Bersama Prof Dr Sidek Baba
KONSEP bangsa teras harus sinonim dengan konsep umat Melayu. Melayu sebagai suatu bangsa adalah fitrah suatu kejadian. Tetapi apabila bangsa itu ditindikkan dengan Islam dan tamadunnya ia menjadi alamiah.
Bangsa itu menjadi sebahagian daripada umat yang besar. Ia tidak saja berkembang dalam batas setempat, tetapi melakukan refleksi mengenai kejayaan silam umat Islam dalam membangun tamadun umat manusia.
Sejarah keilmuwan Barat suatu ketika dulu menjadikan Andalusia dan Cordova sebagai sumber rujukan untuk memperkasa tamadunnya.
Mereka menterjemah kitab besar dalam bidang matematik, perubatan, sains, astronomi, teknologi, falsafah ke dalam bahasa Latin dan Ibrani dan menjadikan ilmu yang diolah dalam kreativiti cemerlang saintis Islam sebagai kurikulum pengajian di Barat berabad lamanya.
Hari ini kita menjadi pengguna kepada kekuatan tamadun Barat dan ada kebimbangan jika bangsa Melayu tidak memiliki kemampuan membina acuan sendiri yang menjadi teras acuan Malaysia, cabaran lebih besar akan menunggu.
Status Bahasa Malaysia, kedudukan Islam dalam negara, hak istimewa orang Melayu, pertikaian hal perundangan sivil dan syariah, kealpaan sesetengah orang terhadap kontrak sosial, kelupaan bangsa teras terhadap amanah kepemimpinan, ekuiti atau pegangan yang relatif kecil, kes rasuah dan salah guna kuasa semakin ketara, kerosakan moral di kalangan generasi penerus, petanda terhakis sistem kekeluargaan adalah antara cabaran yang perlu dihadapi.
Umat Melayu yang didukung nilai amanah, adil, bijaksana, strategik, mengutamakan merit yang disandarkan kepada prinsip dan amal Islami bakal menjadikan bangsa teras memiliki wibawa.
Daripada nilai itu, urus tadbir negara dan sistem yang boleh diharapkan, peribadi yang memimpin dan dipimpin melihat kepemimpinan dan pengikut sebagai suatu amanah dan darinya bangsa lain akan rasa selesa untuk bernaung.
Oleh itu, asas perjuangan memperkasa bangsa, agama dan negara adalah suatu ungkapan keramat yang meminta diisi, disempurnakan secara bijak serta berani supaya faktor teras dalam masyarakat tetap dapat dipertahankan, dikuasai khususnya dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
Ia tidak bermakna hak warga Malaysia yang lain dinafikan. Demokrasi dalam pendidikan, ekonomi, prasarana dan sosial harus memberi asas kukuh bahawa warga negara Malaysia mempunyai tempat yang wajar, seimbang dan sifatnya saling kukuh-mengukuh.
Jika bangsa teras diberi peluang terbabit dalam ekonomi dan keusahawanan, anggaplah ia suatu ’jihad’ besar memperkasa bangsa supaya ketidakseimbangan dapat diperbetulkan.
Jika amanah ini tidak disempurnakan dengan bijak dan penuh persiapan, kebimbangan bangsa teras bakal terpinggir adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Membangun bangsa dengan menjadikan Islam sebagai faktor penting boleh membangunkan negara ke arah kecemerlangan. Membangunkan bangsa dengan melupakan agama mendedahkan bangsa teras dengan ketirisan amanah, akhlak dan akhirnya kekuatan dalaman yang memancar daya juang tidak lagi wujud.
Bank Islam, Takaful, model kewangan Islam dan pengeluaran barang halal adalah contoh terbaik bagaimana ia dapat diterima warga bukan Islam. Tetapi sudah ada kecenderungan di kalangan bukan Islam sedang menguasai bidang kegiatan dan institusi itu.
Bangsa teras harus menganggap ia suatu cabaran positif bagaimana akhirnya kualiti diri dan daya saing diperlukan supaya imej teras sentiasa kukuh dan teguh. Proses integrasi bangsa juga mendukung adanya dialog budaya, tradisi dan tamadun di kalangan bangsa yang ada di Malaysia.
Banyak faktor yang menunjangi budaya, tradisi dan tamadun orang Melayu tegak atas asas agama dan nilai murni. Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan tetapi adalah suatu cara hidup. Sejarah silam menampilkan Islam sebagai suatu tamadun dan memberi manfaat ilmu kepada Barat dan Timur.
Oleh itu, dialog peradaban bakal memperkukuh bangsa teras dan dalam masa sama ada kesediaan mempelajari tamadun dan budaya lain meningkatkan lagi pemahaman terhadap silang-budaya.
Semakin kukuh bangsa teras dengan faktor Islamnya, maka semakin teguh amalan baik yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
Menjadi Melayu dengan nilai Islam yang baik akan memberi kesan positif kepada bukan Melayu. Umpamanya, Melayu sebagai bangsa teras terbabit dalam kepemimpinan dan pengurusan negara. Jika kualiti amanah, adil, jujur, timbang rasa, ikhlas, telus dan tulus menjadi amalan utama dalam kepemimpinan dan pengurusan, ia tidak saja memberi kesan baik kepada bangsa Melayu dan negara tetapi juga kepada bukan Melayu.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment