Solat asas utama hindari remaja terjebak maksiat
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
GEJALA sosial yang tidak pernah surut menggerunkan sesiapa saja dan pelbagai program diatur dalam usaha memastikan generasi muda berada di atas landasan hidup yang benar serta menjadi insan yang berguna.
Sebenarnya apa yang berlaku pada anak bergantung kuat kepada didikan diberikan kedua-dua ibu bapa kerana di rumah bermula titik tolak landskap penghidupan anak untuk menentukan corak dilalui semasa alam remaja serta dewasa.
Justeru, kita perlu melihat panduan Nabi SAW melayari bahtera rumah tangga kerana segala apa yang dilakukan dan berlaku dalam rumah tangga Baginda adalah pedoman terbaik untuk umat Islam melangkaui zaman apa sekalipun.
Jika diteliti secara mendalam perjalanan sejarah rumah tangga Nabi SAW, memang terpapar banyak elemen pendidikan suci dan luhur untuk dijadikan ikutan. Di sini disentuh satu aspek sangat relevan dengan apa terjadi pada anak remaja belia masa kini yang terjebak dengan gejala negatif.
Nabi SAW mendidik isteri dan anak dalam soal solat saja. Solat adalah pembentukan dan pengasuhan hati budi yang mempengaruhi perwatakan anak. Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mendirikan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar mengerjakannya.” (Surah Toha, ayat 132)
Kaitan anak remaja dengan solat ialah, solat jika dididik dalam ruang lingkup yang baik dan penuh berhemah ketika anak masih kecil akan menyerap unsur nilai serta ketaatan kepada perintah agama secara berkesan .
Apabila menunaikan solat sudah sebati dan menjadi amalan wajib dalam diri anak, fokus fikir serta kekuatan daya tahan hati mereka sukar untuk ditembusi anasir negatif. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Jelaslah, solat yang diasuh secara rapi dan penuh bermakna pasti akan meninggalkan kesan mendalam kepada perwatakan sahsiah anak. Disebabkan itu anak perlu dididik menunaikan solat sedari kecil lagi.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu mendirikan solat pada ketika usia mereka tujuh tahun, jika mereka masih belum melaksanakannya pada usia 10 tahun, maka pukullah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu daud).
Pentingnya ibu bapa membimbing anak supaya menunaikan sembahyang sejak kecil dan pendidikan itu dilakukan secara berperingkat. Tugas itu juga tidak boleh diserahkan kepada pihak lain dengan mengharapkan guru di sekolah untuk mendidik anak menunaikan solat.
Imam Ibnu Taimiyah berkata: “Sesiapa yang memiliki anak, hamba atau anak yatim, sedang dia tidak menyuruh mereka mendirikan solat, maka orang dewasa yang lebih tua akan diseksa oleh Allah jika tidak menyuruh yang lebih muda usianya mendirikan solat. Orang yang lebih dewasa hendaklah dihukum takzir (denda) yang sewajarnya kerana menderhaka perintah Allah dan Rasul.”
Begitulah pendapat Ibnu Taimiyah yang melihat kepentingan ibu bapa mendidik anak supaya menunaikan solat. Apa guna kita memberikan pendidikan akademik meninggi langit tetapi mereka membesar dalam situasi yang tidak kenal perintah agama seperti solat itu.
Biar didikan solat menjadi agenda utama dalam pendidikan anak kerana sebagai pemegang amanah, ibu bapa akan ditanya apakah mereka sudah memenuhi tanggungjawab termasuk mendidik anak supaya tidak tinggalkan kewajipan menunaikan solat.
Suruhan agama mendirikan solat itu mempunyai hikmah bersesuaian meliputi semua masa dan zaman. Ibu bapa sewajarnya mendidik anak menjadi seorang insan yang soleh, taat kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahnya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin adalah bertanggungjawab kepada orang yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat An-Nasai)
Anak yang membesar dalam suasana kehidupan beragama akan menjadi insan yang mengawal diri walaupun ketika mereka remaja atau dewasa nanti.
Jiwa dan hati anak akan disaluti iman yang mantap di samping memiliki keindahan akal budi. Secara tidak langsung ibu bapa tentu akan gembira apabila anak mereka hidup dalam persekitaran yang murni.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment