Friday, August 14, 2009

Istihadah tidak halang beribadat

Istihadah tidak halang beribadat


darah istihadah tidak menghalang kaum wanita beribadat kepada Allah.


SOALAN:
SAYA kini dalam menuju menopaus. Kedatangannya pada Julai ini hanya sebanyak dua atau tiga titisan sahaja pada setiap kali kedatangannya dan hanya sekali sahaja dalam satu hari itu.

Tarikh hari-harinya adalah 5, 9, 12, 13, 27 dan 30. Bagaimanakah pelaksanaan mandi hadas dan solat fardu yang sepatutnya saya laksanakan.

Jawapan:

ULAMA berselisih pendapat di dalam menetapkan umur terputusnya haid bagi seseorang wanita, namun bergantung kepada fizikal seseorang wanita itu.

Ulama Hanafiah berpendapat umur menopaus kebiasaannya pada usia 55 tahun. Jika selepas itu terdapat darah berwarna hitam atau merah atau kekuningan ia dianggap sebagai darah haid.

Ulama Maliki pula berpendapat, umur terputusnya haid adalah pada 70 tahun.

Manakala pendapat Imam Syafie tiada umur yang ditetapkan secara khusus selagi mana seseorang wanita itu hidup maka darah yang keluar dari rahimnya itu adalah haid. Namun umur kebiasaan putusnya haid bagi wanita sekitar 62 tahun.

Tempoh haid bagi seorang wanita mengikut jumhur fuqaha ialah 15 hari.

Mengikut pendapat Ulama Hanafi, tempoh paling singkat haid bagi wanita adalah tiga hari tiga malam, sekiranya kurang daripada tempoh itu, ia bukanlah darah haid bahkan adalah darah istihadah.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW dari Abi Umamah al-Bahili, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; tempoh yang paling singkat haid bagi hamba perempuan yang masih dara dan yang janda: selama tiga hari, dan paling lama 10 hari. (riwayat At-Tabrani, Ad-Dar Qutni jilid 1, Halaman 191).

Pendapat ulama Maliki, tiada tempoh yang paling pendek bagi haid dalam ibadah. Paling sedikit ialah setitis. Maka ia dikira sedang haid, apabila berhenti, wajib padanya bersuci dan meneruskan ibadah, sekiranya berpuasa, maka batal puasa pada hari tersebut walaupun setitis darah.

Pendapat Imam as-Syafie dan Hanbali, tempoh paling pendek bagi haid ialah sehari semalam (24 jam).

Mengikut imam Syafie, sekiranya darah kelihatan kurang daripada sehari semalam, maka ia adalah darah istihadah dan bukan darah haid.

Berdasarkan kepada persoalan puan, menurut pendapat Imam Syafie darah yang keluar adalah darah istihadah bukan darah haid.

Titisan darah yang keluar bukan darah haid malahan darah istihadah. Sekiranya darah itu dihukum sebagai darah istihadah mengikut pandangan Syafieyah tidak menghalang puan dari melakukan ibadah fardu dan sunat.

Maksudnya, darah yang keluar itu adalah darah sakit, maka ibadat fardu tidak terhalang. Darah istihadah tidak perlu mandi hadas. Puan perlu dibersihkan darah tersebut dengan menghilangkan darah tersebut.

Ini kerana darah yang keluar tidak tetap, berselang di antara beberapa hari, maka ia adalah darah istihadah.

Jika begitu keadaannya, ibadat yang tertinggal kerana menyangka darah setitis dua sebagai haid hendaklah diqada.

Sekiranya puan tidak pasti dan khuatir darah istihadah keluar ketika solat maka hendaklah memakai tuala wanita, biarpun setitis dua sahaja yang keluar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. (al-Baqarah: 222)

No comments: