|
|
PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) terus melebarkan program dakwahnya. Kali ini melalui program kebajikan sosial di Perkampungan Ulu Simunjan, Perkampungan Sungai Buluh di Serian, Perkampungan Rayang dan Rodan di Pedawan, Kuching, Sarawak.
Aktiviti yang diadakan dengan kerjasama Harakah Islamiah (Hikmah) dan Perkim Cawangan Damansara Utama itu berlangsung pada 4 hingga 22 Jun 2009.
Program yang dinamakan 'Integrasi Sosial Bersama Masyarakat Kampung Pedalaman Sarawak' ini berjalan lancar. Ia juga menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat Orang Bidayuh dan Iban di kampung berkenaan.
Melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Kelab Perkim Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Kelab Perkim Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Foster Home Perkim dan juga dari Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Kampung Ulu Simunjan, Sungai Buluh, Rayang dan Rodan sendiri, banyak pengisian menarik berjaya diadakan sepanjang program.
Menurut Pengarah Program yang juga Ketua Unit Penyelarasan Perpaduan & Mubaligh Perkim, Nik Mohd. Nizam Mohd. Nasir, aktiviti itu pada dasarnya adalah untuk membawa imej Islam kepada masyarakat di pedalaman Sarawak melalui pendekatan perpaduan kaum dan keharmonian sosial.
"Melalui pelbagai bentuk kerja kemasyarakatan, pendidikan, amal kebajikan dan sosial yang boleh membawa kepada kesefahaman kemesraan, persahabatan dan persaudaraan bersama masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Ini supaya segala prejudis dan salah sangka terhadap Islam dapat terhapus dan kehadiran Islam dapat diterima secara baik," jelas beliau.
Aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep keluarga angkat. Seramai 75 pelajar Kelab Perkim IDIP, UDM dan Foster Home dijadikan anak angkat penduduk kampung.
Ia bertujuan mewujud dan menjalin hubungan serta kemesraan dengan keluarga angkat mereka untuk jangka masa panjang.
Selain bantuan dari aspek pembelajaran kepada adik-adik angkat, peserta juga diminta mempraktikkan sifat prihatin kepada keluarga angkat mereka dalam semua aspek termasuk kebersihan, gotong-royong, keceriaan, pendidikan, kesihatan dan keagamaan.
Sementara itu, Perkim menghadiahkan sebuah generator kepada penduduk kampung Rodan di Pedawan yang selama ini terpaksa bergelap ketika malam hari.
Ini kerana generator yang sedia ada telah rosak dan hanya menunggu sumbangan dari pihak-pihak tertentu.
Para peserta juga menimba pengalaman baru antaranya menikmati makanan tradisi masyarakat kampung seperti nasi buluh, paku-pakis dan rebung.
Majoriti penduduk di sini bekerja menanam padi bukit, mencari herba, kayu, berburu dan hasil kelapa sawit.
Pelbagai aktiviti lain turut diadakan. Antaranya, motivasi kanak-kanak dan remaja, pertandingan penghayatan Islam merangkumi kuiz, mengaji al-Quran, pertandingan azan, membaca puisi dan juga karaoke nasyid.
Pertandingan sukaneka, bolasepak, boling kelapa, bola tampar, lari dalam guni, belon air dan mencari gula-gula dalam tepung turut diadakan.
Majlis penutup program selama 20 hari itu dilakukan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.
No comments:
Post a Comment