Wednesday, August 19, 2009

Tijarah Ramadan galak jihad basmi kemiskinan

Tijarah Ramadan galak jihad basmi kemiskinan

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my


JAMIL KHIR dan Muhammad Ali (kiri) beramah mesra dengan penerima sumbangan Tabung Tijarah Ramadan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Johor Corporation lancar tabung permudah masyarakat hulur bantuan

TABUNG Tijarah Ramadan, Johor Corporation (JCorp) membelanjakan hampir RM800,000 bagi membantu rumah anak yatim, rumah orang tua, golongan orang kurang upaya dan miskin termasuk bukan Islam sejak ditubuhkan pada 2005. Dalam tempoh itu juga, tabung berkenaan mengumpul dana hampir RM1 juta hasil sumbangan orang ramai, agensi kerajaan, badan korporat termasuk penyumbang dari luar negara seperti Singapura dan Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meminta lebih banyak syarikat korporat dan usahawan memberi sumbangan kepada tabung itu yang digerakkan Johor Corporation bagi membantu kumpulan sasaran.

Katanya, Johor Corporation antara badan korporat boleh dijadikan contoh dalam usahanya membantu golongan kurang bernasib baik menerusi tabung berkenaan.

"Kerajaan amat mengalu-alukan syarikat besar tersenarai (di Bursa Malaysia) dan syarikat kecil mengambil sedikit keuntungan untuk membiayai tanggungjawab sosial membantu golongan tidak bernasib baik, sekali gus membantu kerajaan membasmi kemiskinan.

"Tanggungjawab sosial korporat juga amat penting dalam membantu mengubah kehidupan masyarakat tidak bernasib baik supaya mampu berdikari," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Tijarah Ramadan Musim Kelima di Kuala Lumpur, kelmarin.

Tijarah Ramadan diterbitkan Johor Corporation dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) disiarkan di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan selama setengah jam mulai jam 6 petang, bermula 22 Ogos ini.

Program itu memberi peluang kepada syarikat korporat atau organisasi perniagaan memaparkan kegiatan kebajikan mereka kepada golongan memerlukan bantuan dan pembelaan.

Tahun ini enam organisasi perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian dalam program Tijarah Ramadan. Agensi terbabit ialah Lembaga Tabung Haji, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Johor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Bulatan Mekar Sdn Bhd selain syarikat dalam kumpulan Johor Corporation.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim ketika berucap pada majlis itu, berkata siri Tijarah Ramadan yang disiarkan menerusi TV1 itu simbol kepada usaha warga korporat dan syarikat perniagaan yang mengambil berat terhadap golongan tidak bernasib baik.

Katanya, usaha Johor Corporation menerusi rancangan Tijarah Ramadan juga menjadi sebahagian usaha syarikat konglomerat itu melaksanakan jihad membasmi kemiskinan.

"Usaha ini amat dituntut Islam dan rancangan ini diharap dapat memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa badan korporat dan usahawan bukan saja bertanggungjawab terhadap perniagaan mereka, tetapi sentiasa mengambil berat untuk membantu golongan memerlukan.

"Sejak lima tahun lalu program ini disiarkan menerusi TV1, ia mula dikenali ramai yang menarik minat lebih banyak syarikat dan badan korporat untuk tampil melaksanakan tanggungjawab mereka membantu golongan tidak bernasib baik, sekali gus memperkasakan tuntutan Islam menerusi zakat dan sumbangan ikhlas mereka," katanya.

Sumbangan juga boleh diberikan kepada Tabung Tijarah Ramadan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip TIJARAH dan jarak dan jumlah derma RM2, RM5 dan RM10 ketika menonton Tijarah Ramadan dan hantarkan ke nombor 33321.

Orang ramai boleh memberi sumbangan melalui cek atau wang tunai kepada Tabung Tijarah Ramadhan - Yayasan Johor Corporation, nombor akaun Maybank: 55101-6301866. Sumbangan secara autodebit atau potongan juga boleh dibuat menerusi akaun di Bank Muamalat dan RHB Bank kepada tabung berkenaan.

No comments: