Oleh Mohd NoorAizan Md Idrus
RAMAI di kalangan umat Islam sekarang ini sudah mula mempraktikkan pemberian hibah kepada orang tersayang sama ada ahli waris atau bukan ahli waris. Contohnya, ayah memberi tanah kepada anak bongsunya ketika dia masih hidup.
Atau, seorang ibu memberi rumah dibelinya kepada anak angkatnya. Begitu juga datuk memberikan dusun buah-buahan kepada cucunya yang tidak dapat harta pusaka kerana dilindungi oleh ahli waris lain dan sebagainya.
Apakah sebenarnya yang dikatakan hibah dan bagaimana ia dijalankan? Hibah ialah suatu pemberian iaitu al-atiyyah yang berkaitan dengan benda atau selainnya. Hibah menurut syarak ialah satu akad yang dibuat seseorang kepada seseorang lain, ketika seseorang masih hidup secara sukarela memindah milik sesuatu harta miliknya kepada orang itu.
Begitu juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berikanlah hadiah, kamu akan berkasih sayang."
Ini bermaksud sunat bagi kita memberi harta atau barang kepada sesiapa yang kita sayangi sebagai pemberian hadiah secara sukarela tanpa apa-apa bayaran. Hibah mempunyai rukun dan syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya sah di sisi hukum syarak. Jika salah satu rukun atau syarat hibah itu tidak ada, maka hibah berkenaan adalah tidak sah.
Rukun hibah ialah:
Syarat bagi penghibah ialah seorang yang baligh, waras, cerdik dan pemilik sah bagi harta yang dihibahkan. Hibah yang dibuat kanak-kanak atau orang tidak waras adalah tidak sah. Begitu juga hibah seseorang ke atas harta yang masih dalam gadaian atau mempunyai hutang dengan pihak bank adalah tidak sah.
Syarat bagi orang yang menerima hibah pula, ia hendaklah orang yang berkemampuan dari segi hukum syarak untuk menerima harta atau barang yang dihibahkan, antaranya seperti baligh dan berakal.
Walau bagaimanapun, penerima hibah yang tidak cukup syarat boleh menerima harta hibah melalui wali. Contohnya, seseorang menghibah harta kepada kanak-kanak atau orang tidak waras, maka wali bagi kanak-kanak atau orang yang tidak waras itu boleh menerima harta hibah bagi pihak mereka.
Harta atau barang yang dihibahkan pula mestilah sesuatu yang bernilai pada pandangan syarak pada waktu hibah dibuat, milik sah orang yang memberi hibah dan hendaklah jenis yang boleh diserahkan pada waktu itu.
Contohnya, ayah menghibahkan sebidang tanah kepada anaknya. Tanah adalah jenis harta yang bernilai daripada sudut pandangan syarak. Namun begitu, tanah itu hendaklah bebas daripada sebarang gadaian dengan pihak bank.
Jika mempunyai sekatan gadaian, tanah itu tidak mencukupi syarat sebagai harta yang boleh dihibahkan. Ia belum menjadi milik sah orang yang memberi hibah dan juga tidak boleh diserahkan pada waktu itu kerana sekatan gadaian menghalang serahan atau pindah milik dibuat.
Syarat sighah ialah perlu adanya lafaz ijab dan kabul. Lafaz ijab dan kabul dalam hibah hendaklah mempunyai persamaan. Contohnya, penghibah berkata, "Aku beri barang ini kepada kamu" lalu dijawab penerima, "aku terima barang ini."
Lafaz ijab dan kabul dalam hibah tidak boleh dikenakan syarat tertentu dan tidak boleh disyaratkan sebarang tempoh masa tertentu. Jika ada hibah diberikan tetapi disyaratkan dengan tempoh masa tertentu untuk dilaksanakan seperti hibah al-Umra dan al-Ruqba, hukum hibah itu tetap sah tetapi syarat yang dikenakan dianggap terbatal.
Hibah al-Umra bermaksud penghibah memberi harta atau barang kepada penerima hibah dengan syarat jika penerima hibah meninggal dunia, harta atau barang itu hendaklah dipulangkan kembali kepada penghibah atau waris penghibah jika penghibah sudah meninggal pada waktu itu.
Contohnya, Ali berkata kepada Ahmad, "Aku beri kebun ini kepada engkau selagi engkau hidup saja. Jika engkau mati, kebun ini hendaklah dipulangkan semula kepada aku atau waris aku jika aku meninggal terlebih dulu."
Hibah seperti ini sah hukumnya, tetapi syarat yang dikenakan iaitu kebun itu dipulangkan secara automatik kepada penghibah atau waris penghibah apabila penerima meninggal dunia adalah batal.
Hibah al-ruqba pula bermaksud hibah dibuat dengan satu perjanjian antara penghibah dengan penerima hibah bahawa jika berlaku kematian salah seorang daripada mereka, maka harta dihibahkan itu akan berpindah kepada masih hidup.
Contohnya, Ali berkata kepada Ahmad, "Aku beri kebun ini kepada engkau. Jika engkau mati dulu, kebun ini dipulangkan kepada aku, jika aku mati dulu kebun ini terus menjadi milik engkau". Hibah seperti ini juga sah hukumnya, tetapi syarat yang dikenakan itu adalah batal.
Ini bermaksud, hibah yang dibuat adalah sah tetapi syarat yang diletakkan itu tidak mengikat kedua-dua pihak kerana syarat berkenaan dianggap batal dan tidak diiktiraf oleh hukum syarak.
Ada beberapa persoalan lain berkaitan seperti bolehkah seseorang menghibahkan hartanya kepada orang lain ketika dia sedang sakit, nazak atau dipanggil mar dal-maut? Bolehkah waris kepada pemberi hibah tidak bersetuju dengan hibah dibuat dan ingin membatalkannya?
Bolehkah harta yang dihibahkan itu ditangguh pemberiannya selepas pemberi hibah meninggal? Dan jika berlaku pertikaian, ke mana pihak yang bertikai boleh pergi mendapatkan penyelesaiannya, sama ada di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil? Perbincangan seterusnya akan disambung pada minggu depan.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar dan persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com