serta demi mengisi kelompangan penglibatan di peringkat antarabangsa tidak dapat direalisasikan serta terlaksana.

"Kita tidak mahu peristiwa di mana sukarelawan dari badan-badan dakwah Islam sentiasa terkebelakang dalam segala usaha gerakan dakwah jika dibandingkan dengan badan bukan Islam berlaku lagi.

"Lihat sahaja apa yang berlaku ketika dunia dikejutkan dengan peristiwa ombak besar tsunami di Aceh.

"Kita boleh melihat betapa gerakan dakwah bukan Islam begitu aktif membantu mangsa ombak besar ini. Hendaknya kita mencontohi sikap mereka," jelas beliau.

Kata Mohammad Noor, setakat ini, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa pendakwah Islam ketinggalan berbanding pendakwah dari pertubuhan sukarelawan agama lain yang berada di barisan hadapan apabila bantuan mereka diperlukan untuk kepentingan umat Islam

"Gerakan dakwah yang bersifat profesional akan juga berupaya membawa lambang Islam secara khusus untuk menandingi pertubuhan-pertubuhan sukarelawan agama lain," tambahnya.

Marilah bersama Sukarelawan Al-Falah berbakti dan memperkasa ummah dengan bergelar anggotanya yang berdisiplin dan terlatih dalam pelbagai bidang ilmu.

No comments: