Thursday, August 27, 2009

Keindahan sebuah masjid berkonsep moden

Keindahan sebuah masjid berkonsep moden


Kemudahan tangga bergerak di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3.


TENTUNYA, masih ada yang tertanya-tanya atau tidak perasan mengenai kewujudan sebuah lagi masjid yang tersergam indah di tengah-tengah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Presint 3 berlatarkan keindahan Tasik Putrajaya.

Masjid yang diberi nama Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dulunya dikenali Masjid Bandaraya pada awal pembinaannya mungkin tidak lagi sesuai dengan gelaran itu berikutan statusnya kini bertaraf dunia.

Berkonsepkan kontemporari melalui reka bentuk moden, ia bakal muncul sebagai satu lagi mercu tanda di bandar raya itu.

Cetusan idea untuk membina sebuah masjid baru di Putrajaya telah wujud sejak dulu lagi seperti termaktub di dalam Pelan Induk Putrajaya yang diluluskan kerajaan. Di atas pelan tersebut, telah ada peruntukan dua kawasan untuk dibina masjid di Putrajaya.

Terletak dalam kawasan seluas 4.04 hektar yang dibahagikan kepada dua zon utama iaitu kompleks masjid dan Kiblat Walk, reka bentuknya tanpa dinding yang digantikan Skrin Mashrabiyah separa tertutup yang diperbuat daripada besi tahan karat pertama di Malaysia, bakal mengkagumkan setiap pengunjung yang datang.

Anyaman Mashrabiyah yang diimport khas dari Jerman itu merupakan skrin sama yang digunakan seperti stadium terkenal milik pasukan Real Madrid iaitu Stadium Bernabeu termasuk Perpustakaan Negara di Paris pada ruang meletak buku setinggi 20 tingkat dan sebuah ruang letak kereta di Barcelona.

Pengunjung juga pasti teruja apabila melalui Kiblat Walk yang menghubungkan Dataran Putrajaya dengan masjid itu. Kaligrafi nama-nama Allah di kiri dan kanan dinding 'Iwan Utama' serta diukir indah di ruangan laman 'Sahn' sebelum sampai ke ruang solat utama bagai menyambut kedatangan anda di pintu gerbang konkrit yang dibina menggunakan glass reinforce concrete (GRC).

Sebaik menjengah ke ruang solat utama, mata pasti terpaku melihat satu lagi keunikan masjid ini iaitu Dinding Mihrab. Tulisan ayat-ayat suci al-Quran dari surah al-Baqarah dan surah Ibrahim yang dilakar pada panel kaca diimport khas dari Jerman setinggi 13 meter itu pasti menarik perhatian seolah-olah tulisan tersebut terapung di udara.

Anda tidak perlu terkejut apabila tiada kipas atau penghawa dingin dipasang di ruang solat utama tetapi suasana damai dan nyaman masih dapat dirasai.

Suasana itu dapat dirasai kerana terdapatnya angin sejuk yang dihasilkan melalui dinding yang mempunyai saliran air daripada air kolam bertingkat mengelilingi bangunan. Saliran itu juga menembusi dinding telus cahaya dan penggunaan teknologi gas penyejukan udara menambahkan kedamaian.

Paras ketinggian siling di ruang solat utama sebanyak 30 meter dari aras lantai menambah lagi suasana kedamaian dan ketenangan.

Anda akan melihat binaan konkrit kolam bertingkat itu seolah-olah sebuah pulau atau kelihatan seperti mini air terjun yang melimpah terus ke dalam Tasik Putrajaya.

Nabi Muhammad SAW turut mengingatkan di sebalik janji Allah untuk menyediakan sebuah rumah di dalam syurga kepada sesiapa yang membina masjid untuk-Nya, tetapi di dunia akhir zaman ini ramai yang ingin berlumba-lumba membina masjid yang besar dan cantik, namun kosong tiada pengisian.

Sabda nabi SAW: "Tidak berlaku (terjadi) hari kiamat sehingga umatku bermegah-megah (dengan binaan) masjid". ( riwayat Abu Daud)

Harapan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Md. Ali Sarbini, 56, terhadap masjid ini amat tinggi.

Beliau tidak mahu masjid yang dibina begitu besar dan cantik menjadi kusam dan pudar kerana tiada 'sinar' yang menyinarinya.

Katanya, aktiviti pengimarahan yang diatur harus selari dengan penglibatan masyarakat agar usaha menjadikan masjid ini sebagai pusat sehenti masyarakat dan program pengantarabangsaan terlaksana.

''Saya amat mengharapkan masjid yang begini besar, mahal dan indah ini dapat menjadi pusat kegiatan masyarakat dan saya turut mengalu-alukan apa jua idea untuk dilaksanakan di masjid ini.

"Marilah kita sama-sama memakmurkan masjid ini tanpa mengira siapa kita dengan membuat pengisian seperti program jabatan atau kekeluargaan dan menganggap masjid ini masjid kita semua," jelas mantan Imam Masjid Negara ini.

Md. Ali dengan dibantu tiga pegawai kumpulan pengurusan profesional bertindak sebagai imam serta 31 kakitangan kumpulan sokongan, usaha memastikan masjid tersebut sebagai pusat kemasyarakatan, penyebaran ilmu, kebudayaan Islam, perpaduan ummah dan sumber kekuatan ekonomi umat Islam mampu direalisasikan, insya-Allah.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid ditepi jurang yang (hampir runtuh). (at-Taubah: 109)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, Sesiapa yang membina masjid, Allah SWT akan bina baginya sebuah rumah di dalam syurga. (riwayat Muslim).

Masjid yang bakal menjadi tarikan pelancong itu merupakan satu-satunya dibina menggunakan 70 peratus atau 6,000 tan besi keluli, manakala selebihnya adalah konkrit.

Batu batan hanya diguna untuk membina ruang letak kereta dan laluan pejalan kaki yang terletak bersebelahan dengan masjid.

Bagaimanapun, besi keluli hanya menjadi kerangka masjid kerana ia akan dikemaskan dengan material telus cahaya pada setiap tiang menggunakan sejenis bahan iaitu crystalized glass yang akan menyerlahkan masjid agar kelihatan berwarna putih bercahaya jika dilihat dari jauh.

Pada sebelah malam, simbahan cahaya lampu menambah keindahan masjid campuran kesenian Jerman dan China itu.

Kubah masjid pula diperbuat daripada besi tahan karat dan bahagian tepi bumbungnya sepanjang 13 meter pula mampu mengelakkan jemaah yang bersembahyang di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.

Percaya atau tidak, masjid yang bernilai RM203 juta yang mampu memuatkan seramai 20,000 jemaah pada satu-satu masa itu tidak menggunakan tenaga kepakaran dari luar.

Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. telah diberi mandat untuk menyediakan pelan pembinaan masjid ini diketuai Ir. Nik Arshad Nik Mohamed dan kontraktor Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) telah berjaya menyiapkan pembangunan masjid ini yang dibina sejak tahun 2004 berkonsepkan airy, light and transparent.

Mereka bertanggungjawab memastikan konsep reka bentuk tersebut dipenuhi supaya bangunan tidak nampak sangat besar melalui penggunaan struktur keluli itu di samping menitik beratkan aspek keselamatan.

Selain kompleks masjid yang berkapasiti 12,000 jemaah di dewan solat utama dan 8,000 di ruangan Sahn, ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain termasuk tiga unit kuarters dua tingkat, 10 unit kedai serta dewan serbaguna berkapasiti 250 orang.

Sistem audio visual terbaik juga dilengkapi bagi memastikan tiada sebarang masalah seperti pantulan bunyi berlaku ketika laungan azan, khutbah dan ceramah agama dijalankan.

Bilik jenazah, ruang pejabat, bilik kawalan televisyen dan radio serta 620 petak letak kereta dan 100 petak motosikal turut disediakan bagi kemudahan pengunjung jika tidak mahu berjalan kaki melalui jejantas yang menghubungkan terus ruang solat dengan Dataran Putrajaya, di hadapan Istana Keadilan dipanggil Kiblat Walk seluas 13,639 meter persegi.

Kawasan yang menghadap kiblat ini dihiasi dengan kolam air persis binaan seni bina berkonsep Islamik.

Masjid yang dibina bagi menampung keperluan kira-kira 24,000 kakitangan kerajaan di kawasan Presint 2, 3, 4 dan 5 serta 28,000 penduduk di masa hadapan, fungsinya tidak hanya terhad untuk menunaikan solat semata-mata.

Menurut Presiden Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman sehingga kini sejumlah 15 plot rumah kerajaan telah dibangunkan di Presint 2, 3 dan 4 melibatkan seramai 15,000 kakitangan kerajaan.

"Sejumlah 2,777 unit perumahan telah pun dibangunkan di Presint 18, sekali gus akan menampung penghuni seramai lebih 14,000 orang," jelasnya.

Oleh itu, peranan dan fungsinya akan diperluaskan dengan memberi tumpuan sebagai medan dakwah kepada para pelancong yang bakal dikunjungi dari serata pelosok dunia.

Ia dapat dilihat melalui statistik kunjungan pelancong terhadap sebuah lagi masjid cantik di Putrajaya iaitu Masjid Putra. Pada tahun lepas, seramai 565,048 pelancong dalam dan luar negara melawat ke Masjid Putra tanpa mengira mereka yang datang untuk solat.

Mengambil kira jumlah pelancong tersebut yang berminat mengunjungi rumah ibadat orang Islam itu, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang kini mengambil alih pengurusan masjid itu daripada Perbadanan Putrajaya mahu fungsinya berbeza dengan Masjid Putra.

Jakim dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mewujudkan persempadanan kariah antara Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan. Ia bertujuan memberi fokus dengan objektif dan kumpulan sasar masing-masing, selain 38 surau sedia ada sebagai sokongan peranan dua masjid itu.

Dengan memperjelaskan fungsi masjid itu, ia bakal melenyapkan suara-suara sumbang yang mempertikaikan kewujudan masjid ini sedangkan sudah ada Masjid Putra yang serba sempurna lagi menarik.

"Selain sebagai medan dakwah kepada pelancong, Jakim akan menetapkan fungsi lebih bersifat pengajian kepada program-program antarabangsa kepada pelajar institut pengajian tinggi, program kanak-kanak, perpustakaan serta bidang-bidang pengajian pengkhususan.

"Kursus pemandu pelancong akan disediakan dalam usaha membantu pelancong bukan Islam mengenali agama Islam sekali gus menerangkan kepada mereka tentang keindahan Islam," katanya.

Samsudin berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan projek pembinaan masjid itu daripada Perbadanan Putrajaya kepada Jakim, baru-baru ini.

Tanggal 21 Ogos 2009 bersamaan 30 Syaaban 1430 Hijrah, masjid agung ini kini dibuka kepada orang ramai dengan dimulakan sembahyang sunat tarawih yang diimamkan oleh imam jemputan dari Syria, Sheikh Rami Al-Badawi Al-Suri sempena bulan Ramadan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan masjid yang diberi nama sempena nama baginda dengan mengadakan sembahyang Jumaat pertama pada 4 September ini.

Menyedari hakikat itu, ciri-ciri pada seni bina masjid itu merupakan simbolik sebagai cermin yang mengingatkan kita kepada Pencipta, kerana setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah tanda yang mengingatkan kita kepada Maha Pencipta.

Jika pembinaan masjid ini disertakan dengan usaha pengimarahan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, pastinya harapan untuk melahirkan sebuah masyarakat Islam yang harmoni, bersatu padu, berilmu dan menghayati Islam secara realistik dapat dijayakan.

Walaupun ia bakal menjadi tumpuan diplomat dan pelancong dari seluruh dunia dan tempatan, umat Islam di negara ini wajar mengimarahkan masjid ini termasuk masjid-masjid lain agar tidak dibiarkan kosong atau menjadi salah satu lokasi pelancongan semata-mata.

No comments: