Ahli Sunnah Waljamaah perbetul penyelewengan pemikiran Islam
Oleh Jami’ah Shukri
bhnews@bharian.com.my
PERCANGGAHAN pendapat, pandangan sehingga sesetengahnya membawa kepada penyelewengan Islam berlaku sebaik saja selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 10 Hijrah. Selepas kewafatan Baginda, muncul nabi palsu dan kumpulan yang ingkar mematuhi pembayaran zakat, namun begitu, ajaran Nabi yang kemudian disambung sahabat dan tabiin masih mengekalkan kaedah diamalkan Baginda berdasarkan al-Quran dan hadis.
Islam yang terus berkembang bermula dari Madinah sehingga Sepanyol dan Afrika di Barat, ke utara sehingga ke Balkan dan timur sehingga sempadan China-India menyaksikan perubahan yang ketara dalam pemikiran Islam berikutan kemasukan falsafah asing yang diterjemahkan terutama pada zaman keagungan zaman khalifah Abassiah, Al Maamun.
Berikutan kemasukan falsafah Yunani dan Greek Tua dan Parsi ini yang mempengaruhi pemikiran segelintir ulama dan cerdik pandai Islam, menyebabkan berlaku penyelewengan termasuk akidah dan fahaman Islam. Pada masa sama, masih ada ulama mempertahankan pegangan dibawa Rasulullah, sahabat dan tabiin lain, yang dikenali Ahli Sunnah Waljamaah dipelopori imam empat dan mazhab serta sealiran dengannya.
Kemunculan fahaman Mutazillah pada pemerintahan khalifah Abbasiyah cukup memberi tentangan hebat kepada pendukung, Ahli Sunnah Waljamaah, namun akhirnya kebenaran jelas berpihak kepada Ahli Sunnah Waljamaah yang kemudian berjaya mengembalikan pegangan diajar Rasullullah.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata perpecahan kalangan umat Islam itu semakin ketara dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pada masa kini yang menjadikan ia sebagai dakwah politik atas keinginan untuk membolot kuasa sehingga menggugur nilai moral.
Katanya, apa yang penting seseorang itu sewajarnya kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang menjadi kalam Allah.
“Dari segi sejarahnya, perselisihan pandangan itu sudah wujud sejak berkurun lamanya. Kehadiran Ahli Sunnah Waljamaah mewarisi kaedah serta keyakinan terhadap agama dengan memahami al-Quran daripada Nabi Muhammad SAW,” katanya yang menjadi panel pada majlis Wacana Ilmu anjuran Berita Harian dengan kerjasama Yadim, di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam.
Wacana Ilmu yang bertajuk Ahli Sunnah Waljamaah itu dipengerusikan oleh Eksekutif Perkhidmatan Sumber Manusia dan Kebajikan Pekerja dan Agama Ustaz Zamanuddin Yusof. Selain Mohd Nakhaie, seorang lagi panel, ialah Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady.
Wacana Ilmu yang diadakan untuk kali pertama itu akan diadakan secara berterusan dan diperluaskan ke lokasi lain meliputi institusi pengajian tinggi awam tempatan dan organisasi kerajaan.
Mohd Nakhaie berkata, ahli sunnah menerima gelaran kerana mereka menerima dan beramal dengan sunnah Rasulullah, manakala dinamakan al-Jamaah adalah kerana mereka berkumpul di atas kebenaran dan bersatu berjihad melaksanakan amal makruf, menentang kemungkaran, menghidupkan sunnah serta menentang perkara bidaah.
“Fahaman Mutazillah pada awalnya tidak bercanggah, namun selepas mereka menguasai ilmu dan falsafah, mereka mula menyeleweng termasuk berdebat mengenai al-Quran termasuk menyatakan al-Quran sebagai makhluk, sehingga menimbulkan perpecahan di dalam masyarakat Islam pada waktu itu. Namun, kekuatan hujah terutama dibawa ulama termasuk pendukung mazhab Ahmad Hambali dan Abu Hassan Alshaari yang berjaya membetulkan fahaman dengan menyatakan al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk seperti yang difahami sebelum ini,” katanya.
Mohd Nakhaie turut mengaitkan kemunculan aliran Syiah yang pada asasnya mempertikaikan tindakan khalifah pertama Islam, Abu Bakar yang didakwa berkonspirasi sehingga menyebabkan jawatan itu gagal disandang Saidina Ali yang dianggap kumpulan Syiah sebagai pewaris yang hak untuk jawatan berkenaan.
Sementara itu, Dr Muhammad Uthman el-Muhammady, berkata ulama Melayu di Nusantara turut berpegang teguh kepada aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah sejak sekian lama.
“Malah Nurudin Alraniri, yang terkenal pada zaman Melayu Aceh turut berpegang kepada Ahli Sunnah Waljamaah, begitu juga Syeikh Daud Patani dalam bukunya, adalah pengembang aliran berkenaan di Tanah Melayu dan Patani.
“Sejarah menunjukkan masyarakat Islam di rantau Melayu berpegang teguh kepada aliran berkenaan baik dari segi tauhid, fekah dan tasawuf,” katanya.
Malang katanya, sejak kebelakangan ini, aliran selain Ahli Sunnah mula menyerang masyarakat Islam di Malaysia, baik Syiah, Wahabi, Islam Liberal selain ajaran sesat menyebabkan sebahagian masyarakat terpengaruh.
“Ramai yang mempertikaikan kita menggunakan kitab lama, kononnya tidak moden yang lebih menggerakkan masyarakat kepada aliran Islam liberal. Kita bimbang sekiranya, masyarakat tidak didedahkan dengan fahaman betul mengenai Ahli Sunnah yang menjadi pegangan Majlis Agama Negeri dan Fatwa Kebangsaan, kita akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment