|
|
PELBAGAI kejadian jenayah baru-baru ini yang dikaitkan dengan mereka yang dikatakan 'Mat Rempit' telah menyebabkan pihak berkuasa menggandakan usaha menangani gejala mat rempit ini.
Gejala tersebut, berdasarkan tangkapan yang dibuat, melibatkan ramai remaja Melayu lelaki yang beragama Islam. Adalah amat sedih apabila mengetahui situasi ini yang menggambarkan realiti sebenar permasalahan generasi muda Muslim kita.
Gejala mat rempit kini bukan sekadar aksi tunggangan ekstrem di jalanan tetapi turut mengalami evolusi budaya yang turut merangkumi aspek penampilan seperti cara berpakaian, pertuturan serta pergaulan dan juga aspek dalaman yakni idealisme, kecenderungan serta nilai hidup.
Aktiviti mat rempit juga bukan sekadar dikaitkan dengan kesalahan trafik malahan kesalahan jenayah umpamanya penyalahgunaan dadah, merompak, meragut dan sebagainya serta ketirisan akhlak seperti pergaulan bebas.
Tentunya tidak adil untuk umum melabelkan semua mat rempit bersikap sedemikian rupa kerana ada sesetengahnya memang sekadar melibatkan diri dalam aktiviti bermotosikal tanpa sebarang unsur jenayah atau isu moral.
Namun pelbagai stigma negatif yang terpalit pada para mat rempit seakan tidak dapat dipadamkan daripada persepsi masyarakat kerana kerapnya berlaku insiden jenayah dan tidak bermoral yang melibatkan golongan bermotosikal.
Dan persepsi sedemikian diperkukuhkan lagi apabila masyarakat mengalami sendiri insiden yang tidak diingini yang melibatkan golongan tersebut, apatah lagi jika ada kaum keluarga sendiri yang berkecenderungan sedemikian.
Ia seakan kelihatan sebagai satu wabak virus sosial yang semakin merebak di kalangan golongan belia di negara kita khususnya remaja Melayu. Dan wabak ini perlu ditangani sebelum ia menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara.
Operasi "merawat"
Operasi penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa terutamanya polis sememangnya perlu dalam menangani gejala ini daripada menjadi belenggu yang mencetuskan ketidaktenteraman dalam masyarakat.
Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan saman, penjara, atau kenderaan disita berdasarkan kesalahan yang dilakukan. Usaha sedemikian dapat dilihat sebagai satu kaedah pendidikan menggunakan hukuman sebagai pengajaran buat yang tertangkap dan mereka yang lain.
Walaubagaimanapun, selain pendekatan hukuman, kita juga perlu melihat kepada kaedah lain yang mampu menyelesaikan gejala sedemikian dengan mengambil kira akar puncanya.
Sebagaimana konsep pengubatan dalam Islam, yakni mencegah itu lebih baik daripada mengubati, pendekatan yang diambil perlu berhasil membina ketahanan iman dan ilmu yang kukuh agar tidak terjebak dengan apa jua pengaruh negatif yang timbul dewasa ini.
Ironinya, media pula mengagungagungkan budaya mat rempit dengan menyiarkan sisi kehidupan golongan tersebut. Natijahnya hal ini mungkin menjadikannya satu budaya popular di kalangan remaja. Jelasnya gejala mat rempit merupakan realiti masyarakat yang tidak perlu disebarkan.
Sistem pendidikan
Faktor pembentukan gejala sosial seperti mat rempit juga boleh dilihat dari aspek pencapaian sistem pendidikan di negara kita. Adakah sistem pendidikan kita mempunyai kelemahan sehinggakan terdapat banyak modal insan yang dididik terjerumus ke dalam kemelut sosial?
Persoalan tersebut perlu ditelusuri secara objektif dan ikhlas demi kebaikan generasi muda. Soal ego dan kepentingan diri perlu ditolak dalam menjawab persoalan tersebut.
Sebagai contoh, berkemungkinan sistem pendidikan negara masa kini terlalu berlandaskan peperiksaan iaitu penerapan konsep ilmu oleh guru diikuti pengulangan konsep ilmu tersebut oleh murid. Kemudiannya, proses penilaian banyak berlaku secara di atas kertas iaitu peperiksaan bertulis.
Teknik pengajaran di dalam kelas pula lebih mengaplikasikan gaya belajar yang bersifat auditori dan visual, yang mungkin lebih mudah diadaptasikan oleh pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki yang lebih cenderung kepada gaya belajar kinestatik atau berbentuk amali.
Implikasinya, kedapatan lebih ramai pelajar lelaki yang keciciran, iaitu tidak dapat menyerap sepenuhnya proses perkembangan ilmu di dalam kelas dan seterusnya kurang cemerlang dalam peperiksaan. Keadaan sedemikian berpotensi menyebabkan mereka kehilangan arah kehidupan andainya tidak terus dibimbing sebaiknya.
Tambahan pula, adakah integrasi konsep pendidikan Islam atau moral (bagi bukan Islam) secara teori dan amali turut diberikan penekanan secukupnya dalam pembelajaran di sekolah? Hal ini memerlukan kita meneliti kembali sukatan serta kaedah pengajaran yang digariskan untuk para pelajar kita.
Mengapa remaja Melayu?
Persoalan kedua ialah, adakah benar gejala ini lebih menular di kalangan remaja Melayu berbanding kaum lain di negara kita? Jika benar, mengapakah hal ini berlaku sedemikian? Jawapan kepada persoalan tersebut mungkin boleh dikaji berdasarkan kepada faktor sosio ekonomi dan demografik kaum-kaum di negara kita.
Secara umum, penglibatan masyarakat bukan Melayu dalam perniagaan memungkinkan golongan muda mereka turut terlibat secara langsung dalam perniagaan keluarga di samping menelusuri lapangan akademik melalui persekolahan.
Situasi ini mendedahkan mereka kepada kegiatan berniaga yang menuntut mereka kepada pengiraan untung rugi serta perencanaan terhadap kelangsungan perniagaan untuk masa depan. Praktis sedemikian merupakan satu pendidikan berbentuk kinestetik atau amali dalam kehidupan mereka.
Justeru bagi yang cenderung dalam akademik, usaha mereka akan ditumpukan kepada kecemerlangan pelajaran. Manakala bagi yang lebih cenderung ke arah bidang bukan akademik, mereka berkeupayaan untuk meneruskan perniagaan keluarga jika ada minat ataupun membuka perniagaan baru berdasarkan pengalaman berniaga dimiliki.
Manakala bagi remaja Melayu pula, wadah pendidikan yang ada mungkin terhad kepada persekolahan semata-mata. Oleh itu, sekiranya tercicir, hal ini menyebabkan remaja tercari-cari alternatif lain untuk mencurahkan bakat, minat dan tenaga mereka.
Lalu, apa yang dimiliki di depan mata itulah lebih mudah menjadi medan perencanaan bakat dan kehebatan mereka. Tidak lain tidak bukan itulah motosikal. Motosikal, dengan harga yang mampu dimiliki oleh kebanyakan keluarga Melayu, memungkinkan ramai remaja memilikinya sendiri atau melalui milik keluarga.
Dengan motosikal yang dimiliki itulah remaja memanifestasikan keupayaan fizikal mereka dengan membuat aksi ekstrem, dan kepintaran teknikal iaitu dengan mengubahsuai motosikal untuk menjadi jentera pemanduan yang lebih laju.
Dua pendapat di atas hanyalah merupakan hipotesis untuk menjelaskan faktor pembentukan gejala mat rempit yang masih perlu dibuktikan sama ada secara kualitatif mahupun kuantitatif. Malah mungkin ada pendapat lain yang lebih baik serta faktor lain yang perlu diambil kira untuk menjelaskan isu ini.
Bagaimana dengan negara lain? Kajian sosiologi yang merujuk kepada perbandingan budaya remaja antara kaum di negara kita dan di negara-negara lain juga boleh dilaksanakan demi memperoleh faedah berbanding.
Antara persoalan yang boleh dijadikan objektif kajian ialah adakah gejala sedemikian turut berlaku di negara-negara lain? Apakah puncanya? Jika ada, bagaimanakah pihak berkuasa di sana berusaha mengatasinya?
Dengan hasil kajian yang diperoleh, pihak berkaitan boleh merangka strategi yang lebih baik serta mengadakan usaha kerjasama yang menggabungkan kepakaran masing-masing dalam usaha menangani gejala mat rempit ini secara lebih berkesan.
No comments:
Post a Comment