Amalan dengan niat menunjuk-nunjuk hanya undang kerugian
Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir
APA saja pekerjaan yang kita lakukan bermula dengan niat. Kita tak akan melakukan sesuatu perkara itu jika tak ada niat. Adanya niat membuatkan kita tergerak hati memulakan atau melakukan sesuatu namun berjaya atau tidak mencapai maksud, bergantung kepada kesungguhan hati.
Al-Jauhari dalam kitab Ash-Shihah mencatatkan makna niat adalah azam atau keinginan kuat. Al-Khithabi pula berpendapat niat adalah tujuan yang kita inginkan kepada suatu hal dan bagi pengarang Tafsir, al-Baidhawi, niat adalah dorongan bagi hati terhadap apa saja yang dia anggap sesuai dengan tujuan diinginkan.
Dalam Islam, niat adalah perkara penting kerana apa saja pekerjaan yang dilakukan oleh umatnya hendaklah dengan niat dan niat itu ikhlas semata-mata kerana Allah. Jika dilakukan tanpa keikhlasan suatu amal tidak akan mendapat keredaan dari sisi Allah.
Ucapan Nabi Sulaiman dalam al-Quran: “Ya, Tuhanku, jadikanlah aku untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang tuaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku pada golongan hamba-Mu yang salih.” (Surah an-Naml, ayat 19)
Ikhlas adalah syarat diterimanya amal ibadah seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah diperintahkan mereka, melainkan supaya mereka beribadat kepada Allah, seraya mengikhlaskan taatnya kepada Allah, lagi condong kepada kebenaran.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menerima amalan, melainkan amalan ikhlas dan yang kerana untuk mencari keredaan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Menurut pendakwah dan ulama terkenal Dr Yusuf al-Qardhawi, keikhlasan tidak akan wujud kecuali bila dilandaskan niat tulus, lepas daripada motivasi lain supaya semata-mata ditujukan kerana Allah dan bebas daripada pelbagai kepentingan peribadi dan motif duniawi.
Allah melihat amal ibadah hamba-Nya di dunia ini dengan melihat niat hamba itu dulu, sama ada ia dilakukan secara ikhlas atau tidak. Allah tidak akan memberi pahala kepada orang yang tidak ikhlas dalam amalannya.
Tambah rugi jika amal ibadah yang dikerjakan itu dengan niat menunjuk-nunjuk kepada orang lain yang dia kononnya orang alim atau kuat beragama.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk tubuh kalian, tidak pula paras rupa kalian, tetapi Dia melihat ke dalam kalbu (hati) kalian.” (Hadis riwayat Muslim)
Walaupun setiap pekerjaan atau amalan itu bermula dengan niat dalam hati, tidak semua niat itu baik. Ada antara kita yang membuat pekerjaan atau amalan itu atas niat tidak baik, seperti orang yang hendak mencuri atau meragut.
Allah akan memberi pahala kepada orang berniat membuat apa saja pekerjaan yang mendatangkan kebaikan. Allah tetap memberi pahala walaupun kemudian dia tidak dapat melakukan pekerjaan itu atas sebab-sebab tertentu.
Begitulah pula mereka yang melakukan kejahatan tetap dapat dosa, tidak kira kecil besar kejahatan yang dilakukan itu. Namun mereka yang pada awalnya berniat ingin melakukan kejahatan tapi tidak jadi melakukannya, Allah tidak memberi mereka pahala, malah Allah mengampuni dosa mereka.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampuni apa saja yang terbersih di dalam hati, yang belum dilakukan dalam perbuatan nyata, atau yang sekadar dibicarakan saja.”
Menurut ulama terkenal Muhammad al-Ghazali, Islam menaruh perhatiannya terhadap niat atau perasaan yang menyertai amal perbuatan manusia. Kerana nilai amal manusia pada hakikatnya kembali kepada si pemiliknya dan bergantung kepada niatnya.
Sambung Muhammad al-Ghazali, “Niat benar dan hati ikhlas, kedua-duanya kelihatan seperti amal duniawi biasa. Tetapi niat dan keikhlasannya itu menjadikan amalnya sebagai ibadah yang diterima.”
Demikian pula niat yang buruk, membawa amal ibadah murni terseret ke bawah, bahkan sampai ke lembah maksiat yang hina. Jika demikian, seseorang tidak mendapat apa-apa daripada amalnya, kecuali kegagalan dan kerugian.
Daripada Saad bin Abi Waqas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya belanja yang engkau berikan semata-mata kerana Allah, nescaya engkau diberi pahala kerananya bahkan apa yang engkau berikan untuk makan isterimu akan dibalas oleh Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jelas dan nyata setiap niat baik dan ikhlas akan memberi kebaikan luas kepada pemiliknya. Sedang niat yang tidak ikhlas, sekali pun bentuknya sama dengan amal salih tetapi menjurus menjadi maksiat yang mendatangkan akibat buruk.
Firman Allah yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang salih, (iaitu) orang yang lalai daripada solatnya, orang yang berbuat riak dan enggan (menolong dengan) barang berguna.” (Surah al-Ma’un, ayat 4-7)
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Berlaku ikhlaslah kamu dalam beragama, maka amal sedikit pun mencukupkan kamu.” (Hadis riwayat al-Hakim)
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment